Ramai ibu bapa pernah mendengar nasihat ini: jangan berbual pelat atau ‘baby talk’ apabila bercakap dengan bayi dan kanak-kanak kecil.

Sebaliknya, penjaga sering digalakkan bercakap dengan betul dan menggunakan bahasa seperti orang dewasa kerana bimbang pertuturan yang dipermudahkan boleh mengelirukan kanak-kanak atau melambatkan perkembangan bahasa mereka.

Namun, kajian saya, yang turut saya huraikan dalam buku baru saya, Beyond Words, menunjukkan perkara yang sebaliknya.

Nada suara yang berlagu dan lebih ceria yang sering digunakan oleh orang dewasa secara semula jadi ketika bercakap dengan bayi, kadangkala dipanggil ‘bahasa bayi’ atau ‘baby talk’, tetapi lebih tepat dikenali sebagai parentese atau pertuturan yang ditujukan kepada bayi (infant-directed speech), sebenarnya membantu kanak-kanak mempelajari bahasa.

Jauh daripada mengelirukan bayi, ungkapan yang dilebih-lebihkan seperti “Liiiihat anjing itu!” dapat menarik perhatian mereka, membantu mereka mengenal pasti corak dalam pertuturan dan mengukuhkan ikatan sosial.

Malah, kesilapan lucu yang dilakukan oleh kanak-kanak ketika belajar bahasa, seperti menggunakan bentuk kata yang tidak tepat (seperti goed dan bukan went, atau mouses dan bukan mice), bukanlah tanda mereka belajar bahasa secara salah.

Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa mereka sedang berusaha memahami dan membina sendiri peraturan bahasa.

Guna perkataan sebenar, ayat betul

Apabila ramai orang memikirkan tentang bahasa bayi, mereka membayangkan bunyi-bunyian seperti ‘goo goo ga ga’ atau perkataan rekaan yang tidak mempunyai makna sebenar seperti ‘num nums’.

Namun, itu bukanlah yang dimaksudkan oleh ahli linguistik dan ahli psikologi perkembangan apabila mereka merujuk kepada parentese.

Parentese menggunakan perkataan sebenar dan ayat yang betul dari segi tatabahasa, tetapi dengan intonasi yang lebih ketara, nada suara yang lebih tinggi, vokal yang dipanjangkan dan rentak yang lebih perlahan.

Bayangkan cara seorang penjaga secara semula jadi berkata: “Hai, sayaaang! Lapar tak?”

Terdapat sedikit bukti bahawa penggunaan sekali-sekala perkataan rekaan yang bersifat bermain-main memberi kesan negatif kepada perkembangan bahasa kanak-kanak.

Namun, kajian menunjukkan bahawa parentese khususnya membantu bayi memberi perhatian kepada pertuturan, mengenal pasti corak bahasa dan berinteraksi secara sosial.

Orang dewasa daripada pelbagai budaya cenderung bercakap dengan bayi menggunakan gaya ini secara spontan.

Malah, mereka yang mendakwa tidak pernah menggunakan bahasa bayi sering kali tanpa sedar bertukar kepada gaya pertuturan ini apabila berhadapan dengan bayi.

Penyelidik mendapati bahawa bayi sebenarnya lebih gemar mendengar parentese berbanding pertuturan biasa orang dewasa.

Bunyi yang lebih jelas dan tempo yang lebih perlahan menjadikan bahasa lebih mudah diproses.

Bayi lebih mudah mengenal pasti bunyi individu, membezakan sempadan antara perkataan dan mengenal corak.

Dengan kata lain, parentese membantu bayi memberi tumpuan kepada bahasa.

Ia juga mengukuhkan hubungan emosi.

Pembelajaran bahasa tidak berlaku secara terasing. Bayi belajar melalui interaksi yang mesra dan responsif dengan penjaga ketika makan, bermain, mandi dan menjalani rutin harian.

Menariknya, manusia bukan satu-satunya yang memberi tindak balas kepada gaya komunikasi ini.

Kajian turut menunjukkan bahawa kucing memberi tindak balas yang lebih positif apabila manusia bercakap dengan mereka menggunakan nada seperti ‘bahasa bayi’.

Si kecil bukan pelajar pasif

Kanak-kanak tidak mempelajari bahasa hanya dengan meniru orang dewasa perkataan demi perkataan. Mereka secara aktif menguji hipotesis tentang cara bahasa berfungsi.

Sebab itulah kanak-kanak kecil sering melakukan kesilapan yang boleh dijangka dan sebenarnya sangat logik.

Salah satu contoh ialah penyamarataan berlebihan (overgeneralization).

Seorang kanak-kanak belajar bahawa banyak kata kerja membentuk masa lampau dengan menambah akhiran ‘-ed’, lalu mereka cuba menerapkan peraturan itu kepada semua kata kerja dengan hasil seperti ‘goed’, ‘eated’ atau ‘comed’.

Kesilapan seperti ini bukan berlaku secara rawak.

Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kanak-kanak telah memahami satu peraturan tatabahasa dan sedang cuba menggunakannya secara konsisten.

Masalahnya hanyalah kerana bahasa Inggeris mempunyai banyak pengecualian terhadap peraturan tersebut.

Perkara yang sama berlaku pada bentuk jamak.

Kanak-kanak mungkin menggunakan bentuk jamak yang tidak tepat kerana mereka mengaplikasikan peraturan yang sama kepada semua perkataan seperti ‘foots’ dan bukan ‘feet’ dan ‘mouses’ dan bukan ‘mice’.

Dari sudut logik, kesilapan itu sebenarnya masuk akal.

Ahli linguistik kadangkala menggambarkan kanak-kanak sebagai saintis kecil yang sentiasa menguji corak dan menyemak semula pemahaman mereka apabila menerima lebih banyak maklumat (input) daripada dunia sekeliling.

Kanak-kanak kecil juga melakukan kesilapan yang boleh dijangka dalam memahami makna perkataan.

Seorang kanak-kanak mungkin mempelajari perkataan ‘anjing’ lalu menggunakannya untuk merujuk kepada semua haiwan berkaki empat yang ditemuinya.

Ahli linguistik memanggil fenomena ini sebagai perluasan makna yang berlebihan (overextension).

Sebaliknya, ada juga kanak-kanak yang menggunakan perkataan secara terlalu sempit.

Contohnya, mereka mungkin menggunakan perkataan ‘anjing’ hanya untuk haiwan peliharaan keluarga mereka dan tidak menyedari bahawa anjing lain juga tergolong dalam kategori yang sama.

Fenomena ini dikenali sebagai pengecilan makna (underextension).

Kesilapan-kesilapan ini menunjukkan bagaimana kanak-kanak menyusun dan mengkategorikan dunia di sekeliling mereka.

Mereka sedang memadankan perkataan dengan objek, manusia dan pengalaman secara beransur-ansur.

Kata ganti nama juga merupakan satu cabaran.

Kanak-kanak kecil sering keliru antara ‘saya’ dan ‘kamu’ kerana maknanya berubah mengikut siapa yang sedang bercakap.

Jika seorang ibu berkata, “Nanti saya ambil kamu,” kanak-kanak mendengar dirinya dirujuk sebagai ‘kamu’.

Namun apabila dia cuba mengulangi ayat itu, dia mungkin belum memahami bahawa kata ganti nama tersebut berubah mengikut penutur.

Sebab itulah kanak-kanak kecil kadangkala mengeluarkan ayat yang kedengaran lucu atau mengelirukan.

Namun di sebalik kekeliruan itu, sebenarnya terdapat proses pembelajaran yang sangat kompleks.

Cookie Monster pun salah

Kesilapan pertuturan kanak-kanak begitu mudah dikenali sehingga sering dipaparkan dalam budaya popular.

Watak Cookie Monster dalam rancangan Sesame Street terkenal dengan ayat seperti “Me want cookie” (Saya mahu kuih). Corak pertuturan ini sebenarnya mencerminkan tahap sebenar perkembangan bahasa kanak-kanak. 
Watak Cookie Monster dalam rancangan Sesame Street terkenal dengan ayat seperti “Me want cookie” (Saya mahu kuih). Corak pertuturan ini sebenarnya mencerminkan tahap sebenar perkembangan bahasa kanak-kanak.  - Foto SESAME WORKSHOP

Watak Cookie Monster dalam rancangan Sesame Street terkenal dengan ayat seperti “Me want cookie” (Saya mahu kuih), manakala Elmo pula sering merujuk dirinya menggunakan nama sendiri, seperti “Elmo mahu ini”.

Corak pertuturan ini mencerminkan tahap sebenar perkembangan bahasa kanak-kanak.

Kanak-kanak kecil lazimnya keliru dengan kata ganti nama atau merujuk diri mereka menggunakan nama sendiri sebelum menguasai penggunaan kata ganti seperti ‘saya’.

Walaupun ada orang dewasa yang mengkritik gaya pertuturan seperti ini, tiada bukti bahawa mendengarnya memberi kesan buruk kepada perkembangan bahasa kanak-kanak.

Jika ada pun, ia mencerminkan proses eksperimen semula jadi yang dilalui oleh mereka.

Perkembangan sebutan juga berlaku secara beransur-ansur.

Kanak-kanak kecil sering mempermudahkan bunyi yang sukar atau gabungan konsonan yang kompleks.

Contohnya, perkataan yang sukar disebut mungkin dipendekkan atau diubah supaya lebih mudah diucapkan.

Pakar terapi pertuturan dan bahasa merujuk penyederhanaan ini sebagai proses fonologi (phonological process).

Ia merupakan bahagian normal dalam perkembangan kerana sesetengah bunyi memang lebih sukar dihasilkan secara fizikal berbanding yang lain.

Bunyi seperti ‘r’, ‘th’, ‘sh’ dan ‘ch’ biasanya dikuasai lebih lewat kerana memerlukan kawalan lidah dan mulut yang lebih tepat.

Kebanyakan kanak-kanak akan meninggalkan corak sebutan ini secara semula jadi apabila pertuturan mereka semakin matang.

Namun, jika kesukaran itu berterusan, ia kadangkala boleh menandakan gangguan pertuturan atau bahasa yang memerlukan bantuan profesional.

Kesilapan sebahagian pembelajaran

Ibu bapa sering berdepan tekanan yang besar untuk melakukan segala-galanya dengan betul, termasuk membantu anak-anak belajar bertutur.

Namun, kanak-kanak tidak mempelajari bahasa dengan mengelakkan kesilapan.

Mereka belajar melalui interaksi, percubaan dan pengulangan.

Parentese membantu bayi memberi tumpuan kepada pertuturan dan berinteraksi secara sosial.

Kesilapan lucu yang dilakukan oleh kanak-kanak kecil pula menunjukkan bahawa mereka sedang menyusun dan memahami sistem bahasa yang kompleks secara aktif, dan selalunya merupakan tanda perkembangan yang normal.

Pemerolehan bahasa ialah satu proses yang tidak teratur, kreatif dan sangat mengagumkan.

Jadi, ibu bapa dan penjaga tidak perlu berasa malu apabila bercakap dengan bayi menggunakan nada suara yang berlagu dan dilebih-lebihkan.

Jauh daripada menjejaskan pemerolehan bahasa, gaya pertuturan itu sebenarnya boleh membantu membina asas yang kukuh untuk perkembangan bahasa mereka.

Penulis ialah zamil penyelidik kanan bidang linguistik di Universiti Colorado Boulder dan Universiti Griffith. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.