Topik diikuti
Pergi ke BHkuDapatkan panduan didik anak katakan ‘tidak’ di sesi perbincangan 12 Sep
Baru-baru ini, negara digegarkan oleh berita kes penderaan seksual terhadap dua adik-beradik lelaki bawah umur oleh individu yang menampilkan dirinya sebagai ‘pempengaruh agama’ dan figura bapa penyayang.
Kes itu membuat ramai ibu bapa tersentak dan bimbang.
Perlukah mereka mengajar anak-anak untuk berasa takut terhadap orang lain atau curiga terhadap layanan baik yang diterima?
Bagaimana boleh mereka mengajar si kecil untuk berani mengatakan “tidak” apabila berasa tidak selesa dengan kelakuan tertentu terhadap diri mereka?
Bagaimana pula untuk mengetahui cara sesetengah individu memanipulasikan agama untuk kepentingan sendiri?
Dapatkan jawapan kepada soalan-soalan di atas dan pelbagai panduan lain di sesi podcast dan perbincangan langsung berjudul ‘Didik Anak Kata “Tidak”’ pada 12 September.
Sesi anjuran Berita Harian (BH) ini akan menampilkan dua ahli panel iaitu Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah.
Ia akan dikendalikan oleh moderator bersama, penerbit podcast BH, Cik Natasha Mustafa, dan Koresponden BH, Cik Nur Dhuha Esoof.
Di sesi ini, peserta juga boleh mendapatkan tip mengajar anak tentang keselamatan tubuh badan dan panduan membina ruang selamat untuk galak anak berkongsi tentang perkara baik dan kurang baik yang berlaku kepada mereka.
Sesi percuma ini akan diadakan dari 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di auditorium Singapore Press Holdings (SPH) di Toa Payoh North.
Imbas kod QR di poster atau lungsuri laman https://tinyurl.com/bhdnapodcast untuk mendaftar.
