Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik imej bersih, vokal ‘sengau’ Tomok

Belajar terima teguran orang sekeliling bantu vokalis kumpulan New Boyz elak diri daripada kontroversi dan baiki suara
Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Penyanyi Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, yang merupakan vokalis kumpulan New Boyz juga dikenali sebagai pelakon dan pencipta lagu.
Penyanyi Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, yang merupakan vokalis kumpulan New Boyz juga dikenali sebagai pelakon dan pencipta lagu. - Foto FACEBOOK TOMOK

Sepanjang 25 tahun Tomok berkecimpung dalam industri seni ini, tidak pernah sekali beliau terpalit dalam kontroversi yang mencemar nama baiknya.

Di sebalik imej bersihnya, sebenarnya tersemat satu nilai yang dipegang penyanyi dan vokalis New Boyz ini, apabila ditanya cara beliau menjauhkan diri daripada kontroversi.

“Selain cuba untuk menjadi diri sendiri, saya juga terima dengan baik setiap teguran yang diberikan.

“Dengan setiap teguran kita belajar menjadi manusia yang lebih baik,” kata Tomok semasa diwawancara Berita Minggu (BM) selepas sidang media konsert, 25th Anniversary New Boyz Live in Singapore, yang berlangsung pada 23 September di The Istana Ballroom.

Konsert yang dianjurkan Eventify Singapore dan HMA Entertainment, akan diadakan di The Star Theatre pada 12 Oktober sempena menyambut ulang tahun ke-25 New Boyz.

Lebih daripada 30 lagu akan dipersembahkan pada malam itu.

Tambah Tomok lagi: “Tidak semua benda yang kita buat itu betul, kita pun manusia biasa yang buat kesilapan.

“Saya sentiasa berharap setiap hari saya menjadi insan yang lebih baik daripada hari sebelumnya. ”

Dilabel punya suara sengau

Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40 tahun, memulakan kerjaya nyanyian bersama New Boyz pada 1999 di usia 15 tahun.

Lagu Sejarah Mungkin Berulang yang menjadi taruhan sebagai single pertama kumpulan boyband itu, meledak di corong radio dan menjadikan New Boyz antara kumpulan popular bukan sahaja di Malaysia dan Singapura; bahkan di Brunei dan Indonesia.

Meskipun lagu Sejarah Mungkin Berulang menjadi siulan, Tomok pada awal kemunculannya dikritik kerana mempunyai suara ‘sengau’.

“Masa itu Tomok masih budak-budak lagi, jadi suara belum matang.

“Apabila ada teguran yang mengatakan suara Tomok ‘kepit-kepitlah’, saya cuba baiki nyanyian saya dan cari satu identiti yang baru,” jelas Tomok.

Sedikit demi sedikit, kesengauan suara Tomok hilang dan menjadi lebih matang dengan meningkatnya usia.

Transformasi vokal Tomok kedengaran paling ketara apabila beliau memasuki pertandingan One In A Million Musim Ke-3 pada 2008.

Dengan rezeki yang sudah tertulis untuknya, penyanyi yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu, berjaya menewaskan 11 peserta lain dan menggondol tempat pertama dalam pertandingan itu.

Selepas kemenangannya, Tomok terus mengorak langkah sebagai artis solo, menghasilkan dua album, Tomok (2010) dan Aku Datang (2014), serta lebih daripada 10 single.

Antara lagu popularnya sebagai artis solo ialah, Berlari, Arjuna dan Kasih Yang Ku Cinta.

Pada 2022, Tomok mencuba nasib memasuki Gegar Vaganza Musim Ke-9, di mana beliau mendapat tempat keempat dan seterusnya All Stars Gegar Vaganza pada 2023, dengan menyandang tempat keenam.

Kenapa pilih Siti Nordiana?

2024 menjadi detik permulaan bagi Tomok mengeluarkan karya dengan berkolaborasi bersama penyanyi seangkatan, Siti Nordiana.

Bermula dengan Selawat Tafrijiyah dan empat lagi single selawat yang diterbitkan sepanjang Ramadan, mereka seterusnya berganding bahu untuk merakam lagu duet, Memori Mungkin Berulang.

Lagu yang dicipta dan ditulis liriknya bersama Siti Nordiana dan Tomok, seakan mengembalikan nostalgia pendengar terhadap lagu-lagu pasangan duet ‘Nana dan Achik’, yang telah mendapat 2.7 juta tontonan di YouTube sejak diterbitkan pada Jun 2024.

Ditanya BM sebab Siti Nordiana menjadi pilihan Tomok untuk berkolaborasi bersama, Tomok menjawab:

“Sebenarnya perjalanan saya dan Siti Nordiana lebih kurang sama. Kami sama-sama sudah berada dalam industri seni selama 25 tahun.

“Dahulu kami selalu digandingkan dalam sesi fotografi tetapi belum pernah ada lagu bersama.

“Jadi saya ajak beliau untuk berkolaborasi sempena menyambut ulang tahun ke-25 kami dalam industri hiburan ini, dan beliau pun bersetuju.”

“Alhamdulillah lagu Memori Mungkin Berulang mendapat sambutan, dan ramai sangat menyukainya, seolah-olah vibe lagu akhir ’90-an hingga awal 2000-an kembali lagi.

“Insya-Allah kami berdua akan muncul lagi dengan single duet yang kini dalam proses perancangan.”

Cipta lagu untuk Siti Nurhaliza

Selain menyanyi, Tomok yang mempunyai tiga anak berusia empat hingga 12 tahun, juga bergelar pelakon dan pencipta lagu.

Dalam bidang lakonan, beliau pernah membintangi filem Mantera The Movie dan Istanbul Aku Datang serta beberapa telefilem dan drama.

Sebagai komposer pula, Tomok telah mencipta banyak lagu yang dinyanyikan sendiri serta untuk artis terkenal lain.

Bagi album penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, Sitism yang diterbitkan pada 2023, Tomok telah menyumbangkan sebuah lagu berjudul Teratas.

Pernah bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama, Suria Records, Tomok memanjat syukur kerana diberi peluang keemasan mencipta lagu untuk penyanyi tersohor Nusantara ini.

“Saya kalau buat lagu, saya akan gubah berdasarkan siapa penyanyinya.

“Saya tak buat lagu, lalu saya simpan. Misalnya untuk lagu Teratas, saya amati dahulu apa yang Datuk Siti boleh buat dan saya akan cipta lagu itu berdasarkan kebolehan beliau,” kata Tomok yang juga mengidolakan Siti Nurhaliza.

Berkotak-kotak hadiah daripada peminat S’pura

Mengimbas kembali zaman kegemilangan New Boyz, Tomok berkongsi bahawa setiap kali beliau ke Singapura untuk program hiburan, pasti sambutannya sangat meriah.

“Apabila saya ada show di Singapura seperti di Expo, kalau show bermula 6 petang, pagi-pagi lagi semua dah datang.

“Kalau pulang daripada buat show di Singapura, saya akan bawa balik berkotak-kotak hadiah yang diberikan peminat saya.

“Teddy bearlah, rantailah dan macam-macam lagi,” cerita Tomok, yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam pengurusan industri kreatif, Universiti Utara Malaysia.

“Saya lihat ini semua sebagai memori yang indah. Sokongan padu yang diberikan peminat kepada saya dan kumpulan New Boyz dari dahulu semasa mereka masih remaja lagi, sehingga sekarang ada yang dah beranak-pinak, mengingatkan saya untuk sentiasa menghargai mereka,” kata Tomok.

“Konsert New Boyz pada 12 Oktober nanti adalah tanda terima kasih saya dan anggota kumpulan New Boyz yang lain kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong selama 25 tahun.

“Inilah hadiah untuk mereka berhibur bersama kami, mengimbau kenangan membesar bersama New Boyz,” ujar Tomok mengakhiri wawancara ini.

Nota: Tiket ‘25th Anniversary New Boyz Live in Singapore’ berharga antara $45 dengan $111 boleh dibeli menerusi laman web Sistic

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg