Saya masih ingat dengan jelas perasaan saya pada 2017, saat saya melangkah keluar dari pejabat pentadbiran sebuah tadika pemerintah dengan mata yang berkaca.
“Maaf, kami tidak mampu kendalikan anak Puan… dia terlalu sukar dikawal. Dia boleh membahayakan rakan-rakan dan gurunya.”
Itulah kata-kata terakhir sebelum saya diminta menandatangani borang reason for leaving school (sebab berhenti sekolah).
Pada ketika itu, saya sedar betapa awalnya dunia mula menolak kanak-kanak yang tidak menepati piawaian ‘normal’.
Tanpa memahami puncanya, tanpa peluang untuk berbincang atau mencari penyelesaian bersama.
Yang tinggal hanyalah satu keputusan sepihak: pintu ditutup, tanpa tolak ansur.
Anak saya ketika itu baru berusia empat tahun. Dia masih belum mampu menyebut namanya sendiri, belum pandai duduk diam serta mudah terkesan oleh bunyi dan cahaya.
Tetapi sebagai ibunya, saya tahu dia bukan nakal, dia hanya belum difahami.
Ketika kanak-kanak lain belajar duduk di bulatan sambil belajar bersama, anak saya berlari ke sudut-sudut bilik.
Apabila disuruh menyanyi, dia menutup telinga dan bersembunyi di bawah meja.
Bagi sesetengah tadika, kelakuan itu tidak ‘normal’ dan cukup untuk menjadi sebab bagi menolak dia daripada mendapat peluang awal dalam pendidikan arus utama.
Namun seperti ramai ibu bapa lain, saya dan suami tidak menyerah.
Kami memohon agar anak kami dimasukkan ke Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (Eipic).
Di sinilah permulaan sebenar kami – dengan sesi terapi pertuturan, terapi cara kerja dan program pembangunan tingkah laku dibimbing oleh pasukan profesional yang memahami keperluan kanak-kanak dalam spektrum.
Menurut laporan SG Enable, lebih 3,600 kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah menerima sokongan campur tangan awal di bawah program Eipic pada 2023.
Permintaan tinggi ini menunjukkan keperluan mendesak untuk ibu bapa mengambil tindakan segera terutama semasa tempoh emas perkembangan otak anak, iaitu antara usia dua dengan enam tahun.
Dalam kes kami, sementara menunggu tempat sepenuh masa di Eipic, kami mendapatkan sokongan dengan sesi terapi individu di klinik satelit Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH).
Pendekatan ini mempercepatkan kemahiran asas seperti menunggu giliran, memberi tumpuan dan berkomunikasi secara berkesan.
Beberapa bulan kemudian, anak saya diterima di Pusat Kanak-Kanak Eden bagi program campur tangan selama dua jam, dua kali seminggu.
Selepas beberapa bulan di Eden, kami menyedari anak kami memerlukan ruang untuk menerapkan kemahiran tersebut dalam persekitaran sebenar – bukan sekadar dalam bilik terapi.
Campur tangan awal sangat penting, tetapi ia perlu disokong oleh peluang pembelajaran sosial sebenar bersama kanak-kanak ‘neurotipikal’ atau ‘normal’.
Kami memulakan kembali usaha memohon masuk ke tadika arus utama, kali ini dengan laporan perkembangan dan sokongan daripada pasukan Eden.
Setelah ditolak beberapa kali, akhirnya anak kami diterima masuk ke Touch Child Care.
Di Touch, mereka bukan sekadar menyediakan tempat untuk anak kami belajar.
Mereka menyediakan ekosistem yang menyokong perkembangan menyeluruh.
Dengan guru yang terlatih dan pendekatan yang bersifat terangkum, anak kami berpeluang membangunkan kemahiran sosial, emosi dan akademik secara beransur.
Guru juga berkomunikasi rapat dengan ibu bapa bagi membincangkan strategi dan penyesuaian yang perlu dilakukan.
Pendedahan kepada persekitaran terangkum bukan sekadar satu pengalaman pembelajaran malah ia adalah latihan kehidupan sebenar.
Kanak-kanak autistik perlu belajar menyesuaikan diri dengan struktur, pergaulan dan rutin yang berubah-ubah.
Sistem pendidikan arus utama menawarkan peluang ini dan menyumbang kepada pembangunan keyakinan diri dan kemahiran sosial jangka panjang.
Hari ini, anak kami berusia 12 tahun dan meneruskan persekolahannya di Sekolah Pathlight, sebuah institusi khusus untuk pelajar dengan autisme yang mampu mengikuti sukatan pelajaran nasional.
Di sini dia benar-benar berkembang, dengan asas yang kukuh dibina sejak awal melalui gabungan campur tangan awal dan pendedahan arus utama.
Kepada ibu bapa yang sedang menunggu tempat di pusat campur tangan awam seperti Eden, AWWA atau Rainbow Centre, jangan takut untuk mempertimbangkan pusat campur tangan swasta seperti WeCAN EIP, Kaleidoscope Therapy Centre atau Tink It! Learning Loft yang menawarkan sesi individu.
Meskipun melibatkan kos, sokongan awal yang bermutu boleh mengubah masa depan anak anda.
Kepada pengendali prasekolah serta pendidik, pendekatan terangkum bukan sekadar ‘baik untuk dilakukan’.
Ia satu keperluan masyarakat moden. Dengan latihan dan kerjasama ibu bapa serta ahli terapi, lebih banyak tadika mampu menjadi ruang selamat dan menyokong untuk semua kanak-kanak, tanpa mengira keperluan mereka.
Campur tangan awal adalah permulaan yang penting. Tetapi kita tidak boleh berhenti di situ.
Sebagai ibu bapa, kita mesti terus memperjuangkan tempat untuk anak-anak kita dalam masyarakat – termasuk dalam pendidikan arus utama.
Ini kerana di situlah mereka belajar untuk berdikari, menyesuaikan diri dan menyumbang sebagai sebahagian daripada masyarakat yang pelbagai.
Penulis ialah Pengasas dan Ketua Strategik, firma perunding pemasaran digital, Tin Communications. Beliau mempunyai dua anak, berusia 19 dan 12 tahun. Anak bongsunya, yang mengalami autisme ringan, merupakan murid Darjah 4 di Sekolah Pathlight.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg