Peminat telekung Siti Khadijah kini tidak perlu merentas sempadan untuk membeli produk jenama tersebut.
Ini selepas sebuah cawangannya yang dibuka buat julung-julung kalinya di sini - lantas memudahkan penduduk Singapura untuk membeli produk jenama itu.
Terletak di 63 Arab Street, jenama itu telah merasmikan pembukaannya pada Sabtu.
Antaranya pelanggan di sini berpeluang dapatkan versi koleksi tudung berwarna merah senduduk ataupun ‘mauve’.
Menurut kakitangan butik di Singapura itu, koleksi telekung yang disediakan warna merah senduduk itu belum boleh didapati di negara lain kecuali cawangannya di sini.
Jenama Siti Khadijah, yang berpangkalan di Malaysia telah dibuka sejak 2009. Ia juga telah mengembangkan konsep produknya kepada pakaian wanita serta lelaki dan juga aksesori.
Ini merupakan cawangan ke-53 Siti Khadijah, yang juga mempunyai 49 cawangan di Malaysia dan tiga lagi di Indonesia.
Perasmian cawangan itu di Singapura dihadiri pengasas Siti Khadijah, Cik Padzilah Enda Sulaiman, pengerusi Kumpulan Siti Khadijah, Encik Shafie Shamsuddin dan pengasas bersama Siti Khadijah, Encik Aminuddin Mohd Nasir pada pagi Sabtu.
Bercakap kepada Berita Harian, Cik Padzilah berkata bahawa niatnya untuk membuka cawangan di Singapura sudah lama namun hanya menantikan lokasi dan unit yang sesuai.
“Kami menunggu lebih enam bulan sebelum mendapatkan unit 63 ini. Unit ini sesuai kerana mempunyai lebih ruang dan luas untuk mengendalikan operasi dan menyimpan stok,” jelas Cik Padzilah yang berasa teruja dan tidak pernah menyangka bahawa jenamanya dapat merentasi dan membina cawangan di Singapura.
Pelanggan boleh nikmati pengalaman beli-belah di dua tingkat. Tingkat pertama mengutamakan koleksi telekong dan juga beberapa aksesori manakal tingkat kedua mempamerkan pakaian wanita dan lelaki serta selendang.
Pengerusi Kumpulan Siti Khadijah, Encik Shafie Shamsuddin, seorang warga Singapura, melahirkan rasa gembiranya kerana jenama itu dapat merentasi ke Singapura.
“Antara peranan saya sebagai pengerusi adalah untuk meluaskan lagi jenama Siti Khadijah di luar Malaysia. Pembukaan di Singapura adalah satu langkah yang baik untuk jenama ini. Kami juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan jenama ini ke Timur Tengah dan juga di London,” kongsi Encik Shafie yang telah bersama Kumpulan Siti Khadijah sejak Oktober 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg