Antara perkara pertama yang ibu bapa ingin tanyakan kepada anak-anak mereka selepas kembali dari sekolah adalah, “Bagaimanakah hari kamu?”
Ibu bapa hanya ingin mengetahui keadaan mereka dan apakah yang berlaku di sekolah.
Namun perbualan itu boleh terasa sukar.
Selalunya anda mungkin hanya mendapat jawapan berbentuk sepatah perkataan seperti, “Bagus”. Itupun jika anda bernasib baik.
Mengapakah kanak-kanak enggan berkongsi maklumat tentang hari mereka dan bagaimana anda boleh menggalakkan mereka agar ligat bercerita?
Sekolah boleh menjadi tempat sarat maklumat – dengan pelbagai tuntutan sosial, akademik dan fizikal.
Ia mungkin kelihatan mudah, tetapi jawapan yang sebenar kepada soalan, “Bagaimanakah sekolah hari ini?”, memerlukan usaha dan perlunya membuat keputusan besar untuk memilih maklumat daripada hari yang sibuk.
Kanak-kanak juga mungkin teragak-agak untuk menjawab jika dia fikir tindak balas ibu bapanya mungkin berbentuk kemarahan, kebimbangan atau kekeliruan.
Kanak-kanak juga mungkin lapar dan letih sejurus selepas kembali dari sekolah.
Mereka mungkin memikirkan tentang kudapan sebelum mahu mula berbual.
Jika anda memikirkan teori terkenal pakar psikologi, Encik Abraham Maslow, tentang “hierarki keperluan”, keperluan kehidupan seperti kelaparan sebaik-baiknya dipenuhi sebelum komunikasi dan menjalin hubungan.
Kanak-kanak juga belum membangunkan teori minda – keupayaan membayangkan apakah yang berlaku dalam fikiran orang lain – dengan sepenuhnya.
Jadi, mereka mungkin tidak faham mengapa ibu bapa mereka bertanya tentang sekolah atau apa sahaja perkara yang mereka ingin tahu.
Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perbualan yang sarat maklumat.
1. Pertimbangkan tujuan: Tanya diri anda sama ada anda ingin mengumpul maklumat atau berhubung dengan anak anda.
Untuk berhubung seketika, anda boleh sekadar berkata, “Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan kamu” di pagar sekolah.
Untuk mendapatkan maklumat, tanya soalan yang sangat khusus (yang tidak memerlukan banyak usaha mental daripada anak anda).
Contohnya, “Adakah kamu menjalani ujian ejaan kamu hari ini?”, dan bukannya, “Apakah yang kamu pelajari?”
2. Pilih masa yang sesuai: Daripada bertanya anak anda sejurus selepas sekolah, pertimbangkan untuk menunggu sebentar.
Perbualan yang lebih baik mungkin berlaku selepas kanak-kanak itu melepaskan tekanan dengan permainan kegemaran dan kudapan, semasa makan malam, atau semasa dalam perjalanan ke sekolah keesokan harinya.
Cuba buat rutin untuk membantu anak anda menyediakan jawapannya, seperti (permainan) “makan malam mawar” atau rose dinner.
Di meja makan, semua orang berkongsi “duri” harian mereka (sesuatu yang sukar atau mengecewakan) dan “kelopak” (sesuatu yang menyenangkan).
3. Pertimbangkan ruang: Perbualan secara bersemuka boleh menimbulkan tekanan dan membuat anak-anak berasa seperti disoal siasat.
Inilah sebabnya pakar psikologi meletakkan kerusi terapi pada posisi tertentu bagi menggalakkan suasana yang tenang dan santai agar lebih mudah untuk mendedahkan perkara yang sukar.
Jadi cuba lakukan kegiatan yang membolehkan anda berada di sebelah anak anda.
Contohnya, berjalan atau memandu, membuat kraf, bermain Lego, bersukan atau memasak.
Anak anda mungkin secara spontan menimbulkan topik – atau anda boleh membentuk corak perbualan dengan bercakap tentang hari anda terlebih dahulu.
Bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat untuk anak anda semasa perbualan, berikut empat lagi perkara yang boleh dipertimbangkan.
1. Benar-benar mendengar: Jika anak anda memulakan perbualan, beri perhatian penuh dan tunjukkan keghairahan kepadanya yang bermakna meletakkan telefon anda di tepi.
Jika anda sibuk memikirkan apakah yang akan anda katakan seterusnya semasa anak anda bercakap, ini bukan pendengaran bermutu tinggi.
Tunjukkan anda sedang mendengar dengan menyebut semula apakah yang dia katakan menggunakan perkataan anda sendiri, atau mengenal pasti perasaannya. Ini membantu dia berasa didengari dan difahami.
Jika anak anda mula berkongsi sesuatu yang penting tetapi berasakan anda tidak memberi sokongan atau kurang memberi perhatian, ini boleh membuatkan mereka tawar hati untuk berkongsi lagi pada masa hadapan.
2. Bersikap belas kasihan dan ingin tahu: Kita mempunyai keinginan kuat untuk melindungi anak-anak kita.
Tetapi daripada cuba “menyelesaikan” atau “mengajar” mereka ketika mereka bercakap, jangan takut untuk berdiam dan bertanya soalan untuk mengetahui lebih lanjut.
Rasa ingin tahu membantu menunjukkan bahawa ibu bapa mengambil berat.
Ia membolehkan kanak-kanak itu ‘memiliki’ pengalaman dan reaksinya sendiri dan bukan ibu bapa memberitahunya apakah yang perlu dirasa.
Sebagai contoh, apabila anak anda berkata: “Nick kata saya tidak boleh bermain dengannya”, anda boleh menjawab “Bagaimanakah perasaan kamu apabila dia katakan begitu?”
Elak menunjukkan kemarahan seperti “Itu kata-kata yang tidak baik daripada Nick!”
3. Raikan kekuatan: Apabila anak anda berbual, cuba kesan kekuatan dan nilai tersirat dalam perkara yang anak anda kongsikan.
Ibu bapa yang menonjolkan kekuatan atau kemahiran membantu membangunkan rasa diri (sense of self ) kanak-kanak itu. Misalnya: “Nampaknya kamu kecewa kerana kamu menghargai keadilan”.
4. Tindakan susulan: Jika anak anda bercakap tentang acara yang akan datang, tanya semula tentangnya.
Misalnya, “Minggu lalu, kamu berkata kamu gementar tentang perlawanan bola keranjang, bagaimana perasaan kamu sekarang?” Ini juga menunjukkan anda mendengar.
Tiada formula ajaib – setiap perbualan adalah berbeza, sama seperti individu yang menjadi sebahagian daripadanya.
Jadi, bereksperimen dengan idea ini dan ambil perhatian tentang perkara yang berkesan untuk anda dan anak anda.
Penulis ialah pensyarah kanan dalam psikologi klinikal di Universiti Katolik Australia. Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam, ‘The Conversation’, iaitu penerbit berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg