Setelah melalui pelbagai cabaran hidup dalam tempoh lima tahun lalu, pelakon dan pempengaruh, Ateeqah Mazlan, ingin memandang ke hadapan dan kekal positif.
Beliau bersyukur dengan keadaannya sekarang yang dipenuhi dengan semangat ceria daripada mereka di sekelilingnya, terutama keluarganya yang tercinta.
“Alhamdulillah, saya bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dan memahami satu sama lain.
“Saya sedar yang saya perlu kuat demi suami dan anak-anak yang memerlukan saya.
“Saya menganggap apa yang berlaku sebagai satu iktibar,” ujar Ateeqah, 36 tahun, yang mempunyai dua anak berumur sembilan dan empat tahun kepada Berita Minggu (BM).
Pada 2020, nama Ateeqah menjadi tular apabila beliau memuat naik video dirinya membuat panggilan ke talian Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), bagi bertanyakan tentang perniagaan dari rumah (HBB) dan jika mereka boleh terus beroperasi semasa pemutus litar akibat pandemik Covid-19.
Beliau mendapat kecaman di media sosial kerana didakwa mengganggu sumber rezeki peniaga HBB.
Ateeqah berehat daripada media sosial buat seketika kerana tertekan dan dirinya seakan melalui cancel culture.
Cancel culture merujuk kepada istilah masa kini apabila sekumpulan orang tidak lagi menyokong sesuatu perkara atau individu yang lain disebabkan perilaku yang dianggap tidak boleh diterima.
Bak peribahasa ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, Ateeqah pula menerima berita mengenai keadaan suaminya, Rostam Effendie Yacob, yang disahkan menghidap barah hidung tahap empat pada 2021.
Ketika itu, Ateeqah sedang sarat mengandung anak keduanya.
“Memang keadaan ketika itu agak sukar kerana saya perlu bekerja sepenuh masa selepas bersalin.
“Saya tidak boleh terus rasa tertekan dan mementingkan diri sendiri.
“Saya mahu menunjukkan kepada kededua anak saya bagaimana saya bangkit selepas insiden itu dan apakah yang saya telah lakukan dalam kerjaya saya sekarang.
“Itulah cerita yang sebenar, yang mereka boleh pelajari daripada ibu mereka,” kongsi Ateeqah.
Beliau turut bersyukur atas sokongan yang diterima daripada ibu bapa dan suaminya apabila membuat keputusan untuk membuka syarikat Ms Nat Learning Exploration pada 2024.
Mengakui beliau kurang menerima tawaran lakonan kini, Ateeqah turut menganggap perniagaannya yang mengendalikan program kanak-kanak itu sebagai satu lembaran baru.
“Saya masih meminati bidang lakonan dan akan terus bergiat aktif jika diberikan peluang dengan watak yang bersesuaian.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Mereka boleh sahaja memilih artis dan pempengaruh muda yang lebih berbakat.
“Buat masa ini, saya teruskan menghidupkan watak Ms Nat di YouTube dan Instagram menerusi video kandungan bermanfaat bagi kanak-kanak.
“Saya mereka ruang saya sendiri untuk bernyanyi dan berlakon,” ceritanya yang pernah membintangi drama En Bloc, Step Puteri, Belah Hati dan Selamat Malam Maria.
Ateeqah turut bersyukur mendapat sokongan daripada komuniti keibubapaan yang beliau sertai di sekitar estet kejiranannya.
Beliau turut menyertai beberapa kumpulan di Facebook seperti Moms of 2021 dan beberapa kumpulan sembang dalam talian.
Selain itu, beliau turut menggunakan aplikasi Peanut, yang memberi peluang kepada golongan ibu berjumpa dan berbual dalam talian.
“Apabila saya ditimpa pelbagai dugaan, saya sedar siapa yang benar-benar ikhlas berkawan dan berada di sisi saya.
“Semangat positif dan berada bersama mereka yang menghargai diri anda adalah perkara yang penting,” tambah Ateeqah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg