Nepal sedang bersedia untuk menerima bilangan pendaki yang sangat tinggi di Gunung Everest pada musim bunga ini, sebelum bayaran permit dinaikkan hampir sepertiga kepada AS$15,000 ($19,374).
Jumlah permit yang dikeluarkan untuk mendaki gunung tertinggi di dunia itu sudah lebih tinggi berbanding 2024, sebelum kemuncak permintaan yang biasa pada awal Mei, menurut pegawai.
Sejauh ini, lebih 430 permit telah dikeluarkan kepada pemohon dari 52 negara, berbanding 421 pada tahun lalu, menurut perangkaan dari Jabatan Pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Budaya dan Penerbangan Awam Nepal (DoT).
“Ini bukan angka muktamad kerana pendaki masih datang dan memohon untuk permit,” kata jurucakap DoT Liladhar Awasthi di Kathmandu.
Peningkatan itu bukan hanya kerana jadual individu, kata Encik Mingma Sherpa dari pengendali kunjungan privet Seven Summit Treks.
Kenaikan yang dirancang bagi bayaran permit juga memainkan peranan, tambahnya.
Ada di antara kliennya masih menunggu kelulusan untuk musim pramonsun.
Megah berdiri pada ketinggian 8,849 meter, Gunung Everest terletak di sempadan antara Nepal dengan China.
Pendaki boleh panjat gunung tersebut dari salah satu negara.
Pemerintah Nepal merancang menaikkan bayaran permit pendakian dengan ketara bagi pendaki asing mulai 1 September.
Bayaran rasmi sebanyak AS$11,000 ($14,208) yang dikenakan pada masa ini untuk pendakian melalui laluan yang dipanggil laluan selatan semasa musim utama akan meningkat kepada AS$15,000.
Di samping itu, satu draf undang-undang, kini di bawah pertimbangan dalam parlimen Nepal, akan memerlukan pendaki membuktikan mereka sebelum ini telah memanjat gunung lebih 7,000m sebelum menerima permit untuk mendaki Everest.
Sama ada undang-undang baru itu akan diluluskan masih belum jelas.
Hal itu mengundang keraguan dalam kalangan pakar.
“Apa perbezaan sebenar antara mendaki puncak 7,000m dengan puncak 8,000m?” menurut akhbar tempatan yang menukil bekas presiden Persatuan Pendaki Gunung Nepal, Encik Ang Tshring Sherpa.
“Anda boleh mati di kedua-duanya.”
Bayaran pendakian dan perbelanjaan lain yang dibayar oleh pendaki gunung adalah sumber pendapatan penting bagi negara miskin itu.
Nepal menempatkan lapan daripada 14 gunung di dunia yang melebihi ketinggian 8,000m.
Perangkaan DoT menunjukkan bahawa pendaki dari Amerika Syarikat memegang bilangan permit tertinggi pada 82, diikuti India dengan 74, dan China dengan 60.
Britain mempunyai 28 pendaki, Russia 23, Brazil 16, Ukraine, Jepun dan Australia masing-masing mempunyai 12 pendaki.
Musim bunga, musim paling popular untuk mendaki Everest, berlangsung dari pertengahan April hingga awal Jun, menarik pendaki dari seluruh dunia dan kadangkala menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar zon yang digelar zon kematian dengan kepekatan oksigen rendah.
Para pengendali berkata ratusan pendaki sudahpun berhimpun di Kem Pangkalan Everest untuk ‘acclimatisation’, atau penyesuaian iklim, fasa persediaan ritual sebelum percubaan mendaki puncak. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg