Kanak-kanak memang memerlukan banyak barang, namun mereka juga membesar dengan cepat hingga pakaian, mainan dan perabot yang dibeli sering kali tidak dapat digunakan bagi tempoh yang panjang.

Akibatnya, banyak keluarga berdepan dengan masalah rumah yang sesak dan bersepah.

Keadaan itu sering dipaparkan dalam rancangan mengemas rumah seperti, ‘Sort Your Life Out’ terbitan BBC One, yang menunjukkan bagaimana keluarga mempunyai begitu banyak pakaian dan mainan kanak-kanak hingga sukar untuk diuruskan.

Pada masa sama, kanak-kanak dan ibu bapa berdepan tekanan yang kian meningkat untuk membeli lebih banyak barang.

Iklan kini diselitkan secara halus dalam kandungan digital dan permainan dalam talian, manakala fenomena ‘kidfluencer’ atau pempengaruh cilik yang merakam video membuka kotak mainan baru turut mendorong keinginan untuk memiliki lebih banyak barang.

Namun, lambakan barang bukan sahaja menyebabkan rumah menjadi bersepah, malah boleh menimbulkan tekanan kepada seisi keluarga.

Selain rasa kehilangan kawalan terhadap keadaan rumah, ramai ibu bapa turut berasa bersalah terhadap kesan ke atas alam sekitar.

Sebagai contoh, kebanyakan mainan plastik yang mengandungi komponen elektronik sukar dikitar semula dan akhirnya berakhir di tapak pelupusan sampah.

Bagi memahami cara terbaik mengurangkan tekanan dan kesan alam sekitar akibat pengumpulan barang kanak-kanak, saya menemu bual 12 ibu bapa yang mengamalkan gaya hidup minimalis sebagai sebahagian daripada penyelidikan untuk buku mengenai minimalisme.

Mereka secara sedar memilih untuk hidup dengan sedikit barang, termasuk untuk anak-anak mereka.

Berikut lima strategi yang diamalkan:

1. Belajar katakan ‘tidak’

Ini boleh menjadi sesuatu yang amat rumit.

Seperti yang digambarkan oleh seorang ibu bapa: “Anda pergi ke pasar raya dan mereka kata, ‘Saya mahu ini, saya mahu ini’.”

Bagi mengelakkan pembelian tergesa-gesa mengikut dorongan hato atau impulsif, sesetengah ibu bapa meminta anak-anak mengambil gambar barang yang diinginkan dan menyimpannya dalam senarai hajat untuk hari lahir atau acara istimewa.

Ini mengakui kemahuan kanak-kanak itu.

“Jika mereka masih mahukan perkara yang sama menjelang acara istimewa itu, ia petunjuk baik barang itu memang sesuatu yang mereka benar-benar inginkan, bukan sekadar fasa atau minat sementara.”

Ibu bapa juga menguruskan jangkaan anak-anak tentang bilangan hadiah yang mereka akan terima untuk ulang tahun dengan mengehadkan jumlah hadiah kepada empat sahaja.

Ini berdasarkan konsep iaitu sesuatu yang diinginkan, sesuatu yang diperlukan, sesuatu untuk dipakai dan sesuatu untuk dibaca.

2. Hadiahkan pengalaman, bukan barangan

Menguruskan hadiah daripada ahli keluarga, terutama datuk dan nenek, boleh menjadi sesuatu yang sangat mencabar.

Dalam kajian di Amerika Syarikat pada 2019, datuk nenek didapati membelanjakan purata AS$805 setiap tahun ($1,036) untuk membeli hadiah untuk cucu mereka.

Di Britain, datuk dan nenek berhasrat membelanjakan hampir £100 ($172) untuk setiap cucu pada Krismas.

Sesetengah ibu bapa minimalis cuba mengurangkan hadiah daripada orang lain dengan meminta barangan tertentu yang anak-anak mereka benar-benar mahukan, sumbangan untuk membeli satu hadiah yang lebih besar, atau pengalaman seperti lawatan ke taman haiwan, bermain boling atau menonton wayang.

Mereka juga mengutamakan kegiatan berharga rendah seperti bermain di taman atau berkunjung ke perpustakaan berbanding membeli barang baharu.

3. Pilih mainan rangsang kreativiti

Kanak-kanak tetap memerlukan mainan untuk membantu perkembangan kognitif dan pembelajaran mereka.

Namun, mempunyai bilangan mainan yang kecil boleh membantu kanak-kanak memberi tumpuan dengan lebih baik dan bermain secara lebih kreatif.

Ibu bapa minimalis cenderung memilih mainan yang boleh digunakan dalam lebih daripada satu cara (open-ended toys) seperti blok binaan, jubin magnetik dan kain permainan.

Mainan seperti itu menggalakkan imaginasi dan kreativiti berbanding mainan yang mempunyai satu fungsi sahaja.

4. Pastikan setiap barang punya tempat simpanan

Menyusun atur mainan kanak-kanak di rumah masih boleh menjadi sangat mencabar.

Ibu bapa memberitahu saya mereka menguruskannya dengan memastikan setiap barang mempunyai ‘rumah’ atau tempat penyimpanannya sendiri.

Menurut ibu bapa, memastikan setiap barang mempunyai tempat penyimpanan tetap merupakan cara paling berkesan untuk membantu anak-anak belajar mengemas dan kekal teratur.

Ada juga keluarga yang menetapkan peraturan bahawa semua mainan mesti muat dalam kotak simpanan yang disediakan.

Jika kotak itu penuh, anak-anak perlu memilih barang yang tidak lagi digunakan untuk disingkir atau didermakan.

Sesetengah keluarga turut menetapkan bahawa kawasan bersama seperti ruang tamu dan dapur perlu sentiasa bebas daripada mainan, manakala anak-anak diberi lebih kebebasan menguruskan ruang peribadi mereka sendiri.

5. Panjangkan jangka hayat penggunaan barang

Apabila anak-anak sudah tidak menggunakan sesuatu barang, ibu bapa minimalis biasanya tidak menyimpannya terlalu lama.

Sebaliknya, barang tersebut akan dijual, didermakan atau diberikan kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang memerlukannya.

Selain membantu mengurangkan kekusutan di rumah, amalan itu juga lebih mesra alam kerana memanjangkan jangka hayat penggunaan sesuatu barang.

Pada masa yang sama, ia mengurangkan keperluan keluarga lain untuk membeli barang baru.

Kesimpulannya, amalan keibubapaan minimalis tidak bermaksud menafikan keperluan anak-anak.

Sebaliknya, ia menggalakkan keluarga membeli dengan lebih bijak, mengutamakan pengalaman berbanding barang, dan memastikan barang yang tidak lagi digunakan dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Hasilnya, keluarga dapat menikmati rumah yang lebih teratur, perbelanjaan yang lebih terkawal dan gaya hidup lebih mampan.

Penulis sekutu penyelidikan kanan dalam reka bentuk untuk kemampanan di Sekolah Seni dan Reka Bentuk, Universiti Manchester Metropolitan, England. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.