Bait lirik lagu Takdir, nyanyian Dayang Nurfaizah, seakan-akan menterjemah perasaannya terhadap kalimah cinta.
Antara bait lirik lagu ciptaan Hazami itu berbunyi begini: “Aku pun jua mendamba, satu cinta sentiasa berdua, bermanja bersenda, ku tahu masaku kan tiba, kelak meraih bahagia.”
Biarpun sering memberi alasan terlalu memberi tumpuan pada kerjaya sebagai kekangan untuk berpacaran, namun, Dayang, mengakui tidak pernah menolak cinta dan masih mendambakannya.
Bahkan, Dayang memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM) beliau menerima ketentuan takdir andainya jodohnya hadir ketika meniti usia emas.
“Soal jodoh adalah ketentuan Ilahi. Saya tidak pernah tolak untuk jatuh cinta. Malah, kepercayaan bahawa suatu hari nanti cinta akan hadir, tidak pernah terhakis.
“Semua orang ada perasaan untuk mencintai dan dicintai. Saya juga ada perasaan sama. Andai ditakdirkan jodoh saya tiba ketika usia emas pun, saya sanggup terima.
“Tapi biarlah perasaan itu datang dari hati yang luhur dan ikhlas dan bukannya kerana tekanan atau desakan sesiapa,” luah Dayang.
Biarpun sebelum ini ‘virus’ cinta sering menyerang Dayang apabila pernah dikaitkan menjalin hubungan cinta dengan rakan industri seni, namun, tidak ada satu pun yang menjangkiti.
Diusik dengan pertanyaan apakah beliau bersedia untuk berjodoh dengan jejaka lebih muda, penyanyi bersuara gemersik itu menerima dengan hati terbuka sesiapa sahaja ditakdirkan untuknya.
“Siapapun jodoh kita, semua itu sudah ditentukan lebih awal sebelum kita dilahirkan lagi. Kalau ditakdirkan lelaki itu lebih muda, saya terima sahaja,” katanya sambil tertawa.
Berkongsi pembikinan album Janji yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan itu, Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43 tahun, menjelaskan, kekangan berlaku berikutan perlu menyiapkan album Belagu 2.
“Sepatutnya album ini siap dua tahun lalu (2022). Namun, disebabkan saya perlu siapkan projek album Belagu 2, terpaksalah proses pembikinan album ini ditangguhkan.
“Saya perlu beri fokus terhadap Belagu 2 kerana penjiwaan lagu berbeza kerana berkonsepkan tradisional,” jelas Dayang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg