Penyanyi, Shila Amzah, selamat melahirkan cahaya mata perempuan yang diberi nama Rhea Akira pada 9 Mei.
Berita gembira itu dikongsi suami Shila iaitu pempengaruh media sosial, Ubai MZ, melalui hantaran terkini di Instagram (IG), lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai kelahiran bayi sulung mereka itu tidak didedahkan.
“9 Mei 2024. Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta.
“Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa. Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan,” luahnya.
Dalam hantaran yang sama, Ubai atau nama penuhnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26 tahun, meluahkan rasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.
“Terima kasih ya Allah atas rezeki yang kau berikan pada kami sekeluarga. Cucu pertama arwah emak sudah selamat dilahirkan.
“Mesti arwah mak happy. Takdir dan perancangan Allah itu sangat hebat. Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang Engkau berikan ini,” ungkapnya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023 selepas Shila bercerai dengan bekas suami, Haris Idraki Elias, pada 8 Februari 2022, selepas empat tahun berkahwin.
Hasil perkongsian hidup, Shila dan Haris dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama, Seth Uwais.
Tahniah buat Shila dan Ubai di atas kelahiran si comel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg