Bak nyawa-nyawa ikan.
Nafas beliau terasa sesak, deria rasa di kaki dan tangan berkurangan, daya penglihatannya semakin kabur.
Merumitkan keadaan lagi, Encik Andyn Kadir berada di separuh jalan Ama Dablam – gunung setinggi 6,812 meter di bahagian timur Himalaya Wilayah Koshi, Nepal.
“Saya menggunakan radio untuk mendapatkan bantuan. Seorang sherpa membawa oksigen untuk diberikan kepada saya sambil kami turun ke kem pangkalan gunung tersebut.
“Sejujurnya, saya sangat kecewa tidak dapat sampai ke puncak kerana saya berlatih selama dua tahun untuk misi tersebut,” ujarnya yang menceritakan kembali pengalaman beliau rasa bak di ambang maut apabila dilanda Covid-19 sewaktu melakukan pendakian.
Bagaimanapun, ia tidak sedikit pun melenturkan semangatnya untuk meneruskan hobi beliau memanjat gunung.
Tahun depan, beliau merancang kembali untuk menawan Ama Dablam, gunung yang dikenali sebagai ‘Matterhorn Himalaya’, dan merupakan salah satu puncak yang terkenal di banjaran Himalaya.
Bukan mematahkan semangat, Encik Andyn, 40 tahun, sebaliknya menganggap kejadian seperti itu sebagai cara menguatkan daya tahan mental beliau.
Malah, walaupun tidak berjaya sampai ke puncak, beliau bersyukur dapat menjalani ekspedisi itu kerana ia memberinya peluang melatih di bawah bimbingan pendaki gunung terkenal Nimsdai atau Nirmal Purja, yang dipaparkan dalam dokumentari Netflix, 14 Peaks: Nothing is Impossible.
“Menerusi perbualan bersama rakan sepasukan yang datang dari pasukan khas British, mereka membantu membentuk pemikiran saya dan membina disiplin sepanjang berada bersama mereka,” ujar jurulatih peribadi itu.
Sejak memulakan hobinya 10 tahun lalu, Encik Andyn sudah berjaya sampai ke sekurang-kurangnya 50 puncak gunung di Malaysia, Indonesia, Nepal, India dan Jepun – gunung tertinggi merupakan Kang Yatse (6,400 meter) dan Shaldo-ri (6,000 meter) di banjaran Himalaya India yang kedua-dua ditawannya dalam masa tiga hari.
Lebih daripada suka-suka sahaja, Encik Andyn memanjat gunung bagi tujuan yang lebih murni, iaitu mengumpul dana buat bekas pesalah di bawah pertubuhan bukan mengaup keuntungan (NGO), Mawar Community Services.
Beliau, yang juga relawan di pertubuhan itu, melakukan demikian menerusi inisiatif ‘Climb For Good’ yang dimulakannya empat tahun lalu.
Sebelum memulakan ekpedisi, Encik Andyn menjelaskan bahawa beliau berusaha mendapatkan tajaan korporat jika ketinggian gunung tersebut mencecah 6,000 meter ke atas memandangkan perbelanjaan secara purata menelan kos AS$25,000 ($32,037).
Hanya setelah berjaya mendapat tajaan, beliau akan merakam perjalanannya mendaki gunung sambil mengumpul dana menerusi wadah seperti Give.Asia di mana derma disalurkan sepenuhnya kepada Mawar Community Services.
Ditanya mengapa membantu bekas pesalah berada dekat di hatinya, Encik Andyn berkata beliau sangat memahami keadaan mereka memandangkan beliau sendiri pernah meringkuk dalam penjara.
Pada usia 15 tahun, Encik Andyn menyalahi undang-undang dan akhirnya disabit kesalahan kerana terlibat dalam kegiatan samseng.
Antara 2001 dengan 2005, pelibatannya dalam kumpulan samseng ketika berusia 14 tahun menyebabkannya ditempatkan dalam Rumah Budak-Budak Lelaki Singapura dan kemudian Penjara Changi.
Selain mengumpul dana ketika melaksanakan ekspedisi sendiri, Encik Andyn secara tetap juga membawa kumpulan bekas pesalah menyertainya dalam ekspedisi lebih kecil yang selalunya dijalankan di gunung-ganang di Malaysia seperti Gunung Datuk, Gunung Belumut dan Gunung Panti Barat.
“Secara metafora, setiap insan ada gunung sendiri yang perlu didaki. Tetapi jika dipandang dari segi literal, pendakian gunung membina jati diri seseorang... contohnya mereka berada dalam sekitaran tidak stabil. Kita boleh merancang tetapi cuaca, qada’ dan qadr Allah akan tentukan sama ada (misi) kita berjaya ataupun tidak,” ujarnya.
Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa kegiatan mendaki gunung membantu memperkasa pesalah untuk merasakan mereka mampu berada dalam kedudukan yang memberi daripada program lain di mana mereka lazimnya menjadi penerima.
Ditanya sekiranya beliau ada cita-cita mendaki puncak Gunung Everest (8,849 meter), Encik Andyn tidak menafikannya atau menjadikannya matlamat yang wajib dicapai.
Sebaliknya, beliau mahu mendaki sekurang-kurangnya satu gunung yang ketinggiannya melebihi 8,000 meter memandangkan hanya ada 14 gunung setinggi itu dalam dunia.
“Paras 8,000 meter sudah digelar sebagai zon maut. Pada dasarnya tidak ada apa pun yang hidup secara biologi mampu bertahan dalam sekitaran tersebut buat tempoh lama.
“Jadi saya hanya mahu merasakan bahawa saya mampu bertahan di zon maut itu. Itulah matlamat peribadi saya,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg