Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Panggilan Batam untuk nikmati riadah ringkas

Peluang tinjau daya tarikan termasuk masjid dan taman rusa dengan sumber inspirasi hiasan dan kerja seni antarabangsa
Aug 06, 2023 | 05:31 AM



Kunjungan terakhir saya ke Batam adalah pada 2017 ketika mengikuti penyanyi setempat Rudy Djoe yang diundang menghiburkan ramai di Pesta Jaz dan Fesyen Batam (Bajafash).

Sejak pandemik melanda, jangan katakan negara eksotik tetapi negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang cukup dekat juga tidak dapat dijadikan tempat persinggahan.

Lantaran itu, kerinduan yang amat sangat pada ketenangan dan warna-warni Batam dapat diubati pada hujung minggu lalu apabila saya dan seorang teman, penganjur acara Siti Aminah Ismail, berkunjung ke Pulau Batam, kota terbesar di wilayah Riau, untuk mengambil udara segar dan bersiar-siar.

Bertuah sungguh kerana kami ditemani jurudandan Wan Huzarman yang memiliki rumah di Batam. Beliau bak pemandu pelancong yang teruja membawa kami menjelajah ceruk Batam yang tidak pernah dijejaki sebelum ini kerana terlalu terpencil dan terlalu jauh untuk dikunjungi.

Dalam percutian hujung minggu tiga hari dua malam sahaja, banyak yang dapat saya tinjau tentang gaya hidup dan aktiviti riadah masyarakat Batam. Menaiki feri untuk ke Batam Centre dari Terminal Feri Harbourfront hanya mengambil masa 45 minit sahaja. Tiada masalah kesesakan jalan raya. Sejuk mata memandang dan menjamah lautan biru yang kadangkala bergelora dan adakalanya nampak berkocak-kocak jernih.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian saya adalah beberapa seni bina bangunan mahupun kerja seni atau hiasan di Batam yang mengingatkan saya tentang daya tarikan di luar negara.

Walaupun struktur tersebut hanyalah replika dan bukan yang asli, ia sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja gembira merakam foto di situ sebagai kenang-kenangan untuk dimuatnaikkan ke Facebook atau Instagram.

Malahan, kelihatan juga beberapa penduduk Batam yang ghairah merakam klip TikTok yang dijayakan keluarga tiga generasi mereka iaitu nenek, ibu dan anak remaja sepanjang dua jam kami di Jambatan Barelang tempohari.

PAYUNG MASJID TERBESAR BATAM PERSIS MASJID NABAWI DI MADINAH







Kesyahduan dicampur ketenangan menyelinap di hati sewaktu menjejakkan kaki ke Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah, masjid terbesar di Batam yang juga dikenali sebagai Masjid Agung II. Masjid Agung pertama adalah Masjid Raya Batam di Jalan Engku Putri Kota Batam.

Telapak kaki saya yang awalnya terasa berbahang dek menjejak jalan raya yang panas menggigit bertukar menjadi sejuk dan nyaman apabila ia menyentuh permukaan lantai marmar masjid ini.

Sewaktu hadir di situ bersama teman-teman saya, kelihatan majlis pernikahan sedang berlangsung di situ dengan hiasan pelamin indah dan juga ruang resepsi untuk kumpulan kecil hadirin. Masjid ini mengambil sempena nama pahlawan handal di wilayah Kepri.

Masjid ini memiliki kubah terbesar di seluruh Indonesia dan juga adalah masjid terbesar Batam dan Sumatra. Ia dilancarkan dengan upacara peletakan batu pertama oleh Walikota (seperti Datuk Bandar) Batam, Encik Muhammad Rudi, pada 30 April 2017. Masjid ini dirasmikan pada 20 September 2019.

Ia mempunyai seni bina bernuansa Melayu dan Arab. Menaranya setinggi 99 meter. Warna putih bersihnya menambah keamanan suasana sekitar.

Apabila memasuki halaman masjid, terasa seakan berada di Masjid Nabawi dek struktur payung membran di situ yang setinggi 17 meter. Terdapat lapan payung perteduhan berbanding 250 payung di Masjid Nabawi. Masjid di Batam ini pula boleh menampung 25,000 jemaah. Payung itu juga boleh dibuka dan ditutup sepertimana di Masjid Nabawi.

Jika anda berada di menaranya, anda boleh nampak Singapura dari kejauhan.

‘STONEHENGE’ DI TAMAN RUSA

Lawatan ke Taman Rusa di Tanjung Pinggir, Sekupang, juga menarik bagi saya melarikan diri daripada hingar-bingar hutan batu di Singapura. Berbondong-bondong rusa datang untuk makan lobak merah yang saya hulurkan di balik pagar. Seekor rusa bertanduk bak ‘samseng kampungan’ tampil ke depan dengan garang sambil menanduk dan menolak rusa lain untuk rebut lobak dalam tangan saya.

Taman Rusa ini mulanya dinamakan Pusat Kebugaran Persatuan Istri Karyawan Otorita Batam (Pikori). Pada 2008, pengelola Pikori menambah rusa di sekitar trek lari-lari anak sehingga namanya ditukar menjadi Taman Rusa. Destinasi ini dirasmikan lagi pada 1 April 2022 dengan pelbagai kemudahan wisata menarik.

Selesai memberi rusa dan ikan makan, saya ternampak struktur batu-batan persis Stonehenge (tarikan pelancong di Salisbury, United Kingdom) di Taman Rusa. Bolehlah bergambar di situ dengan tempias air daripada air terjun mini berhampiran terasa. Air terjun itu memang penawar di kala cuaca panas terik.

Tidak dapat dipastikan siapa yang membina arca Stonehenge itu. Mengikut kisah rakyat, Stonehenge dibina tukang sihir legenda, Merlin, yang secara magis mengalihkan batu-batan besar itu dari Ireland dengan raksasa mengaturnya menjadi seni pemasangan yang indah. Ada juga kisah puak Danes yang menyerang dan menguasai Salisbury menyusun batu itu. Satu lagi kisah ialah Stonehenge adalah hasil peninggalan runtuhan sebuah kuil Romawi.

Banyak ruang untuk anak-anak bermain di Taman Rusa. Harga tiket adalah 5,000 rupiah (Isnin hingga Jumaat) dan 10,000 rupiah pada (Sabtu dan Ahad) atau bersamaan 44 sen hingga 88 sen.

WARNA-WARNI PAYUNG TERGANTUNG

Jangan sangka payung yang digantung di jalanan hanya wujud di kota Eropah dan Amerika Selatan sahaja.

Sebaliknya, ia juga boleh ditemui sedekat kepulauan Batam apabila anda ke Taman Rusa. Pastinya banyak foto menarik yang boleh anda muatnaikkan ke Instagram, Facebook dan TikTok dengan bergaya di bawah payung ini.

Payung di jalanan adalah sebahagian daripada The Umbrella Sky Project yang bermula di Portugal pada 2012. Seni pemasangan payung ini kemudian dibawa terbang ke Perancis, Sepanyol, Jepun dan Norway. Ia peringatan buat orang ramai bahawa insan dengan masalah hiperaktif kekurangan tumpuan (ADHD) dan kondisi lain mempunyai kelebihan dan kemahiran untuk disumbangkan kepada masyarakat. Kondisi mereka bukan sesuatu yang membuat mereka kurang upaya tetapi wujud kelebihan dalam diri mereka yang dapat dimanfaatkan.


TEMU ‘JODOH’ DENGAN KEREPEK DAN MAKANAN JALANAN







Kalau anda mencari tempat macam Geylang Serai, pergilah ke Jodoh di mana pasar tertua Batam berada. Di sini, rambang mata dan terbuka selera sebab banyak kudapan seperti keropok, emping dan kerepek untuk dibeli dan dibawa pulang. Kami singgah di Toko Oleh Oleh Anugrah di mana seorang jurujual manis budi bicara Widya memberi anda peluang merasa pelbagai kudapan sebelum pilih mana yang berkenan di hati dan tekak.

Ada emping perisa tomyam, kerepek pedas, rengginang, belinjau dan bermacam lagi dijual di sini. Pada waktu larut malam, terdapat gerai jalanan yang menjual bermacam jenis nasi goreng, mi dan lauk-pauk menyelerakan yang boleh anda kunjungi dengan ada ketikanya dihiburkan dengan kehadiran seniman jalanan yang memetik gitar.

Pendek kata, jika anda perlukan percutian ringkas setakat untuk bernafas dan meraih suntikan tenaga segar, Batam menjadi penawar. Pastinya segar-bugar pulang bertugas pada Isnin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >