Cabaran umrah ‘DIY’ cetus Umrahporter, kedai sehenti keperluan jemaah
Cabaran umrah ‘DIY’ cetus Umrahporter, kedai sehenti keperluan jemaah
Turut guna platform media sosial untuk kongsi tip umrah ‘DIY’ termasuk cara mohon visa
Tatkala sedang merancang ibadah umrah sendiri atau ‘DIY’, pasangan Encik Muhammad Abdil Hakeem Ahmad Barazy dan Cik Nurnazhuurah Mansoor, kedua-duanya berusia 31 tahun, tidak menjangka akan berdepan dengan beberapa cabaran.
Ini kerana sebelum ini mereka menunaikan ibadah umrah melalui pakej agensi pelancongan.
Cabaran terbesar mereka ialah mencari beg yang menepati syarat kereta api laju Haramain, yang menghubungkan Makkah dan Madinah.
Pengalaman itu dapat menyedarkan mereka tentang kekurangan dalam pasaran, terutamanya keperluan umrah yang menyeluruh di bawah satu bumbung, bagi jemaah ‘DIY’.
Maka, lahirlah Umrahporter, kedai dalam talian yang menawarkan hampir segala keperluan umrah, daripada kain ihram, stokin antigelincir hingga ke botol untuk menyimpan air zam zam.
“Apabila kami ingin melakukan umrah ‘DIY’, kami dapati tiada agensi pelancongan yang menawarkan keperluan umrah.
“Dalam pada itu, kami juga tidak mempunyai bagasi, kerana kami tidak kerap melancong, jadi kami pun terfikir, alangkah baiknya jika ada syarikat yang menyewakan bagasi,” ujar Encik Hakeem, seorang penyelia di sebuah syarikat logistik.
Beliau menambah, syarat saiz bagasi yang dibenarkan dibawa dalam kereta api Haramain adalah spesifik, iaitu satu bagasi dengan berat maksimum 25 kilogram dan dimensi tidak melebihi 65 × 55 × 35 sentimeter.
Ini mungkin hal yang terlepas pandang oleh jemaah yang melakukan umrah ‘DIY’ buat pertama kali.
Ditanya tentang keunikan perniagaannya, Cik Nurnazhuurah, kini seorang suri rumah, menjawab:
“Memang ada barangan boleh didapati di kedai fizikal seperti Toko Warisan atau dalam talian seperti Shopee.
“Namun, kelebihan kami terletak pada konsep kedai sehenti, di mana semua keperluan umrah boleh didapati di Umrahporter.
“Kadang-kadang, jemaah yang pertama kali menunaikan umrah boleh terlepas pandang beberapa barangan.
“Justeru, kami berharap dapat membimbing mereka tentang kelengkapan yang diperlukan sebelum, sewaktu dan selepas umrah.”
Syarikat yang diasaskan pada Jun 2025 itu menerima sambutan menggalakkan, terutamanya pada musim sibuk seperti cuti sekolah November hingga Disember.
Pasangan yang kini bergelar ibu bapa kepada seorang anak ini berkongsi bahawa pelanggan mereka kebanyakannya golongan muda.
Ini mencerminkan peningkatan minat dalam kalangan generasi muda untuk menunaikan umrah secara ‘DIY’.
Selain berniaga, Encik Hakeem juga menggunakan media sosial Umrahporter untuk berkongsi tip umrah ‘DIY’, termasuk cara memohon visa dan persediaan untuk umrah musim sejuk.
Berkongsi tentang pembangunan perniagaan Umrahporter, pasangan suami isteri itu saling memanfaatkan kemahiran masing-masing.
Encik Hakeem, dengan latar belakang sebagai pakar perkhidmatan penghantaran, mengendalikan aspek logistik.
Manakala Cik Nurnazhuurah pula yang mempunyai pengalaman sebagai pereka grafik, mereka bentuk laman web.
Pasangan ini kini rancak mempertingkat kepelbagaian produk.
Cik Nurnazhuurah berharap Umrahporter dapat terus berkembang, mengimpikan pembukaan kedai fizikal suatu hari nanti.
“Ilham kami datang semasa mencari keperluan bayi di Johor Bahru, di mana ada gedung yang menyediakan segala-galanya, daripada sabun hingga katil dan kereta sorong.
“Kami berharap dapat berkembang ke tahap itu, untuk benar-benar menjadi kedai sehenti (keperluan jemaah).
“Sekurang-kurangnya, generasi lebih tua lebih yakin apabila dapat lihat produk secara fizikal dan dapat menyentuh kain ihram serta barangan lain secara langsung,” ujarnya.
“
Kadang-kadang, jemaah yang pertama kali menunaikan umrah boleh terlepas pandang beberapa barangan. Justeru, kami berharap dapat membimbing mereka tentang kelengkapan yang diperlukan sebelum, sewaktu dan selepas umrah.
