Ketenangan di Tanah Suci Makkah menjadi pilihan penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), di ambang Tahun Baru 2024.
Sebagaimana yang dikongsikan di Instagram, Bunga atau nama pentasnya BCL, 40 tahun, mengerjakan umrah bersama suami yang baru dinikahinya, Tiko Aryawardhana, 43 tahun, dan anak lelakinya, Noah Aidan Sinclair, 13 tahun, serta ibunya, Emmy Syarif, 68 tahun.
Bunga melahirkan rasa syukur apabila dijemput ke Makkah di saat ramai ingin membuka lembaran baru dan meluputkan segala dosa-dosa silam.
“Alhamdulillah, ibadah umrah di malam terakhir pada tahun ini (2023). Terima kasih 2023, tahun yang paling menakjubkan. Selamat tahun baru,” tulisnya di Instagram.
Sebelum ini, arwah suami Bunga, pelakon dan pengacara Ashraf Sinclair, yang meninggal dunia di Jakarta kerana serangan jantung pada 18 Februari 2020, pernah melahirkan hasrat mengerjakan umrah seisi keluarga tetapi hajatnya tidak kesampaian.
Terdapat video yang menunjukkan Bunga bergegas dalam lautan manusia untuk menyentuh Kaabah.
Pelantun lagu Cinta Sejati itu turut merakam kenangan di hadapan Menara Jam Diraja Makkah yang berwarna hijau.
Ramai yang memuji penampilannya di Tanah Suci serta bersyukur melihat artis kesayangan dapat menyambut Tahun Baru dengan penuh nikmat dan beribadah.
Hantaran Bunga di media sosial turut menarik perhatian beberapa artis termasuk adik iparnya, penyanyi Yuna serta pelakon Nora Danish.
Yuna menulis: “Ahamdulillah. Sayang anda semua. Selamat Tahun Baru Bunga, Tiko dan Noah!”
Penyanyi Vidi Aldiano pula menambah: “Terharu saya melihat kamu.”
Pastinya detik ini akan dikenang Bunga yang bernikah bersama Tiko, pegawai bank, di resort mewah yang terletak di Bali pada 2 Disember.
Dalam pada itu, beberapa artis Indonesia dilaporkan turut mengambil peluang keemasan menunaikan umrah pada penghujung 2023.
Mereka terdiri daripada Clara Shinta yang baru sahaja memeluk Islam serta pelakon Cinta Fitri, Teuku Wisnu dan isterinya, Shireen Sungkar.
Moga ibadah itu menjadi penguat semangat untuk mereka memulakan lembaran baru pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg