Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah umrah S’pura ikut agensi M’sia, pakej lebih murah tetapi dinasihati agar berhati-hati

Agensi S’pura jelas sebab harga tinggi di sini, usaha kekal berdaya saing
Feb 16, 2025 | 5:30 AM
Encik Shaffuan Yousop (paling kiri) mengerjakan umrah bersama (dari kanan) isterinya, Cik Elly Yani dan anak-anaknya, Cik Siti Neng Camilea, Cik Siti Neng Sarah dan Cik Siti Neng Sofiya.
Encik Shaffuan Yousop (paling kiri) mengerjakan umrah bersama (dari kanan) isterinya, Cik Elly Yani dan anak-anaknya, Cik Siti Neng Camilea, Cik Siti Neng Sarah dan Cik Siti Neng Sofiya. - Foto ihsan SHAFFUAN YOUSOP

Ketika melaksanakan umrah pertamanya bersama isteri beliau pada 2017, Encik Shaffuan Yousop, 57 tahun, mengikuti agensi Singapura.

Namun pada 2024, apabila beliau berhasrat ke Tanah Suci sekali lagi tetapi kali ini bersama tiga anak perempuannya, bapa lima anak itu menyedari bahawa kos mengikuti pakej Singapura adalah agak tinggi untuk dibiayai sendiri.

Secara kebetulan, teman-temannya juga berkongsi iklan agensi Malaysia yang menawarkan pakej umrah yang dianggap Encik Shaffuan sebagai “murah”, sebelum memutuskan untuk mengikuti agensi Malaysia tersebut.

View post on Instagram
 

“Saya baca ulasan di media sosial dan tertarik dengan harga murah pakejnya.

“Jika dibandingkan, saya dapat jimat lebih $1,000 jika ikut agensi Malaysia yang bagi saya, satu perbezaan besar,” ujar penyelia kejuruteraan itu.

Beliau mengambil pakej premium berharga RM11,000 ($3,352) seorang untuk bilik dua orang dengan hotel berdekatan masjid.

“Lagipun, apa yang tambat hati saya ialah mereka dapat aturkan penerbangan langsung dari Singapura ke Jeddah,” ujarnya.

Sememangnya, Encik Shaffuan bukan satu-satunya warga Singapura yang melakukan demikian.

Semakin ramai warga Singapura menggunakan khidmat agensi Malaysia untuk melaksanakan umrah, dan jumlah ini lebih ketara pasca Covid-19, menurut beberapa agensi Malaysia yang dihubungi Berita Minggu (BM).

Pengurus cawangan Andalusia Travel & Tours di Johor Bahru, Encik Mukhsin Tajuddin berkata mereka sebenarnya sudah menerima beberapa anggota jemaah yang mengikuti mereka sebelum Covid-19, namun permintaan dalam kalangan warga Singapura meningkat 20 peratus setelah pandemik.

Malah, untuk memenuhi keperluan pasaran dari Singapura yang menurutnya berpotensi, di samping klien dari Johor Bahru, syarikat itu dalam proses untuk mengaturkan penerbangan dari Senai, Johor Bahru bagi memudahkan jemaah.

Hal serupa turut diperhatikan agensi Kembara Umrah Sdn Bhd, yang sebelum Covid-19 tidak mempunyai jemaah Singapura tetapi kini membawa jemaah Singapura yang bilangannya meningkat secara berganda dari tahun ke tahun.

Mutawif atau jurupandu umrah yang juga jurucakap syarikat tersebut, Ustaz Saifullah Mohd Nasri menambah bahawa warga Singapura selalunya akan mengambil pakej premium atau yang termahal ditawarkan agensi tersebut.

“Di Malaysia, harga RM10,000 ($3,031) ke atas sudah dianggap premium (termasuk penerbangan langsung, hotel lima bintang, hotel dekat masjid, serta wisata) tetapi kalau ditukar mata wang ke Singapura, harga tersebut bersamaan pakej asas di Singapura,” ujarnya.

Ustaz Saifullah turut akui bahawa antara strategi syarikat tersebut adalah untuk membuat perkongsian di media sosial mengenai tempat bersejarah yang jarang-jarang dikunjungi di Tanah Suci.

Ada beberapa videonya tular di YouTube dan TikTok dan mengaitkannya dengan permintaan dalam kalangan warga Singapura yang meningkat.

Walaupun baru beroperasi selama tiga tahun, agensi Hafiz Travel & Tours Sdn Bhd menerima sambutan memberangsangkan daripada warga Singapura sejak mereka merancakkan pemasaran mereka di media sosial.

Bagi memudahkan jemaah, syarikat tersebut turut mengaturkan penerbangan dari Lapangan Terbang Changi – dengan harga pakej termahal RM12,050 ($3,650) – bagi memudahkan jemaah Singapura yang mengikuti mereka, menurut ketua jabatan pemasaran penjualan dan perkhidmatan pelanggan agensi tersebut, Encik Muhammad Syazwan Azman.

“Kami pun akan mengusahakan untuk mendapat tempat mengadakan kursus yang mudah di Singapura bagi jemaah, dan pada masa akan datang rancang membuka cawangan di sana,” ujarnya.

Cik Nur Syahidah mendukung anaknya sambil menuju ke Kaabah di Makkah.
Cik Nur Syahidah mendukung anaknya sambil menuju ke Kaabah di Makkah. - Foto NUR SYAHIDAH

Seorang lagi anggota jemaah Singapura, ibu tiga anak yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nur Syahidah, turut mengikuti agensi Malaysia ketika melaksanakan umrah pada Disember 2024 bersama 10 anggota keluarganya.

Namun, memandangkan ia kali keempat beliau menunaikan umrah dan sudah biasa, Cik Syahidah memilih pakej yang paling rendah berharga RM6,990 ($2,133) selama 15 hari walaupun akur jarak hotelnya dari masjid lebih jauh iaitu dalam 350 meter.

“Niat saya waktu itu adalah untuk sampai ke sana untuk lakukan ibadah. Kami memang tidak rancang ingin duduk di hotel mewah,” ujar suri rumah berusia 37 tahun itu.

Beliau menambah bahawa tidak ada pakej di Singapura yang menawarkan harga serendah itu memandangkan kebanyakan agensi akan memastikan jarak hotel dengan masjid adalah dekat.

Lagipun, kata Cik Syahidah, beliau tertarik dengan perkongsian di media sosial oleh agensi berkenaan yang membawa jemaah sepertinya ke tempat sejarah Islam yang jarang dikunjungi.

“Mutawif yang membawa kami juga sangat bertauliah dan berkongsi ilmu dengan kami sambil kami menjejaki tapak bersejarah peninggalan Rasulullah yang jarang dilawati agensi Singapura,” tambahnya.

BM difahamkan bahawa jemaah Singapura boleh mengikuti agensi Malaysia asalkan mereka mempunyai visa umrah ataupun visa pelancong.

KENAPA HARGA PAKEJ UMRAH S’PURA TINGGI?

Dihubungi BM, agensi di Singapura peka bahawa sebilangan warga Singapura telah berpaling ke agensi Malaysia kerana kos ‘tinggi’ pakej Singapura jika dibandingkan, namun menjelaskan bahawa kos operasi di Singapura secara umumnya tinggi.

Menurut tinjauan BM, penerbangan dari Singapura ke Jeddah juga lebih mahal berbanding Malaysia ke Jeddah.

Bagi tempoh yang sama, tambang tiket penerbangan ulang alik dari Singapura ke Jeddah berharga kira-kira $1,200 manakala dari Malaysia ke Jeddah ia hampir $800.

Pemilik dan pengarah Zaky Alwie Travel & Services, Shaikh Ahmad Zaki Shaik Alwie berkata bahawa pertukaran mata wang sahaja sudah menjadikan harga pakej di Malaysia lebih berdaya saing.

Di Singapura, agensi Singapura perlu bergelut dengan harga sewa pejabat yang tinggi, selain gaji kakitangan yang juga lebih tinggi berbanding dari Malaysia.

Shaikh Ahmad turut menekankan pentingnya warga Singapura tidak terpedaya dengan harga rendah.

Pakej Singapura yang pada dasarnya kelihatan mahal, selalunya disebabkan beberapa faktor.

Antaranya termasuk penerbangan lebih mudah diakses dan dibuat dari Singapura, taraf hotel lima bintang, jarak hotel yang dekat dengan masjid dan selain saiz kumpulan jemaah yang lebih kecil.

Pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman turut berkata bahawa syarikatnya dahulu pernah menawarkan pakej serendah $2,000 pada 2016, namun tidak dapat melakukan yang sama pada hari ini.

Beliau berkata bahawa kenaikan cukai nilai tambah (VAT) di Saudi yang meningkat setiap tahun hingga 15 peratus kini, di samping harga penerbangan yang meningkat secara keseluruhan pasca Covid-19 menyumbang kepada harga umrah yang semakin mahal.

“Kadangkala kita nampak harga murah, tetapi apabila sampai ke sana (Tanah Suci), khidmatnya tidak menepati jangkaan. Kita perlu tahu bahawa jangkaan dan cita rasa warga Singapura dan warga Malaysia sangat berbeza.

“Setiap khidmat yang diberikan pasti melibatkan kos. Perlu juga semak betul-betul sama ada insurans dan sebagainya sudah termasuk,” ujarnya.

Namun, beliau anggap persaingan demikian secara positif dan berkata syarikatnya akan terus berusaha memberi tumpuan terhadap perkhidmatan pelanggan yang bernilai tinggi.

Ustaz Nafis berkata lagi bahawa ulasan yang baik daripada jemaah adalah sangat penting untuk memastikan syarikatnya dapat terus bertahan.

AGENSI S’PURA UBAH STRATEGI

Dalam usaha untuk tambat hati jemaah Singapura, agensi seperti Shahidah Travel and Tours, yang lazimnya terkenal untuk pakej-pakejnya yang berharga lebih tinggi, sudah sebaliknya memperkenalkan pakej harga rendah supaya dapat kekal berdaya saing.

Pengarah urusan agensi tersebut, Encik Ayoob Angullia, memberitahu BM bahawa mereka mempunyai pakej bertahap yang bersesuaian bergantung kepada bajet jemaah.

Harga pakej bajet mereka yang digelar ‘Ayoobi Easy Umrah’ bermula dari $3,775 jika berbanding dengan pakej ‘Shahidah Gold’ yang bermula dari $4,995.

Namun, pakej bajet itu tidak termasuk mutawif serta tidak sesuai bagi jemaah umrah kali pertama.

“Kami ingin memenuhi keperluan segmen pasaran yang berbeza. Pakej ‘Easy Umrah’ ini boleh dikatakan serupa macam DIY (dilakukan sendiri) tetapi lebih baik.

“Ia mempunyai perlindungan perubatan asas, serta kakitangan di Mekah atau Madinah yang dapat menguruskan mereka sekiranya mereka perlukan bantuan,” ujar Encik Ayoob yang menambah bahawa jemaah bebas untuk pilih mana-mana agensi walau di Malaysia namun perlu pertimbang risiko masing-masing.

LANDSKAP PERNIAGAAN UMRAH BERUBAH

Setiausaha Kehormat Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad berkata Amtas akur bahawa dengan landskap perniagaan umrah yang kian berubah, agensi di Singapura akan sedikit sebanyak terjejas.

Ini ditambahkan lagi dengan bilangan agensi umrah yang “tumbuh bak cendawan” setelah pandemik Covid-19.

Namun, beliau berkata syarikat Singapura perlu pastikan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah memuaskan serta elak daripada menetapkan harga terlalu tinggi bagi kekal berdaya saing.

“Untuk agensi pada masa hadapan, apa yang mencabar bukan setakat agensi dari negara jiran sahaja tetapi juga mereka yang melakukan DIY, serta pemikiran masyarakat kita yang pergi ke Makkah dan Madinah sebagai bersiar-siar daripada kepentingan ibadah umrah itu sendiri,” tambah Ustazah Juyda.

Apa yang perlu saya periksa sebelum ambil pakej?

• Pastikan syarikat mempunyai rekod baik. Baca ulasan dan maklum balas daripada mereka yang sudah menggunakan khidmat syarikat itu.

• Visa yang digunakan – visa umrah atau visa pelancong, yang berbeza syaratnya. Contohnya, di bawah visa umrah, rawatan kesihatan anda akan ditanggung kerajaan Saudi. Bagaimanapun di bawah visa pelancong, perlu dapatkan insurans tambahan dengan sendiri.

• Jarak hotel dengan masjid, dekat atau jauh.

• Perlindungan insurans.

• Jika kecemasan berlaku, bagaimana agensi itu akan bantu?

• Saiz rombongan, dan jumlah mutawif. Jika saiz rombongan besar, adakah jumlah mutawif cukup?

• Kemudahan akses. Penerbangan dibuat dari Singapura atau perlu membuat perjalanan ke Malaysia dahulu?

• Pastikan tidak ada kos tersembunyi.

Niat saya waktu itu adalah untuk sampai ke sana untuk lakukan ibadah. Kami memang tidak rancang ingin duduk di hotel mewah. Mutawif yang membawa kami juga sangat bertauliah dan berkongsi ilmu dengan kami sambil kami menjejaki tapak bersejarah peninggalan Rasulullah yang jarang dilawati agensi Singapura.
Cik Nur Syahidah, yang telah menunaikan umrah pada Disember 2024 dengan mengikuti agensi Malaysia.

Kadangkala kita nampak harga murah, tetapi apabila sampai ke sana (Tanah Suci), khidmatnya tidak menepati jangkaan. Kita perlu tahu bahawa jangkaan dan cita rasa warga Singapura dan warga Malaysia sangat berbeza. Setiap khidmat yang diberikan pasti melibatkan kos. Perlu juga semak betul-betul sama ada insurans dan sebagainya sudah termasuk.  
Ustaz Nafis Rahman, pengarah agensi pelancongan dan umrah Singapura, Travelconnect.sg.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg