Minat mendalam terhadap bola sepak memang sudah wujud dalam diri pasangan, Cik Denise Deanna Chew, 42 tahun, dan Encik Muhamad Asri Ramli, 48 tahun, sejak sebelum mereka berkahwin lagi.

Namun, sepanjang 17 tahun melayari bahtera rumah tangga, mereka belum pernah sekalipun menonton perlawanan bola sepak di stadium.

Segala-galanya berubah apabila Cik Denise membuat keputusan untuk ‘menghadiahkan’ suaminya pengalaman melancong ke luar negara khas untuk menonton perlawanan bola sepak kelab yang diminati.

Pada Mei lalu, mereka terbang ke England dan bercuti selama seminggu semata-mata mahu melihat Liverpool bertarung sengit dengan Chelsea di stadium Anfield.

Disebabkan enggan pening kepala memikirkan cara membeli tiket perlawanan, mereka memilih untuk membelanjakan sekitar $11,000 bagi mengikuti pakej pelancongan yang direka khas oleh Matchday Affairs, agensi pelancongan bola sepak.

“Kami tahu memang sukar untuk mendapatkan tempat duduk yang baik. Jadi, apabila mereka menawarkan pakej pelancongan untuk perlawanan khusus ini, kami memutuskan untuk menyertainya.

“Suami saya memang peminat tegar Liverpool. Daripada reaksi wajahnya, saya boleh lihat bahawa ia salah satu kenangan paling manis dan sukar dilupakan dalam hidupnya, selain berkahwin dengan saya! Beliau dapat melihat pasukan kesayangannya beraksi dan merasai sendiri suasana di stadium, suasananya memang sangat berbeza berbanding menonton di televisyen,” ujar Cik Denise.

Pasangan tersebut, yang merupakan pemilik gerai Deanna’s Kitchen, merupakan antara contoh pelancong yang memacu pertumbuhan pelancongan bola sepak, atau lebih luas, pelancongan sukan.

Encik Mohammad Mirza Salim (kanan) membawa rombongan ke stadium Old Trafford di England.
Encik Mohammad Mirza Salim (kanan) membawa rombongan ke stadium Old Trafford di England. - Foto ihsan MOHAMMAD MIRZA SALIM

Dihubungi Berita Minggu (BM), pengasas Matchday Affairs, Encik Mohammad Mirza Salim, berkata minat terhadap pelancongan yang didorong bola sepak telah meningkat dengan stabil sejak beliau mendirikan agensinya pada 2019.

Menurutnya, antara faktor yang mendorong sikap ini ialah semakin ramai pelancong berkemampuan dan memburu pengalaman yang unik.

Agensinya memberi tumpuan kepada pakej pelancongan ke United Kingdom untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana England (EPL), namun beliau merancang untuk meluaskannya ke liga-liga lain pada masa hadapan.

“Masalah yang sering timbul adalah proses pembelian tiket yang tidak mudah dan mencabar.. Selain risiko boleh ditipu jika anda membeli dalam talian, jadual perlawanan juga tertakluk kepada perubahan disebabkan hak penyiaran televisyen. Jadi, jika pengunjung tidak mengambil kira faktor ini, ia boleh menjejas perancangan mereka,” jelasnya.

Selain menonton perlawanan bola sepak di stadium, Encik Mirza menambah bahawa pakej kendaliannya turut membawa pelancong bersiar-siar meneroka kawasan bandar, menjamu selera di restoran halal, serta melawat ke tapak latihan kelab-kelab bola sepak terkemuka.

Dalam pada itu beliau menyelitkan tawaran ‘premium’ di mana pelanggan berpeluang menghadiri sesi beramah mesra dengan bekas pemain Liverpool serta Manchester United di restoran sambil menjamu selera.

Pelancongan jenis ini mencerminkan trend lebih luas, di mana pelancong ke luar negara untuk menonton acara sukan besar-besaran.

Melebihi bola sepak, sukan seperti golf, tenis, sukan motor terutamanya Formula Satu menjadi daya tarikan buat tetamu dari Asia, menurut pengurus hubungan Scott Dunn Private, Cik Jane Ngiam.

Menerusi acara sukan ini, golongan pelancong menggunakannya untuk meneroka bandar yang jarang dikunjungi pelancong biasa.

“Bandar utama tempat berlangsungnya acara kini sekadar menjadi salah satu persinggahan dalam jadual perjalanan, di mana para pelancong menjadikannya sebagai batu loncatan untuk meneroka bandar-bandar yang kurang dikenali atau ‘secondary cities’. Percutian ke bandar ini... sering kali memberikan perbezaan atau kelainan yang ketara berbanding bandar utama di mana acara berlangsung,” ujarnya.

Contohnya, jika pelancong ke London untuk perlawanan tenis Wimbledon, mereka kemudian meluangkan masa di tempat seperti Cotswolds, di mana rentak kehidupan lebih santai dan menawarkan keindahan suasana desa.

Menjawab pertanyaan BM, Cik Ngiam akui bahawa pelancong sanggup berbelanja lebih untuk akses lebih premium, di mana mereka bukan sekadar ingin menonton, malah mahu menjadi sebahagian daripada pengalaman eksklusif tersebut.

“Ini mungkin bermakna anda berpeluang melangkah ke lapangan golf Augusta National melalui program ‘Day with a Champion’ (Sehari Bersama Juara) kami, di mana para tetamu bukan sekadar menonton kejohanan The Masters, malah dapat bermain di lapangan golf terkenal yang hanya mendapat jemputan khas, bersama seorang bekas juara – sesuatu yang sering dianggap sebagai peluang sekali dalam seumur hidup,” katanya.