Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cermin mata hitam bukan sekadar nilai estetik

Oct 2, 2024 | 5:30 AM
Kaca mata Rocket Eyewear adalah jenis ‘polarised’ dan menawarkan perlindungan ultralembayung (UV) 100 peratus.
Kaca mata Rocket Eyewear adalah jenis ‘polarised’ dan menawarkan perlindungan ultralembayung (UV) 100 peratus. - Foto ROCKET EYEWEAR

Dalam cuaca tropika seperti di Singapura, sinar matahari yang terik membuatkan kita kerap menyapu pelindung matahari pada kulit bagi mengelak selaran.

Namun, tahukah anda bahawa mata juga memerlukan perlindungan yang sama pentingnya?

Menurut pakar optometri tempatan, kesihatan mata sering diabaikan walaupun ia memainkan peranan besar dalam kesihatan umum kita.

“Ramai orang di Singapura memakai cermin mata hitam sebagai fesyen, tanpa menyedari bahawa perlindungan UV (ultralembayung) yang baik sebenarnya amat diperlukan.

“Sinar UV yang berpanjangan boleh merosakkan tisu mata yang sensitif dan meningkatkan risiko masalah penglihatan serta penyakit mata seperti katarak,” kata Encik John Tham, pakar optometri utama di syarikat cermin mata tempatan, O+, yang dipetik The Straits Times.

Memilih cermin mata hitam yang sesuai tidak hanya berkaitan dengan gaya atau warna lensa.

Berikut panduan untuk membantu anda membuat keputusan yang bijak:

1. Perlindungan UV

Menurut Encik Tham, perlindungan UV adalah faktor utama.

Pastikan lensa cermin mata hitam mempunyai label yang menunjukkan 100 peratus perlindungan UV atau UV400.

Ini memastikan mata anda dilindungi daripada sinar UV yang berbahaya.

“Cermin mata hitam yang hanya dipakai untuk fesyen tanpa perlindungan UV boleh membahayakan mata.

“Ini kerana lensa gelap membuatkan anak mata terbuka lebih luas, menyebabkan lebih banyak sinar UV memasuki mata,” tambah Encik Tham.

2. Warna Lensa

Pakar optometri di Monocle, Encik Mervin Pang, pula menegaskan bahawa warna lensa lebih kepada keselesaan berbanding perlindungan.

“Warna lensa seperti kelabu, hijau dan coklat memberikan perlindungan yang baik tanpa menjejas persepsi warna secara ketara,” katanya.

Namun, warna kuning sering digunakan untuk meningkatkan kontras, sementara lensa yang lebih gelap hanya mengurangkan silau tanpa menambah perlindungan UV.

3. Lensa ‘Polarised’ atau biasa

Lensa polarised sangat berkesan untuk mengurangkan silau, terutama ketika memandu atau berada di kawasan air, kata Encik Tham.

“Lensa polarised berfungsi dengan menyekat pantulan cahaya mendatar, menjadikan penglihatan lebih jelas dan selesa,” jelasnya.

Namun, Encik Ong En Ming, pengasas bersama Rocket Eyewear, mengingatkan bahawa lensa ini mungkin tidak sesuai apabila anda perlu melihat skrin LCD.

4. Bahan

Jika anda seorang yang mementingkan ketahanan, pilih lensa yang diperbuat daripada polikarbonat atau Trivex, yang lebih tahan hentakan dan sesuai untuk kegiatan sukan.

Manakala, untuk fesyen, lensa kaca atau CR39 lebih popular.

Bingkai yang diperbuat daripada asetat Italy juga disyorkan oleh Encik Pang kerana ia tahan lama dan boleh diubah suai mengikut bentuk wajah.

5. Harga

Adakah cermin mata hitam murah memberikan perlindungan yang mencukupi?

Menurut pakar optometri, cermin mata hitam daripada kedai fast fashion atau busana dengan harga berpatutan mungkin lebih murah tetapi tidak semestinya bermutu tinggi, terutama daripada segi perlindungan UV.

“Lebih baik berbelanja lebih sedikit dan membeli daripada jenama yang dipercayai.

“Anda bukan sahaja mendapat mutu yang lebih baik, malah juga ketenangan fikiran bahawa mata anda benar-benar dilindungi,” kata Encik Ong.

Memilih cermin mata hitam yang tepat bukan sahaja tentang gaya, malah lebih kepada melindungi mata daripada kerosakan jangka panjang.

Berbelanja dengan bijak dan pastikan anda membuat pilihan demi melindungi penglihatan anda dengan baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg