Tidak pernah dibayangkan di fikiran sebilangan pencinta muzik Singapura akan situasi yang mana mereka dapat menikmati suara merdu penyanyi tersohor Indonesia, Harvey Malaihollo, dan penyanyi R&B dan jaz Malaysia, Fairuz Hussein, berkumandang di ruang awam Persada Budaya@Wisma Geylang Serai.
Kebiasaannya, penghibur mapan sebegini dilihat menghiburkan ramai di pesta jaz eksklusif yang dihadiri penonton antarabangsa mahupun acara korporat bukan calang-calang.
Bagaimanapun, syabas kepada Jalur Budaya Geylang Serai yang merealisasikan impian ramai dengan membawa Harvey, 62 tahun, dan Fairuz, 58 tahun, ke acara Jazz 2.0@Persada di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 27 Julai lalu.
Acara ini dipersembahkan Jalur Budaya Geylang Serai dengan sokongan WGS dan kerjasama Dstar Management yang diterajui personaliti hiburan, Hafeez Glamour.
Ini merupakan kali kedua pesta jaz percuma untuk orang awam ini diadakan bagi meluputkan stereotaip sesetengah pihak tentang irama jaz yang disalahtakrifkan sebagai muzik golongan atasan.
Persembahan kedua ini meneruskan momentum membawa penonton menyusur jalan kenangan dengan irama jaz syahdu mahupun rancak yang membuai jiwa sambil angin sepoi-sepoi bahasa terasa bertiupan, menemani hadirin yang datang untuk dihiburkan.
Tahun lalu, suara nyaman Sean Ghazi dari Malaysia serta tenaga vokal Ermy Kulit dari Indonesia mahupun sumbangan merdu suara ‘mak pengantin’, Rozie Rahim, selaku penerbit acara, yang jarang-jarang kedengaran, menjadi santapan halwa telinga.
Kali ini, Jazz 2.0@Persada dimulakan tepat masanya dengan kemunculan Rozie di tengah-tengah penonton yang duduk santai sambil menikmati minuman daripada gelas yang terisi dengan air batu berkilauan.
Memandangkan suaranya sekali-sekala sahaja kedengaran, beberapa teman berkata ia sajian eksklusif yang hanya didengar setiap adanya pesta jaz di WGS.
Mungkin ramai yang ingin lihat Rozie lebih kerap menyanyi di kaca televisyen sepertimana kakaknya, biduanita Rahimah Rahim.
‘Maestro’ jaz Singapura, Jeremy Monteiro, 64 tahun, memulakan bahang acara dengan mempersembahkan beberapa lagu malar segar yang mengembalikan nostalgia lagu berusia 90 tahun, Walking My Baby Back Home, yang dipopularkan Nick Lucas.
Satu trivia menarik yang saya perolehi daripada menyaksikan persembahan kali ini adalah Jeremy ialah pencipta lagu Rahimah, Rindu Di-Dalam Lagu.
Lirik lagu tersebut ditulis Yusnor Ef dengan begitu indah.
Pada malam itu, Jeremy menyanyikan lagu berkenaan dengan Rahimah yang berada dalam kalangan penonton merakam video persembahannya sambil tersenyum.
Satu perkara yang saya sanjung tentang legenda seperti Jeremy adalah kesediaannya untuk sentiasa memberi ruang buat pemuzik muda diketengahkan.
Pemain saksofon muda asal Singapura yang berpangkalan di New York, Sean Hong Wei, yang pernah bekerjasama dengannya diberikan pendedahan untuk sama-sama memeriahkan pesta jaz ini.
Harvey dan Fairuz pula benar-benar mengubati kerinduan ramai apabila mereka hadir untuk membawa hadirin mengamati lagu-lagu mereka yang pernah sering berkumandang di radio.
Fairuz membawakan lagu Inilah Cinta dan Kali Pertama yang memang lagu ‘wajib’ setiap kali beliau membuat persembahan.
Beliau kemudian mendendangkan lagu yang dikatakan merupakan irama kegemaran arwah ibunya, Mahyon Ismail, Autumn Leaves, yang asalnya dinyanyikan Cora Vaucaire, sebelum ‘meletup’ dek versi saduran Nat King Cole.
Fairuz turut memperkenalkan suaminya, penerbit Zulkifli Nadzar, yang bermain papan nada kepada penonton pada malam itu.
Dengan penuh kerendahan hati, Fairuz juga rasa bertuah dapat berkongsi pentas dengan idolanya semasa kecil, Indra Shahrir Ismail, yang bertindak sebagai pengarah muzik pesta jaz ini bersama band ‘power’, Soul Brothers, yang mengubah ruang Persada bak satu dewan konsert
Harvey yang kali terakhir membuat persembahan pada konsert Datuk Sheila Majid genap 10 tahun lalu pula membawa penonton terkenangkan kisah silam apabila mendendangkan lagu Dara dan Jerat.
Memandangkan beliau turun dari pentas untuk menyanyi di tengah-tengah penonton, ramai yang dikejutkan tetapi seronok apabila mikrofon diserahkan kepada mereka untuk menyanyi sama lagu ikonik Jerat.
Malahan, seorang penyanyi setempat Sheera J mendapat tepukan gemuruh kerana melantunkan suaranya pada nada tinggi yang lunak sewaktu menyanyikan lagu tersebut bersama Harvey secara spontan.
Jazz 2.0@Persada melabuhkan tirainya apabila keempat-empat penghibur dari Singapura, Malaysia dan Indonesia bersatu hati menyanyi beramai-ramai lagu yang boleh didendangkan secara karaoke, What A Wonderful World (Louis Armstrong) dan You To Me Are Everything (The Real Thing).
Secara peribadi, kededua lagu ini mengingatkan saya tentang kegiatan hujung minggu bersama bapa saya (yang turut menemani saya pada acara Jazz 2.0@Persada), iaitu memutar piring hitam vinil untuk menikmati karya seni bermutu.
Syabas buat penganjur. Moga akan ada ruang untuk Jazz 3.0@Persada diadakan pada 2025 dengan barisan artis yang lebih ‘wow’.
Turut hadir ialah tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar, yang memuji barisan artis yang ditampilkan untuk memasyarakatkan jaz di WGS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg