Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat teksi robot murah jejas pekerja ‘gig’ di China

Jul 25, 2024 | 5:30 AM
Teksi robot milik syarikat Baidu sedang dicas di China. Khidmat popular itu membimbangkan tenaga kerja ekonomi ‘gig’ China.
Teksi robot milik syarikat Baidu sedang dicas di China. Khidmat popular itu membimbangkan tenaga kerja ekonomi ‘gig’ China. - Foto AFP

WUHAN: Teksi tanpa pemandu, yang biasa dipanggil teksi robot atau ‘robotaxi’, semakin popular di Wuhan, China ekoran tambang rendah yang ditawarkan syarikat pengendali.

“Anda tidak perlu membeli kereta,” kata seorang penumpang ‘robotaxi’ berwarna putih dalam video yang telah ditonton lebih 80 juta kali di wadah media sosial China, Weibo, sejak minggu lalu.

Armada 500 kenderaan yang beroperasi di bandar itu adalah milik Apollo Go, sebuah unit gergasi teknologi China Baidu.

Ia berkhidmat di kawasan yang meliputi kira-kira separuh daripada penduduk bandar Wuhan, yang mempunyai 11 juta penduduk.

Faktor jualan utama ialah harga. Tambang asas bermula serendah 4 yuan (55 sen), berbanding 18 yuan ($3.30) untuk teksi yang dipandu manusia, lapor media pemerintah China, Global Times.

Perkhidmatan itu dilancarkan pada 2022 dan mula mendapat tarikan pada separuh pertama 2024.

Syarikat itu menyasarkan mahu menggandakan armadanya kepada 1,000 kereta menjelang akhir 2024.

Wuhan kini mempunyai kira-kira 17,000 teksi biasa, menurut biro pengangkutan bandar itu.

Tetapi penggunaan teksi tanpa pemandu telah membimbangkan tenaga kerja ekonomi ‘gig’ China, yang telah menderita akibat gaji yang tidak stabil dek kuasa deflasi yang menjejas ekonomi berikutan sekatan koronavirus yang ketat selama bertahun-tahun dan krisis hartanah.

Biro Perangkaan Kebangsaan China baru-baru ini melaporkan bahawa Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berkembang hanya 4.7 peratus pada April hingga Jun, kadar pertumbuhan yang jauh lebih perlahan daripada jangkaan 5.1 peratus.

Terdapat juga aduan daripada penduduk di Wuhan mengenai keselamatan, kerana berlaku kejadian kereta tanpa pemandu gagal bertindak balas terhadap lampu isyarat.

Awal Julai, sebuah ‘robotaxi’ melanggar lampu merah dan merempuh pejalan kaki, lapor akhbar People’s Daily. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg