Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rilla Melati hiburkan kanak-kanak di sesi cerita ‘Si Pencuri Ketawa’

Jun 18, 2023 | 3:24 PM
SESI BERCERITA: Peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur tiga hingga tujuh tahun mengikuti bengkel Bahasa Melayu dan sesi bercerita oleh penulis, Cik Rilla Melati Bahri, yang membacakan buku ‘Si Pencuri Ketawa’.
SESI BERCERITA: Peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur tiga hingga tujuh tahun mengikuti bengkel Bahasa Melayu dan sesi bercerita oleh penulis, Cik Rilla Melati Bahri, yang membacakan buku ‘Si Pencuri Ketawa’. - Foto ARTS HOUSE LIMITED

Festival seni sastera berbilang bahasa kanak-kanak Monstrous Fun! @ The Arts House yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur tiga hingga tujuh tahun telah mengikuti bengkel Bahasa Melayu dan sesi bercerita oleh penulis, Cik Rilla Melati Bahri, yang membacakan buku ‘Si Pencuri Ketawa’.

Sesi bercerita interaktif selama sejam itu melibatkan animasi, lagu, permainan serta kegiatan buku latihan berdasarkan watak Mini Mons yang tinggal di Gardens by the Bay.

Ini merupakan tahun kedua ‘Si Pencuri Ketawa’ menyertai Monstrous Fun! anjuran Arts House Limited (AHL) yang juga diadakan buat kali kedua tahun ini.

Cik Rilla berkata sesi pada Ahad sangat menghiburkan kerana kehadiran penuh dan “semua meja-meja yang disediakan penuh dengan kanak-kanak dan ibu bapa”.

Ditanya tentang pentingnya sesi bercerita hari ini dijalankan dalam cara yang interaktif, Cik Rilla berkata: “Kanak-kanak hari ini terdedah kepada pelbagai media dan mereka juga sangat pintar menggunakan teknologi dari usia yang sangat kecil. Jadi kalau kita tidak menggunakan elemen-elemen seperti ini dalam sesi kita, mereka akan berasa janggal untuk sama-sama mengambil bahagian atau merasa tidak begitu seronok.

“Dengan adanya elemen-elemen begini dengan teknik bercerita, saya rasa mereka akan lebih terangsang mahu mengikuti aktiviti itu dan belajar bersama-sama dan tidak takut menggunakan bahasa Melayu yang saya cuba selitkan dalam cerita ini,” katanya.

Penolong Pengarah, Program Tempat, Arts House Limited, Cik Geraldine Cheang, berkata Monstrous Fun! bertujuan menyemarakkan imaginasi kanak-kanak dengan menjadikan seni sastera mudah diakses dan menyeronokkan melalui kegiatan terdiri daripada lawatan kepada aktiviti seni dan kraf tangan serta permainan.

Program itu juga diharap dapat memperkenalkan kanak-kanak dan keluarga kepada bakat sastera kanak-kanak tempatan melalui pelbagai kegiatan yang ditawarkan, dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terlibat dengan lebih banyak bersama pengarang tempatan.

“Itulah sebabnya kami telah bekerjasama dengan Majlis Buku Singapura, penjual buku tempatan Ungu Pen, Chellamey Books, Maha Yu Yi dan Closetful of Books, serta Lembaga Perpustakaan Negara dan pelbagai pengarang dan pencerita tempatan, untuk memberikan pengalaman yang kaya dan imaginatif untuk semua di Monstrous Fun!,” kata Cik Cheang.

Beliau berkata edisi Monstrous Fun! tahun ini sangat menggalakkan walaupun terdapat lencongan jalan sementara ke The Arts House ekoran raptai Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang.

“Melalui program pembacaan pengarang, bengkel dan kegiatan yang disusun dengan teliti, kanak-kanak dapat terlibat dalam sesi seni dan kraf berasaskan sastera, melatih kreativiti mereka menghasilkan puisi mereka sendiri dan menyelesaikan teka-teki yang mencetuskan kemahiran bertanya mereka, sambil memupuk rasa ingin tahu untuk membaca dan meneroka.

“Daripada sesi bercerita yang meriah yang menggalakkan kemahiran bahasa dan pembangunan perbendaharaan kata kepada bengkel menarik yang memupuk kreativiti dan ekspresi diri, kanak-kanak menjadi asyik dalam persekitaran yang memperkaya yang meraikan pengembaraan dan kegembiraan dalam cerita,” kata Cik Cheang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg