Di dalam kesibukan netizen membincangkan tentang satu demi satu kes perceraian dalam kalangan artis Malaysia, muncul pula kisah mengenai pelakon, Diana Danielle, ingin memfailkan perceraian setelah merujuk semula dengan pelakon, Farid Kamil, buat kali kedua.
Mengesahkan perkara itu pada 29 Oktober, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Diana, berkata:
“Iya, anak guam saya sudah arahkan untuk ‘proceed’ (failkan rujuk dan perceraian).”
Akberdin mengulas kenyataan anak guamnya yang mengumumkan di laman sosial, Instagram, pada 28 Oktober, beliau mahu memfailkan perceraian terhadap Farid.
Beliau menambah pihaknya akan memfailkan perceraian itu dalam waktu terdekat di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
“Anak guam saya sudah bagi arahan untuk memfailkan dan saya sedang menyediakan proses rujuk dan cerai sekali. Kami akan failkan dalam bila-bila masa saja.
“Dia (Diana) memang sudah tekad dan sebenarnya sudah bagi arahan untuk bertindak. Semalam dia bagi arahan untuk ‘proceed’ terus,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Bertanya mengenai faktor Diana memfailkan perceraian kali kedua ini, Akberdin berkata mereka akan berkongsi perkara itu pada waktu yang bersesuaian.
“Masa fail kami akan beritahu, sekarang agak sukar nak dijelaskan. Arahan nak failkan memang sudah ‘confirm’. Jadi, kami akan kongsikan yang lain kemudian,” katanya lagi.
Pada 10 Mac 2023, Diana, atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, kini 32 tahun, pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem, Imaginur, itu adalah mereka tiada persefahaman, sudah berlaku ‘shiqaq’, atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana awalnya sah bercerai talak satu menerusi wadah Google Meet pada 10 Ogos 2023. Namun, mereka merujuk sebulan kemudian.
Pada 28 Oktober, Diana membuat kejutan mengumumkan perkembangan beliau sudah memutuskan secara rasmi untuk berpisah dengan suami dan juga akan memfailkan cerai.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11 tahun, dan Nur Aurora, sembilan tahun.
Dalam satu laporan berasingan di laman Harian Metro pula, Diana meminta semua pihak menghormati dan memberi ruang kepada dirinya susulan dilaporkan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid.
Diana berkata beliau percaya tindakannya untuk tidak memberi sebarang kenyataan buat masa ini akan memberi ketenangan kepada semua.
“Saya tak mahu komen apa-apa. Beri saya ruang dan privasi.
“Ia lebih beri kebaikan kepada semua,” katanya.
Dalam kapsyen pada hantaran Instagramnya, Diana menulis: “ “Rujuk bukan untuk semua, lepaskan saya... Terima kasih.”
Menurutnya lagi, beliau sudah memutuskan untuk berpisah dengan Farid.
“Tidak akan ada sebarang penjelasan mengapa perceraian ini terjadi. Mungkin seperti biasa dia (suami) akan jelaskan bersama jambangan bunga, cincin dan janji kosong.
“Semoga hidup lebih baik,” ujar Diana.
Mudah-mudahan ini menjadi pilihan tepat buat Diana dan pilihan terbaik buatnya dan Farid.
Peminat hanya mampu mendoakan yang baik-baik sahaja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg