Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Resipi New Boyz bertahan selama 25 tahun

Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Kumpulan asal New Boyz yang dianggotai (dari kiri) Along, Lan, Tomok, Syuk dan Jay.
Kumpulan asal New Boyz yang dianggotai (dari kiri) Along, Lan, Tomok, Syuk dan Jay. - Foto fail

Bagi sesebuah kumpulan muzik itu bertahan lama bukan satu perkara mudah.

Di Korea, istilah ‘7 years cursed’ digunakan kerana kebanyakan kumpulan K-pop berpecah atau dibubarkan selepas tujuh tahun bersama.

Begitu juga di Barat dan industri hiburan Melayu.

Kumpulan muzik seperti One Direction, *NSYNC, Spice Girls, 4U2C dan Elite berpecah selepas lebih kurang enam hingga tujuh tahun bersama.

Pembubaran biasanya berlaku apabila semua anggota sudah tidak sehaluan lagi.

Bagi kumpulan New Boyz, sepanjang 25 tahun bersama, walaupun anggotanya datang silih berganti, mereka tetap berdiri dalam industri ini.

“Alhamdullilah kami (New Boyz) dapat bertahan selama 25 tahun meskipun kami di awang-awangan. Maksudnya, kejap aktif, kejap tidak,” kata Tomok.

“Saya bersyukur kami sebagai satu kumpulan saling menyokong. Macam saya, apabila saya ingin bergerak solo, anggota yang lain beri galakan dan sokongan.

“Setiap seorang daripada kami ada jalan kami yang tersendiri. Kami tidak ada terma dan syarat, oh tidak boleh buat itu atau ini.

“Namun, apabila kita berkumpul, kita akan bersatu sebagai ‘New Boyz’,” jawab Tomok apabila ditanya mengenai rahsia New Boyz kekal bersama selama suku abad.

Dari 1999 hingga 2007, New Boyz telah merakamkan enam album sebelum mereka menyepikan diri.

New Boyz, yang asalnya dianggotai Tomok selaku vokalis, Jay (gitar utama), Lan (gitar kedua), Syuk (bes) dan Along (dram) mengalami pertukaran anggota beberapa kali.

Kini, New Boyz dianggotai Tomok (vokalis); Lan, Jay dan Afiez (gitar); Zack (bes); Along dan Ristoe (dram).

Dalam pada itu, era ’90-an hingga awal 2000-an juga menyaksikan banyak penubuhan kumpulan yang terdiri daripada remaja lelaki yang masih di bangku sekolah, menghasilkan lagu jiwang ‘meleleh’ yang mendayu-dayu.

Boboy, Q-Face, New Boyz dan Kristal antara yang berjaya mendapat perhatian ramai.

“Memang ketika itu, banyak boyband yang timbul dalam industri hiburan.

“Mereka semua sahabat saya sampai sekarang,” ujar Tomok mengenai hubungan New Boyz dengan boyband seangkatan yang lain.

Ditanya jika ada persaingan antara mereka, Tomok berkata: “Persaingan antara kami adalah persaingan secara sihat.

“Masing-masing ingin berkongsi bakat yang ada, dan melalui persaingan ini, kami membaiki kekurangan diri dan dapat menghasilkan karya yang bermutu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg