Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cari damai di kampung nelayan Mui Ne

Jurugambar BM seronok rakam semangat gotong-royong penduduk, padang pasir putih dan aliran sungai ketika bercuti di Vietnam
Aug 13, 2023 | 5:30 AM
ASINGKAN IKAN: Pekerja kampung nelayan gigih mengasingkan jenis ikan untuk dijual di pasar.
ASINGKAN IKAN: Pekerja kampung nelayan gigih mengasingkan jenis ikan untuk dijual di pasar. - Foto BM oleh KHALID BABA
PENANTIAN MENGGEMBIRAKAN: Pekerja kampung nelayan berada di tepi lautan untuk menanti ketibaan nelayan yang datang dengan muatan bot sarat ikan hasil tangkapan.
PENANTIAN MENGGEMBIRAKAN: Pekerja kampung nelayan berada di tepi lautan untuk menanti ketibaan nelayan yang datang dengan muatan bot sarat ikan hasil tangkapan. - Foto BM oleh KHALID BABA

Apabila anda sudah biasa dengan hiruk-pikuk suasana hutan batu atau kota kosmopolitan yang merimaskan dan melelahkan, jiwa ini mendambakan ketenangan di kawasan desa. Tidak perlu pergi jauh-jauh. Kalau sudah biasa balik kampung di seberang Tambak atau ke negara jiran Indonesia, apa kata pergi ke kota resort tepi pantai Mui Ne di Tenggara Vietnam?

Ini yang saya sekeluarga lakukan untuk menghirup udara segar dan nyaman, jauh daripada kesesakan lalu lintas yang memeningkan kepala. Di Mui Ne, saya temui kedamaian perkampungan nelayan yang juga wilayah pelancongan sekitar kawasan Binh Thuan.

Anda boleh lihat pepohon kelapa melambai-lambai di Mui Ne yang bermaksud ‘Semenanjung Terlindung’. Ia adalah antara destinasi percutian terkenal dunia dengan sepanjang 15 kilometer terbina beberapa resort untuk penginapan sementara pelancong yang datang bertamu di Vietnam.

Mui Ne hanya didiami sekitar 25,000 penduduk. Selain menampung kampung nelayan, ia juga tempat untuk anda menyaksikan aktiviti seperti lungsur lelayang di mana seseorang meluncur laju di lautan dengan berpaut pada layang-layang raksasa yang berterbangan mengikut arah angin.

Di kampung nelayan, anda boleh melihat aktiviti cari makan seharian penduduk di sini. Mereka begitu sibuk dan rajin mencari rezeki, menentang badai dan bersabar menangkap ikan di lautan. Ramai yang menanti di tepian laut untuk mendapatkan bekalan ikan untuk diasingkan sebelum dijual di pasar. Saya tabik kesungguhan mereka mencari rezeki untuk beri makan keluarga.

Seawal 4.30 pagi, saya sudah bangun tidur untuk merakam foto sebelum terbitnya matahari di tepian lautan berhampiran resort. Selepas itu, saya bergegas pula ke kawasan padang pasir atau beting pasir (sand dunes) persis berada di Padang Pasir Sahara di benua Afrika.

PEMANDANGAN AWAL PAGI: Penulis dan jurugambar Khalid Baba bangun seawal 4.30 pagi untuk merakam suasana syahdu berhampiran resort sementara menanti matahari terbit.
PEMANDANGAN AWAL PAGI: Penulis dan jurugambar Khalid Baba bangun seawal 4.30 pagi untuk merakam suasana syahdu berhampiran resort sementara menanti matahari terbit. - Foto BM oleh KHALID BABA

Asia Tenggara sentiasa dikaitkan dengan sekitaran tropika panas tetapi di Mui Ne, wujud padang pasir cantik dengan beting pasir putih yang letaknya sekitar 50 kilometer daripada kawasan pusat Mui Ne atau empat jam daripada Kota Ho Chi Minh. Tiada unta di sini, sebaliknya lembu yang dijaga dan merentasi kawasan pasir putih.

BAGAI JEJAKI SAHARA: Padang pasir dengan beting pasir putih di Mui Ne ini menakjubkan pandangan mata meskipun tiada unta seperti di padang pasir Sahara, Afrika.
BAGAI JEJAKI SAHARA: Padang pasir dengan beting pasir putih di Mui Ne ini menakjubkan pandangan mata meskipun tiada unta seperti di padang pasir Sahara, Afrika. - Foto BM oleh KHALID BABA

Apa yang menarik di sini adalah lagun kecil yang dipenuhi dengan teratai. Bersebelahan tasik, ada juga rimba sarat dengan pokok pain. Justeru, walau padang pasir Asia ini panas, terasa angin sepoi-sepoi bahasa bertiupan di sini.

Selain itu, jika anda mencari tempat cantik mesra alam untuk dirakam fotonya, ada aliran sungai, atau Fairy Stream (Suoi Tien). Kawasan ini memang cantik bak paparan lukisan indah yang dihasilkan dengan palitan cat air. Jalanlah di tepian tebing sungai ini untuk meneroka keindahan alam.

IBARAT DI GRAND CANYON: Pelancong menikmati pemandangan indah di aliran sungai atau ‘Fairy Stream’ (Suoi Tien) yang cukup menenangkan persis di ngarai besar Grand Canyon meskipun pada skala kecil.
IBARAT DI GRAND CANYON: Pelancong menikmati pemandangan indah di aliran sungai atau ‘Fairy Stream’ (Suoi Tien) yang cukup menenangkan persis di ngarai besar Grand Canyon meskipun pada skala kecil. - Foto BM oleh KHALID BABA

Ada juga air terjun kecil jika diteroka dalam kawasan ini. Kalau haus, ada penjaja tepi jalan yang menjual air kelapa yang menyegarkan.

Mui Ne memanglah tempat untuk anda melepaskan segala penat dan jemu melihat bangunan konkrit di mana-mana.

MENANTI PELANGGAN: Seorang penjual cendera hati menanti penuh sabar kedatangan pelancong sambil menatap telefon bimbit bagi membeli hasil jualannya untuk dibawa pulang sebagai hadiah buat keluarga dan sahabat handai.
MENANTI PELANGGAN: Seorang penjual cendera hati menanti penuh sabar kedatangan pelancong sambil menatap telefon bimbit bagi membeli hasil jualannya untuk dibawa pulang sebagai hadiah buat keluarga dan sahabat handai. - Foto BM oleh KHALID BABA
KEGIATAN RIADAH: Antara kegiatan kegemaran di padang pasir adalah menunggang kenderaan ATV.
KEGIATAN RIADAH: Antara kegiatan kegemaran di padang pasir adalah menunggang kenderaan ATV. - Foto BM oleh KHALID BABA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg