Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Kembara solo tidak bermakna ‘sendirian berhad’

Jun 25, 2023 | 05:30 AM



“Pergi sendiri?” 

Itulah yang diungkapkan ibu saya apabila saya memberitahu ibu bapa saya tentang rancangan saya untuk melancong ke Melbourne sendiri.

Walaupun saya pernah melancong sendirian, ini merupakan percutian sendiri pertama saya selepas Covid-19.

Ibu mana yang tidak risau meskipun anaknya sudah dewasa.

Pada Mac lalu, saya berpeluang ke Pulau Jeju di Korea Selatan atas urusan kerja seorang diri, namun saya ditemani rakan media lain dan pemandu pelancong yang sentiasa menemani saya ke tempat-tempat yang dilawati.

Pada awalnya, saya merancang untuk pergi bersama teman, tetapi ia terpaksa dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Jadi saya membuat keputusan meneruskan percutian ini tanpa teman saya dan melakukan segala persiapan untuk mengembara solo.

Bohonglah kalau saya kata saya tidak gementar melakukan percutian ini seorang diri walaupun mempunyai pengalaman sedemikian.

Tetapi mengingatkan kembali kebebasan yang saya alami sewaktu mengembara sendirian dahulu, perasaan itu bertukar menjadi teruja.

Satu laporan daripada WTM Global Hub mengatakan carian Google mengenai pengembaraan solo meningkat empat kali ganda sejak 2020, dan minat itu semakin meningkat. 

Ini tidak begitu mengejutkan kerana menurut laman International Tourism Group, ramai orang – terutama mereka yang ‘berkurung’ bersama keluarga atau rakan semasa pandemik – mahukan masa untuk bersendirian.


Kajian dari agensi media pelancongan MMGY pada 2022 pula menunjukkan satu dalam empat pelancong mempunyai rancangan untuk bercuti secara solo, dengan golongan milenial (26 hingga 40 tahun) dan Gen-Z (18 hingga 26 tahun) menduduki tangga teratas.

Secara teori, memang benar saya melancong bersendirian. Tetapi demi keselamatan, saya merancang dua hari daripada percutian saya selama lapan hari itu untuk mengikuti ‘day tour’ atau rombongan untuk melawat tempat tarikan di luar bandar Melbourne seperti ke Great Ocean Road dan Phillip Island untuk melihat penguin liar pulang ke sarang mereka di darat.

Selebihnya, saya bersiar-siar di kawasan bandar seorang diri.

Sewaktu mengikuti rombongan itu, saya sebenarnya tidak menjangkakan apa-apa selain daripada menikmati pemandangan dan suasana nyaman di kawasan-kawasan yang dilawati itu, yang berbeza daripada hiruk-pikuk Singapura. 

Ini kerana saya menyangka pelancong lain mungkin akan bersama kumpulan yang mereka lakukan lawatan itu, baik keluarga, pasangan atau teman.

Namun, tidak saya jangka bahawa saya akan membuat rakan-rakan baru daripada pelbagai negara, malah dari negara sendiri.

Setiap kali saya pergi melancong, terutama apabila secara sendiri, saya akan mengingatkan diri supaya jangan sombong atau malu untuk bertegur sapa dengan penduduk tempatan dan juga pelancong lain kerana kita tidak tahu siapa yang akan kita bertemu, dan pastinya mereka mempunyai cerita menarik mereka sendiri.

Pada lawatan rombongan yang saya ikuti ke Great Ocean Road, para pelancong rata-rata merupakan golongan muda.

Terdapat juga dua pelancong lain yang datang bersendirian. Dengan itu, tidak sulit bagi kami untuk bertegur sapa dan mulakan perbualan.

Suasana bersama rombongan itu juga sangat santai dengan pemandu pelancong yang ramah. Sempat juga kami mengadakan sesi berkaraoke dalam van secara spontan.

Pada lawatan ke Phillip Island pula, saya bertemu dengan tiga pelancong wanita berbangsa Melayu (yang juga pembaca akhbar ini) seumur ibu saya serta sebuah keluarga dari Singapura.

Apabila mendapat tahu yang saya bercuti bersendirian, mereka berkata saya sangat berani dan mengajak saya untuk bersama mereka semasa lawatan itu. Rasanya seperti pergi bercuti dengan keluarga, meskipun kami baru berkenalan.

Satu lagi kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah semasa penerbangan pulang ke tanah air.

Saya duduk bersebelahan seorang penduduk Melbourne yang pulang ke kampung halamannya di Filipina. Hampir separuh penerbangan kami dipenuhi dengan perbualan tentang kehidupan masing-masing. Rasanya seperti berbual dengan teman lama.

Ini membuat saya terfikir, saya tidak benar-benar ‘sendiri’ apabila bercuti secara solo.

Walaupun pada awalnya tidak saling mengenali, kini saya dan pelancong lain masih bertanya khabar dan mengikuti perkembangan masing-masing di media sosial.

Bercuti secara solo tidak bermakna saya harus melakukan perkara bersendirian. 

Ia bermakna saya mempunyai pilihan untuk luangkan masa sendiri ataupun dengan orang lain. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >