Syarikat pemula pemanduan autonomi berpangkalan di China, WeRide, telah mendapat kelulusan daripada California untuk menguji kenderaan tanpa pemandunya dengan membawa penumpang, menurut permit daripada pengawal selia negeri itu.
Langkah itu dibuat sedang syarikat tersebut mencari penilaian sebanyak AS$5 bilion ($6.6 bilion) daripada Tawaran Awal Awam (IPO) New York, biarpun Amerika Syarikat bersedia mengharamkan kenderaan yang mempunyai sistem yang dibangunkan oleh China, berdasarkan sumber yang diberi taklimat mengenai perkara tersebut.
Permit daripada Suruhanjaya Kemudahan Awam California (CPUC) – dikeluarkan awal Ogos bagi tempoh tiga tahun – membolehkan WeRide membawa penumpang dalam kenderaan ujian dengan pemandu dan tanpa pemandu.
WeRide tidak akan dibenarkan menawarkan khidmat kepada orang awam dan tidak boleh mengenakan sebarang tambang.
WeRide mempunyai 12 kenderaan aktif dan akan beroperasi di San Jose serta kawasan berdekatan, kata CPUC dalam satu kenyataan kepada Reuters.
Membangunkan dan mencari nilai komersial bagi khidmat ‘robotaxi’ di Amerika kini lebih sukar daripada yang dijangka dengan halangan pengawalseliaan, tentangan daripada agensi bandar dan maklum balas negatif orang ramai.
Waymo, anak syarikat Alphabet, yang mempunyai kira-kira 700 kenderaan, adalah satu-satunya firma Amerika yang mengendalikan ‘robotaxi’ tanpa pemandu dan mengutip tambang.
Cruise milik General Motors pula menyambung ujian dengan meletakkan pemandu keselamatan dalam teksinya pada April, selepas salah satu kenderaannya melanggar pejalan kaki dalam satu nahas pada 2023.
WeRide, yang ditubuhkan pada 2017, mula menerima permit daripada California untuk menguji kenderaannya tanpa penumpang pada 2021.
Syarikat itu, yang turut membuat van autonomi, bas dan kenderaan sapu jalan raya, mempunyai permit tanpa pemandu di Singapura dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
WeRide tidak segera menjawab permintaan Reuters bagi butiran lanjut. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg