Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di rumah orang ‘lebih baik buat-buat tak nampak, buat-buat tak dengar’

May 8, 2025 | 5:30 AM
catatan wartawan, kanak-kanak, adab
Anak penulis, Munawwarah Mohammad Hanafi (kiri), bersembang bersama saudaranya, Arissa Iman Muhammad Hasiq Kamal, ketika mereka mengunjungi rumah ibu saudara mereka. - Foto NURUL YAQIN TAHAR

Baru-baru ini, anak sulung saya yang berumur enam tahun bermain di rumah jiran yang mempunyai anak perempuan berumur sebaya.

Mereka bermain tangkap belon di dalam bilik dan teriak riang mereka jelas kedengaran memandangkan rumah kami tidak jauh.

Sekembali ke rumah, anak saya berkata: “Ibu, bilik dia berselerak. Ada banyak mainan di atas lantai dan meja. Bilik saya bersih kan?”

Saya membeliakkan mata dan menggelengkan kepala.

“Di rumah orang, kita buat-buat tak nampak dan buat-buat tak dengar, ya?” jawab saya, ringkas.

Waktu itu bukan masa yang sesuai untuk saya menerangkan kepadanya tentang adab berkunjung ke rumah orang. Tetapi saya tahu saya perlu mengajarnya tentang perkara itu segera.

Sebelum ini, anak saya jenis yang tidak banyak komen. Tetapi mungkin dengan umurnya yang bertambah, dia menjadi semakin sedar tentang keadaan di sekeliling dan mula membuat perbandingan.

Biasanya, apabila kami berkunjung ke rumah saudara-mara atau teman-teman, saya akan mengingatkan anak saya agar mengemas mainan selepas bermain.

Peringatan seperti bersalam dan mencium tangan orang yang lebih dewasa di rumah yang dikunjungi itu, dan duduk ketika makan dan minum juga sering diberi.

Nampaknya kini sudah tiba masa untuk saya berikan lebih banyak peringatan sebelum kami berkunjung ke rumah orang.

Menurut laman Education Possible, ibu bapa digalakkan mengingatkan anak-anak tentang beberapa kelakuan yang baik dan kurang baik dilakukan sebelum berkunjung.

Pertama, mengenai makanan.

Sebagai tetamu, anak-anak perlu menunggu tuan rumah menawarkan makanan atau minuman untuk dinikmati.

Mereka perlu makan atau minum di tempat yang dikhususkan dan selesai makan, bawa pinggan ke dapur.

Seterusnya, mengenai privasi. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak untuk tidak memasuki bilik yang pintunya ditutup. Jika pintu tandas ditutup, mereka perlu ketuk sebelum masuk.

Di ruang tamu, anak-anak perlu diingatkan agar tidak memanjat kerusi, meja atau sofa.

Selain saranan di atas, orang Melayu mempunyai adab berkunjung yang amat menggalakkan sikap bertimbang rasa, sopan santun dan menghormati orang lain.

Misalnya, ketika makan, ibu bapa boleh mengingatkan anak-anak agar membiarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu, diikuti orang muda.

Anak-anak juga boleh diingatkan agar mengambil makanan yang paling hampir dengan diri mereka, dan menggunakan tangan kanan ketika menghulur atau menyambut makanan.

Perkara baik lain yang elok dilakukan adalah untuk memberi salam dan meminta izin sebelum memasuki rumah orang.

Kanak-kanak juga boleh diingatkan supaya menanggalkan kasut dan mengaturnya dengan rapi di luar pintu rumah.

Ibu bapa juga boleh mengingatkan anak-anak agar berlalu di belakang orang dan bukan di depan. Sekiranya tidak ada pilihan, bongkokkan atau rendahkan badan sambil menghulur sebelah tangan ketika berlalu di depan.

Selain itu, kanak-kanak boleh diingatkan agar membiarkan orang lebih tua duduk di kerusi dan mereka yang lebih muda duduk di lantai.

Cara paling mudah untuk ibu bapa mengajar anak-anak tentang adab ketika berkunjung adalah dengan melakukan perkara itu di depan si kecil untuk mereka contohi.

Namun ibu bapa juga boleh mengadakan kegiatan menarik di rumah sendiri untuk mengajar anak-anak perkara tersebut.

Menurut laman web, Dilly’s Tree House, ibu bapa boleh bermain makan-makan secara olok-olok bersama anak-anak untuk mengajar mereka tentang adab di meja makan dan mempersiapkan mereka bagi menerima tetamu atau menjadi tetamu.

Ibu bapa boleh menunjukkan cara meminta makanan dengan berkata: “Boleh mak cik berikan saya ayam goreng?” dan mengucapkan terima kasih setelah menerima makanan yang diminta itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg