KOTA BHARU (Kelantan): Kehadirannya di mana-mana majlis dengan mengenakan persalinan bermotifkan batik sentiasa mencuri tumpuan.
Batik dipakai Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 43 tahun, kelihatan lebih menarik apabila digayakan dengan selendang atau kerongsang, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya.
Wan Zakaria berkata kepada Berita Harian Malaysia, beliau mencintai seni batik sejak 15 tahun lalu dan sehingga kini, sudah mempunyai lebih 1,000 koleksi persalinan bermotifkan batik dengan kira-kira 400 pasang masih dalam keadaan baik.
“Mungkin bagi orang lain, untuk menampakkan diri mewah adalah menerusi barangan yang dibawa contohnya, beg tangan berjenama tapi saya mengenakan persalinan batik gaya eksklusif.
“Saya menghargai warisan batik dan berasa gah apabila menggayakannya, ditambah proses pembuatannya rumit malah harganya bukan murah.
Bekas guru ini berkata jika dulu beliau membeli fabrik batik ini daripada beberapa kenalan pengusaha batik, kini beliau mendapatkannya daripada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta penjara yang turut menghasilkan produk berkenaan.
Menariknya, pakaian dihasilkan pengasas pusat pendidikan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Bizara Care Centre itu dipakainya sekali sahaja untuk sesuatu acara atau majlis.
Ia supaya menampakkan ciri eksklusif selain serlahkan penampilannya yang variasi.
“Jika orang lain menghadiri sesuatu majlis, bermacam fesyen digayakan, saya kekal dengan imej batik. Saya bangga apabila ramai yang tertunggu-tunggu penampilan batik corak pilihan saya.
“Untuk majlis separa rasmi, saya akan memakai batik dari fabrik kapas manakala majlis rasmi, sutera kapas menjadi pilihan dengan motif pelbagai sama ada flora, abstrak atau geometri,” katanya, yang juga Graduan Sarjana Pendidikan di Open University Malaysia (OUM).
Wan Zakaria berkata hampir 80 peratus koleksi baju batik miliknya adalah buatan Malaysia, manakala selebihnya dari Indonesia serta Vietnam.
Menurutnya lagi, kain batik dibelinya ada yang mencecah harga sehingga RM1,200 ($363) untuk empat meter, namun tidak menganggap perkara itu membazir kerana baginya nilai warisan batik itu lebih tinggi.
“Dunia fesyen ikut peredaran tapi tidak bagi batik yang sentiasa hidup. Cuma warisan ini perlu dijaga kerana zaman kini, tidak ramai yang ingin memakainya terutama golongan muda. Oleh itu usaha pemeliharaan warisan ini perlu diteruskan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg