Badan penggalak pelancongan di Australia Barat, Tourism Western Australia (TWA), telah melancarkan Buku Panduan Kembara Muslim dalam talian untuk memudahkan pelancong Islam meneroka kawasan yang luas di negeri itu dan menikmati segala keindahan alam semesta dan tempat menarik sesuai dengan keperluan keluarga dan individu perseorangan.
Buku panduan tersebut meliputi direktori menyeluruh tempat makan dan restoran halal, masjid serta ruang dan kemudahan mesra Muslim yang tersedia di Australia Barat.
TWA yang menghubungi Berita Harian (BH) menjelaskan hampir suku penduduk dunia beragama Islam dan perangkaannya kian pesat bertambah berbanding penduduk bukan Islam.
Justeru, panduan kembara sebegini yang khusus amat diperlukan bagi menyediakan pelancong Islam dengan keterangan dan jaminan yang mereka perlukan untuk melancong dengan selamat lagi selesa ke Australia Barat.
Anda boleh memperolehi buku panduan ini dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Apa yang menarik adalah paparan keterangan tentang daya tarikan alam, terumbu karang, budaya orang asli Australia atau pribumi Aborigine serta tempat makan halal yang kian maju dan bertambah di negara itu.
Pengurus Negara TWA bagi Singapura dan Malaysia, Cik Ava Ang, berkata:
“Australia Barat adalah negeri yang rencam dan inklusif yang mengalu-alukan kedatangan sebilangan pengembara Muslim yang kian bertambah di rantau ini.
“Kami tahu pelancong Muslim perlu merancang kunjungan mereka secara berhati-hati. Lantaran itu, buku panduan ini direka bagi meringankan urusan perancangan pelancong Muslim dan menyediakan alat rujukan yang mudah bagi menangani pilihan dan keperluan tertentu mereka di samping mencetus inspirasi bagi mereka meneroka keajaiban negeri ini.”
Selain menawarkan jadual perjalanan kembara, buka panduan ini juga memberi maklumat menyeluruh termasuk garis panduan kembara meliputi perihal kenderaan dan pengangkutan awam.
Sumber meluas ini bukan sahaja berguna buat pengembara Muslim tetapi bukan Muslim juga dalam merancang kunjungan ke Australia Barat. Banyak maklumat dalam buku panduan ini memastikan pelancong mempunyai akses berguna dalam menikmati pengalaman mengembara yang lancar lagi tersusun rapi.
Buku panduan ini boleh dimuatturunkan menerusi pautan berikut: https://bit.ly/45XwMaV
Lungsuri laman www.westernaustralia.com bagi keterangan lanjut. - HARYANI ISMAIL
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg