Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Celine Dion tampil lebih sihat, terima sorakan gemuruh

Feb 5, 2024 | 5:04 PM
Celine Dion yang mengalami masalah kekejangan otot sebelum ini mendapat sorakan dan tepukan gemuruh ketika tampil pada penghujung majlis penyampaian Anugerah Grammy untuk meraikan Taylor Swift yang memenangi kategori Album Terbaik Tahunan.
Celine Dion yang mengalami masalah kekejangan otot sebelum ini mendapat sorakan dan tepukan gemuruh ketika tampil pada penghujung majlis penyampaian Anugerah Grammy untuk meraikan Taylor Swift yang memenangi kategori Album Terbaik Tahunan. - Foto REUTERS

Kehadiran bintang seni suara ternama, Celine Dion, pada penghujung majlis gilang-gemilang Anugerah Grammy di Arena Crypto.com, Los Angeles, pada 4 Februari (5 Februari, waktu Singapura), mengejutkan ramai.

Menurut agensi berita Reuters, penonton yang hadir langsung berdiri memberikannya sorakan dan tepukan gemuruh setelah lama tidak menemui Dion, 55 tahun, yang disahkan mengalami masalah Sindrom Individu Kejang pada 2022.

Ia membataskan pergerakannya sehingga tidak mampu mengadakan konsert jelajah serata dunia yang dirancang.

Penyakit itu jarang berlaku (hanya satu atau dua orang dilanda penyakit itu dalam kalangan sejuta penduduk). Ia tidak boleh diubati kerana sel saraf yang terjejas teruk turut menghambat lontaran suara.

Penyanyi lagu runut bunyi filem Titanic, My Heart Will Go On itu, bagaimanapun, kelihatan lebih sihat dan berisi daripada sebelumnya, dengan ramai warganet memuji penampilannya pada acara tersebut.

Dion hadir untuk menyampaikan Anugerah Album Terbaik Tahunan kepada bintang fenomena, Taylor Swift, bagi album Midnights.

“Mereka yang meraih nikmat untuk hadir pada Anugerah Grammy tidak harus mengambil sambil lewa cinta dan keceriaan yang dibawa muzik dalam hidup kita dan penduduk serata dunia.

“Saya rasa teruja untuk menyampaikan Anugerah Grammy berikut ini yang pernah disampaikan dua legenda, Diana Ross dan Sting, kepada saya sekitar 27 tahun lalu,” tambahnya.

Sebelum ini, desas-desus bahawa Dion yang sudah memenangi Anugerah Grammy sebanyak lima kali tersebar di akaun X (platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter), apabila wartawan Hollywood Reporter berkongsi video Dion berada di dalam Arena Crypto.com.

“Celine Dion di dalam arena ini! Beliau kelihatan sihat, cantik dan menakjubkan.

“Beliau disertai penata rias selebriti Law Roach yang mendandannya dan menjadikannya seorang ikon fesyen.

“Kini, beliau menaiki lif VIP bersama beg pakaian sarat dengan gaun,” tulis wartawan itu.

Baru-baru ini, Dion yang berasal dari Canada, berkongsi tentang dokumentari kisah riwayatnya, I Am: Celine Dion, yang hak siaran sedunianya dibeli wadah penstriman Prime Video.

Moga beliau yang memiliki suara buluh perindu beransur sembuh dan akan kembali menghiburkan peminat yang merindui vokal bertenaganya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg