Menulis buku kanak-kanak tentang pengalaman dan peristiwa sebenar yang dilalui bekas jaguh squash, Zainal Abidin Abdul Malik, bukan perkara mudah walaupun bagi penulis berpengalaman lebih sedekad, Rilla Melati Bahri.
Bukan sahaja jalan cerita perlu berdasarkan kejadian dan watak sebenar serta tepat dari segi fakta, buku berjudul ‘Juara’ itu juga perlu ditulis dalam gaya yang mudah untuk dibaca dan fahami pembaca cilik.
Karya yang ditulis dalam bahasa Inggeris untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun itu dilancarkan pada Disember 2024.
Pada 2022, Persatuan Raket Squash Singapura, telah meminta penulisan buku – mengenai kisah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan Singapura di peta squash dunia.
Ia bagi menandakan pemberian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Zainal.
“Memandangkan ia sebuah memoir, saya tidak boleh mencipta jalan cerita daripada imaginasi saya – ia perlu nyata dan tepat dari segi fakta.
“Semua watak wujud dalam kehidupan sebenar dan tiada yang dibuat-buat,” kata Rilla ketika berkongsi cabaran menulis buku itu.
“Dalam aspek ini, buku ini sangat berbeza berbanding buku lain yang telah saya tulis sebelum ini.
“Saya perlu memastikan semua fakta dimasukkan, tetapi, memandangkan ia adalah buku untuk kanak-kanak, ia masih perlu cukup mudah dibaca dan difahami kanak-kanak,” tambahnya.
Justeru bagi mendapatkan gambaran baik tentang gaya penulisan biografi dalam bentuk buku bergambar kanak-kanak, Rilla membaca banyak buku sedemikian daripada pengarang mapan lain.
Dalam membuat kajiannya itu, beliau memberi tumpuan kepada apakah perkara yang perlu ditonjolkan dalam jalan cerita serta pilihan perkataan yang tepat agar mudah kanak-kanak fahami.
Selain mengkaji gaya penulisan biografi yang sesuai untuk kanak-kanak, Rilla juga perlu membuat kajian mendalam tentang Zainal, watak utama dalam buku tersebut.
Beliau menemui dan mewawancara tokoh sukan itu beberapa kali untuk memahami tentang kehidupannya secara menyeluruh.
Beliau turut mewawancara isterinya, Cik Anna Zainal, dalam usahanya memahami Zainal dengan lebih mendalam.
“Saya perlu memahami dengan baik urutan peristiwa dan perkara penting yang berlaku sepanjang hidupnya.
“Wawancara dengan Zainal diadakan di rumahnya supaya saya boleh melihat pingat, trofi dan gambar-gambarnya agar saya meraih pemahaman lebih baik tentang pencapaiannya.
“Wawancara dengan isterinya pula dilakukan di kedai mereka di Pusat Squash Kallang supaya saya dapat memahami Zainal dengan lebih baik daripada sudut perniagaan,” kongsi Rilla.
Menurut Rilla, kajian itu turut disokong oleh Squash Singapura yang memberi artikel serta sumber lain yang diperlukan untuk memeriksa fakta.
Daripada kajian dan pemerhatian yang dibuatnya, Rilla memilih menyertakan kisah Zainal dan raket squash bengkok yang beliau kutip dari tong sampah.
Raket itu telah membuka pelbagai pintu rezeki yang turut mengharumkan nama Zainal di gelanggang squash setempat dan juga serantau.
“Raket itu menjadi alat utama kejayaan Zainal kerana beliau kreatif dan inovatif dalam cara mengendalikan raket bengkok untuk memberikannya keputusan terbaik dalam pemarkahan.
“Ia menghasilkan gaya permainannya yang unik,” kata Rilla.
“Daripada melihat masalah, beliau menyelesaikan masalah itu dan mengasaskan gaya unik yang menjadikannya jaguh dunia.
“Saya selalu tertanya-tanya jika raket itu tidak memberinya sebarang masalah, jika beliau mempunyai raket baru yang terbaik untuk berlatih, adakah ia akan memberi hasil yang berbeza?” tambahnya.
Rilla berkata beliau mengetengahkan bahagian penemuan raket dalam tong sampah itu kerana mahu kanak-kanak berfikir tentang perkara itu dan membandingkan keadaan Zainal pada ketika itu dengan gaya hidup mereka sendiri sekarang.
Rilla berharap kisah itu akan membuat kanak-kanak lebih menghargai atau sekurang-kurangnya belajar menjalani kehidupan dengan penuh kesyukuran.
“Saya percaya kisah inspirasi sebegini mesti diceritakan dan dikongsikan terutamanya kepada generasi muda.
“Zainal adalah bukti yang kita boleh. Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mengejar impian mereka, walau apa pun,” kata Rilla.
Beliau turut berharap buku itu akan membuka jalan kepada Squash Singapura agar mendekati dan bekerjasama dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan Melayu yang ingin mengenali sukan tersebut dengan lebih mendalam.
“Zainal adalah wira negara, tetapi lebih-lebih lagi, beliau adalah pelita harapan. Mungkin, suatu hari nanti, seorang lagi dalam masyarakat akan muncul dan melonjak naik,” kata Rilla.
Walaupun ditulis dalam bahasa Inggeris, buku setebal 38 muka surat itu turut menyertakan beberapa perkataan Melayu seperti ‘juara’, ‘sembunyi’, ‘gaji’, ‘terima kasih’ dan ‘apa khabar’.
Perkataan tersebut diterjemah dalam ruang glosari di akhir buku.
“Memandangkan buku ini adalah memoir tentang seorang Melayu, menyertakan bahasa Melayu adalah sesuatu yang wajar...
“Kami juga memutuskan menggunakan tajuk buku dalam bahasa Melayu sebagai memberi penghormatan kepada Zainal kerana beliau seorang Melayu,” kata Rilla yang berkata buku itu akan diterjemah ke dalam bahasa Melayu kelak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg