Kisah kehidupan seorang anak angkat bernama Maisarah dan orang-orang di sekelilingnya menjadi teras sebuah pementasan teater Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS), yang akan disajikan pada 7 dan 8 Jun.
Pementasan berjudul, Pelita di Play Den, The Arts House itu, adalah sebahagian daripada program Pentas Budaya yang dianjurkan secara tahunan di bawah Sekretariat Seni, PBMUKS, dalam usaha mempertingkat kesedaran tentang isu penting masyarakat agar penonton dapat merenungkannya.
Pentas Budaya juga mengharapkan agar penonton dapat mengambil tindakan sewajarnya mengenai isu tertentu yang diketengahkan.
Orang awam dididik dengan cara yang menyeronokkan melalui pementasan itu.
Ia juga dapat memperkaya pengalaman siswa dan siswi yang terlibat menjayakan teater itu sebagai pelakon mahupun kru belakang pentas.
“Tahun ini (2024), pasukan kami berharap dapat mendekati orang ramai menerusi teater.
“Sebagai sebahagian visi Pentas Budaya, kami bukan sahaja mahu menceritakan kisah tentang masyarakat, malah secara bersama, berkongsi cerita di dalam masyarakat dengan menggunakan teater sebagai platform untuk mereka hadam isu tertentu,” jelas PBMUKS dalam kenyataannya.
Dalam pementasan Pelita, Maisarah menjalani kehidupan bersama keluarga angkat dan keluarga kandungnya.
Anda berpeluang melihat bagaimana dia menangani dilemanya dengan dua keluarga mempunyai idea yang bercanggah.
Sedang Maisarah menemui lebih banyak rahsia, dia menyedari dua keluarganya itu sebenarnya tidak banyak berbeza dan hanya inginkan yang terbaik buat dirinya.
Tiket berharga $18 boleh ditempah di laman Arts House Limited atau melalui pautan, https://bh.sg/z6zw
Waktu pementasan adalah pada 8 malam (7 dan 8 Jun) serta 3 petang (7 Jun).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg