Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Didik tanpa membanding, sayangi tanpa syarat

Ibu bapa perlu menyantuni anak mengikut keperluan dan keadaan masing-masing
Jun 26, 2025 | 5:30 AM
keperluan anak masing-masing
Dalam keluarga yang mempunyai anak dengan keperluan khas, perhatian ibu bapa mudah terarah kepada anak itu kerana terapi, kelakuan atau rutin khas yang perlu diuruskan. Namun, ibu bapa tetap perlu memahami keperluan anak yang lain. - Foto ISTOCKPHOTO

Di ruang menunggu pusat campur tangan pembangunan kanak-kanak, seorang ibu duduk sambil memeluk anak kecil yang gelisah di ribanya.

“Abang dia dulu senang saja. Sekarang Darjah 3, pandai berdikari. Tapi yang ni... lain sangat. Bukan saya tak cuba. Tapi kadang saya pun tak faham,” kata ibu itu.

Ini bukan keluhan kosong. Ini suara hati seorang ibu yang penat tapi masih mencuba.

Ini kerana membesarkan anak-anak yang lahir dari rahim yang sama tetapi berkembang dengan rentak berbeza bukanlah tugas mudah.

Lebih rumit lagi apabila salah seorang anak menunjukkan keperluan khas yang tidak terlihat di mata biasa.

Teori dan realiti: Setiap anak unik

Teori perkembangan seperti, Multiple Intelligences, oleh Howard Gardner menyatakan bahawa kecerdasan manusia bukan satu bentuk sahaja.

Ada yang cemerlang dalam bahasa, gerakan badan dan keperibadian.

Ini bermaksud, dua adik-beradik boleh sangat berbeza walaupun dibesarkan dalam persekitaran yang hampir sama.

Apatah lagi apabila salah seorang mempunyai cabaran seperti Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), disleksia, autisme atau masalah mengendali emosi yang mungkin tidak difahami oleh masyarakat umum.

Dalam teori, Attachment, oleh John Bowlby, anak yang berasa difahami dan diterima walau bagaimana sekalipun cara mereka belajar, lebih cenderung membina keyakinan diri dan keupayaan mengurus emosi.

Namun, jika anak itu sentiasa dibandingkan dengan adik-beradik lain, keyakinan ini boleh runtuh – dan hubungan kekeluargaan turut terjejas.

Niatnya baik, tapi menyakiti

Apabila ibu bapa berkata: “Abang boleh buat, kenapa awak tak boleh?” mereka mungkin berniat memberi motivasi. Tapi kepada si anak, ia kedengaran seperti: ‘Abang lebih baik. Saya tak cukup bagus’.”

Bandingkan pula dengan ini: “Saya tahu awak susah nak fokus, tapi kita cuba sama-sama. Awak suka belajar cara macam mana?”

Nada ini bukan sahaja lebih lembut, tapi membuka ruang untuk anak itu difahami, bukan diadili.

Ada anak perlukan lebih perhatian

Dalam keluarga yang mempunyai anak dengan keperluan khas, perhatian ibu bapa mudah terarah kepada anak itu kerana terapi, kelakuan atau rutin khas yang perlu diuruskan.

Kajian oleh Dr Debra Lobato dari Universiti Brown, Amerika Syarikat menunjukkan adik-beradik kepada anak yang ada cabaran perkembangan cenderung berasa cemburu, keliru terhadap perbezaan layanan dan perasaan terasing atau tidak difahami.

Tanpa sokongan emosi yang cukup, anak-anak boleh menyimpan dendam, menjauhkan diri, atau lebih menyedihkan, menganggap diri mereka hanya ‘pengganti orang dewasa’ dalam rumah, bukan anak yang juga berhak dimanja dan didengar.

Adil bukan bermakna sama rata

Nabi Muhammad saw pernah menegur seorang sahabat yang memberi hadiah hanya kepada salah seorang anaknya. Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberi peringatan jelas bahawa keadilan dalam keluarga adalah satu bentuk takwa.

Ia bukan semata-mata tentang memberi benda yang sama kepada semua anak tetapi menyantuni mereka mengikut keperluan dan keadaan masing-masing.

Seorang anak mungkin perlukan lebih perhatian kerana cabaran pembelajaran.

Seorang lagi mungkin perlukan masa bermutu tanpa gangguan.

Seorang lagi mungkin perlukan pujian, walau hanya untuk perkara kecil.

Keadilan bukan tentang “sama banyak”, tetapi “cukup mengikut keperluan”.

Dan jika kita tidak peka, perasaan terabai ini boleh berkembang menjadi rasa kecewa yang mendalam, bukan terhadap adik mereka, tetapi terhadap ibu bapa sendiri.

Apakah yang boleh ibu bapa usahakan?

1. Masa eksklusif untuk setiap anak

Cuba luangkan masa satu per satu dengan setiap anak. Tak perlu mewah – kadangkala duduk minum air di dapur, menonton rancangan kegemaran, atau berjalan kaki bersama sudah cukup membuat mereka rasa diberi perhatian.

2. Jelaskan dengan jujur (ikut usia)

“Adik perlukan lebih bantuan sebab otaknya belajar dalam cara yang lain. Tapi ibu ayah tetap sayang semua anak sama rata.” Cara tersebut membantu mengelakkan tanggapan bahawa adik lebih disayangi.

3. Libatkan mereka, usah bebankan mereka

Ajak mereka bantu adik buat kegiatan ringan, bukan jadi ‘penjaga’.

Contoh: “Boleh tolong bacakan kad warna untuk adik?” bukan “Jaga adik sekejap, ibu penat.”

4. Hargai setiap usaha dan emosi

“Ibu tahu kamu pun penat tadi tunggu lama masa terapi adik. Terima kasih, ya.” Ayat pendek namun dengan kesan yang besar.

Belajar menyantuni

Membesarkan anak-anak dengan keperluan yang berbeza adalah satu perjalanan jiwa.

Ia bukan sekadar tentang menghantar ke terapi atau membantu kerja sekolah, tapi juga tentang mengurus emosi, menjaga keadilan, dan menyantuni hati-hati kecil yang mencari ruang untuk difahami.

Sebagai ibu bapa, kita sering dihimpit dilema. Ada anak perlukan lebih banyak bimbingan, sementara yang lain pula perlukan lebih perhatian emosi.

Ada hari kita berasa seperti kita memberi lebih kepada seorang anak dan terlalu sedikit kepada yang lain. Tapi kasih sayang bukan soal mutu semata-mata. Ia tentang keikhlasan dalam memahami dan menyesuaikan pendekatan dengan adil.

Anak-anak kita yang sedang belajar dengan cara berbeza – sama ada lambat bercakap, mudah hilang tumpuan, sensitif terhadap bunyi, atau tidak pandai berkawan – bukan beban, tetapi perlu disayangi.

Dan adik-beradik mereka yang mungkin lebih berdikari atau ‘senang dijaga’ juga tidak harus rasa terabai.

Mereka juga anak-anak yang perlu disentuh hatinya, dipeluk emosinya dan dihargai usahanya, walau sekecil mana pun.

Kasih sayang yang dibina dengan empati, keadilan yang dipandu dengan ilmu dan keluarga yang berpaut pada nilai ihsan – itulah yang akan menjadi tempat pulang paling damai untuk semua anak-anak kita.

Penulis ialah pendidik dan pakar campur tangan untuk kanak-kanak ‘neurodiversiti’ dengan pengalaman lebih 20 tahun. Sebagai pengasas Tink It!, beliau memperjuang pendidikan terangkum, pembangunan fungsi eksekutif dan ketahanan emosi kanak-kanak. Beliau beriltizam membantu ibu bapa, guru dan pelajar melalui program dan bengkel yang meraikan keunikan setiap individu. Ikutinya di Instagram @drsitinspires atau @tinkit.sg.

“Seorang anak mungkin perlukan lebih perhatian kerana cabaran pembelajaran. Seorang lagi mungkin perlukan masa bermutu tanpa gangguan. Seorang lagi mungkin perlukan pujian, walau hanya untuk perkara kecil. Dan jika kita tidak peka, perasaan terabai ini boleh berkembang menjadi rasa kecewa yang mendalam, bukan terhadap adik mereka, tetapi terhadap ibu bapa sendiri.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg