Jenama fesyen wanita tempatan, The Editor’s Market (TEM), kini membuka cawangan terbarunya di Great World.
Ia berfungsi sebagai cawangan utama bagi jenama itu, yang juga mempunyai kedai di Jem dan Tampines 1.
TEM baru-baru ini menutup cawangan utama mereka di Takashimaya Shopping Centre selepas kontrak sewa selama tiga tahun tamat.
Namun jenama itu merancang membuka semula di unit lain di tingkat yang sama pada Julai, lapor The Straits Times.
Cawangan baru TEM di Great World, dengan berkeluasan 1,800 kaki persegi, menampilkan reka bentuk minimalis yang berbeza daripada kedai mereka yang terdahulu.
Ruangan itu terang dan lapang, dengan pencahayaan buatan yang kelihatan seperti cahaya matahari menerusi jendela langit (skylight).
Dua silinder besar bercorak dam berfungsi sebagai ciri utama, mempamerkan pakaian terpilih di sudut-sudut yang lebih peribadi.
Walaupun cawangan baru itu tidak menawarkan pelbagai jenama gaya hidup dan peralatan rumah seperti cawangan utamanya yang lama di Takashimaya, serta tidak mempunyai kafe, pelanggan masih boleh membeli jenama rakan kongsi seperti Baggu, jenama aksesori dari Amerika Syarikat, dan Rise Rise, jenama pakaian santai tempatan.
TEM turut menawarkan beg rekaan mereka sendiri seperti Tate Bag ($69) dan Shirr Shoulder Bag ($49).
Alamat: #01-147 Great World, 1 Kim Seng Promenade
Jenama kasut global Vivaia kini meraikan ulang tahun kelima mereka dengan kedai ‘pop-up’ di Singapura, pasaran paling berprestasi tinggi mereka di Asia.
Jenama yang dahulunya beroperasi secara dalam talian sahaja dan berasal dari China membuka kedai fizikal pertama mereka di dunia di Bugis Junction pada September 2023.
Sejak itu, mereka telah memperluas kehadiran fizikal mereka dengan pesat di seluruh dunia, termasuk lima kedai di Singapura.
Dihargai kerana keselesaan yang ditawarkan, kasut itu dipakai ramai selebriti, termasuk penyanyi Blackpink, Jennie, yang memuat naik gambar kasut berbentuk ‘square-toe’, Margot Mary-Jane dalam warna Ruby Red ($189) di Instagram.
Sementara itu, gambar supermodel dari Amerika, Bella Hadid, telah diambil tatkala beliau mengenakan Sneakerina Cristina ($217), sepasang kasut sniker yang diinspirasikan daripada kasut balet dengan rekaan satin boleh dicuci menggunakan mesin.
Kedai ‘pop-up’ itu akan memperkenalkan Sneakerina dalam warna Butter Yellow.
Dari 30 Mei hingga 1 Jun, Vivaia akan mengambil alih ruang atrium di aras bawah tanah Wisma Atria.
Pelanggan yang membeli sepasang Sneakerina di ‘pop-up’ itu boleh mengakses ruang yang membolehkan mereka memadankan tali kasut berwarna-warni dan aksesori mengikut cita rasa sendiri untuk kasut mereka.
Alamat: B1-25 Wisma Atria, 435 Orchard Road
Waktu operasi: 30 Mei hingga 1 Jun, 10 pagi hingga 9.45 malam
Setiap jenama mewah mempunyai satu beg tangan ikonik yang dikenali ramai.
Bagi label fesyen dari Sepanyol Loewe, beg tersebut ialah Puzzle.
Beg kulit berbentuk geometrik itu merupakan beg baru pertama yang dilancarkan oleh label tersebut sejak 1980-an dan akan menyambut ulang tahun ke-10 pada 2025.
Sempena ulang tahun itu, Loewe telah melancarkan 19 edisi keluaran semula beg tersebut yang digemari ramai sejak berdekad lalu, dengan satu rekaan baru di bawah koleksi Puzzle 10 (daripada $6,950).
Koleksi edisi terhad itu mempamerkan pelbagai teknik – applique (tampal hias), sulaman, jahitan silang dan marquetry, iaitu teknik khas penatahan kulit Loewe.
Setiap beg merupakan sebuah karya seni. Berlatar belakang suede berwarna hijau lembut, SS18 Runway Re-edition berharga $8,700.
Dalam satu lagi rekaan, Paula’s Ibiza Parrot Re-edition ($8,700), struktur beg yang menyerupai origami itu hidup dengan tampalan geometri cetakan arkib, kanvas bercetak, panel denim serta motif burung kakak tua.
Satu lagi edisi keluaran semula ialah beg Confetti baru ($8,700), yang diperbuat daripada kulit berwarna biru gelap dan disulam tangan dengan ribuan kepingan konfeti.
Kepingan berwarna seperti gula-gula itu terdiri daripada kepingan berbentuk bulatan kecil dan berlian yang diperbuat daripada kulit dan manik.
Maklumat: Koleksi Loewe Puzzle 10 boleh didapati mulai 29 Mei di kedai Loewe terpilih, termasuk Casa Loewe, di Ion Orchard.
Alamat: 01-11A/12 Ion Orchard, 2 Orchard Turn
Jenama penjagaan kulit dan tubuh, Sol de Janeiro, memperkenalkan losen badan pertamanya.
Body Badalada Lotion ($49 untuk 400 mililiter) ditawarkan dalam wangian Cheirosa 62, iaitu gabungan aroma kacang pistasio dan ‘salted caramel’.
Walaupun terasa ringan, ia dikatakan memberikan penghidratan selama 24 jam melalui campuran bahan-bahan, termasuk tebu Brazil, untuk meningkatkan kelembapan di permukaan kulit; gabungan asid hialuronik, untuk menyalurkan kelembapan ke lapisan kulit yang lebih dalam; serta minyak kacang Brazil yang kaya dengan vitamin E.
Untuk pengalaman bau yang lebih sempurna, gunakan bersama pencuci badan dan semburan dengan wangian yang sama.
Maklumat: Boleh didapati di cawangan Sephora dan laman web, sephora.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg