Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dilema identiti anak angkat dalam telefilem Hari Raya Haji

Sharon Ismail singkap pengalaman ibu; Nora Samosir serap emosi wanita dan sejarah silam
Jun 28, 2023 | 04:53 PM



Beberapa tahun lalu, pelakon, pengacara dan pendidik Sharon Ismail menulis buku, What Sallamah Didn’t Know untuk menceritakan banyak tanda tanya dalam kehidupan ibunya, Cik Sallamah Abu Bakar, kini 72 tahun, yang diambil sebagai anak angkat keluarga Melayu.


Apabila ‘dilamar’ bagi telefilem Hari Raya Haji, Mencari Hajar, yang juga menyentuh tentang perjalanan hidup Hajar, bayi Cina yang diserahkan kepada keluarga Melayu kerana kesusahan keluarga asalnya, Sharon langsung dapati banyak persamaan yang boleh dikaitkan dengan kehidupan ibunya, ibu dan bapa saudara Sharon serta kenalan ibunya.


Tambahan pula, penglibatan dalam telefilem ini mengotakan impian yang sudah lama beliau simpan iaitu berlakon dengan ikon teater dan lakonan televisyen Singapura, Nora Samosir, yang membawa watak utama sebagai ibunya Hajar.

Mencari Hajar adalah kisah wanita bernama Hajar yang dilahirkan sebagai seorang Cina tetapi diberikan kepada keluarga Melayu/Islam sebagai anak angkat.


Hajar dibesarkan sebagai orang Melayu tetapi timbul pula isu percanggahan identiti ketika beliau dewasa.

Kisah silamnya mula ‘mengetuk’ pintu hatinya sedang Hajar mempersiapkan dirinya bagi mengerjakan haji. Bagaimana dapat dia menangani penemuan kisah silamnya yang sebelum ini disorok dan tersembunyi daripada pengetahuan ramai?

Ketika dihubungi Berita Harian, Sharon, 49 tahun, berkongsi:


“Cerita telefilem ini begitu rapat dengan latar belakang ibu saya, beberapa adik-beradiknya dan kawan baiknya. Pengambilan anak angkat oleh keluarga Melayu dan penyerahan anak kandung oleh keluarga Cina merupakan sesuatu yang biasa berlaku dalam generasi ibu saya sekitar era 1950-an.

“Mulanya memang kita tak fikir apa-apa pun. Teman saya di sekolah akan tanya kepada saya, ‘Ibu awak Cina? Mukanya macam Cina.’ Apabila perkara ini saya ajukan kepada ibu saya, beliau seakan tidak terima. Mungkin pada masa itu, masih ragu-ragu untuk berkongsi duduk perkara sebenar.

“Individu zaman ibu saya begitu sensitif mengenai perkara ini. Zaman saya mungkin berbincang secara terbuka tentang status anda sebagai anak angkat lebih mudah untuk diterima.”

Menurut Sharon, ibunya mula mendapat tahu bahawa beliau anak angkat apabila guru menyerahkannya kembali sijil kelahiran atau surat beranak dan tertera nama Cina di situ. Walhal pada awalnya, datuk Sharon berpesan kepada guru ibunya agar mengembalikan sijil tersebut kepadanya dan bukan anaknya.

Apabila perkara itu diketahui, Cik Sallamah kemudian mendapat tahu beliau anak angkat yang diberikan kepada keluarga Melayu kerana kesempitan hidup ibu bapa asalnya.

Pernah juga beliau cuba mencari ibu bapanya yang berdialek Teochew dan menetap di Fisher Street bersama bapa Sharon tetapi tidak berhasil.

“Saya sendiri pernah bertanya kepadanya ‘Mak nak cari keluarga mak? Mari kita jumpa wartawan untuk bantu’. Tapi dia tak nak dan masih sensitif apabila menyentuh soal ini,” jelas Sharon.

Datuk dan nenek Sharon yang mempunyai tiga anak kandung tetapi salah seorangnya meninggal sewaktu peperangan telah mengambil tiga lagi anak angkat (satu Hokkien dan dua dari Sabah) selain ibunya, dan membesarkan mereka seperti anak Melayu.

“Datuk dan nenek murah hati ambil ramai anak angkat sesudah anak kandung mereka meninggal sewaktu perang. Nenek pastinya sedih kehilangan anaknya dan mahu beri kasih sayang kepada anak orang lain yang dijadikan macam anak sendiri.

“Saya pula ingat dalam sesebuah keluarga, biasa untuk ada anak-anak yang berlainan wajah dan warna kulit,” tambah Sharon.

Antara cabaran menjayakan telefilem ini adalah kerana wataknya Rina ditipu seseorang yang mengaku bekas rakan sekolah. Payah untuk Sharon bayangkan watak berkerjaya dan berpelajaran tinggi seperti Rina senang diperdaya.

Tapi begitulah hakikat masa kini yang Sharon akur daripada penjelasan pengarah Sanif Olek yang menekankan bahawa sesiapa sahaja termasuk pegawai bank yang mahir perihal kewangan boleh terperdaya.

“Plot kedua tentang penipuan ini menarik. Sebabnya penipu kini boleh mengambil apa jua hasil peninggalan digital kita di media sosial seperti perkongsian kita tentang kita ke mana, dengan siapa dan buat apa. Kalau orang berniat tak baik, senang sahaja dia mempergunakan maklumat ini untuk dia perdayakan kita.

“Dalam Rina berkecamuk kerana masalah rumah tangga, kelemahannya inilah yang diambil kesempatan oleh si penipu. Berat pada awalnya untuk saya nak serap dalam diri wanita berpelajaran tetapi ditipu,” katanya lagi.

Mengenai pengalaman berlakon dengan Nora pula, Sharon rasa cukup bertuah meskipun impian itu datang 20 tahun selepas beliau tamat pengajian teater dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Sebut Nora Samosir, kita bayangkan aura, suara dan penampilan dirinya. Orangnya profesional, banyak memberi sebagai rakan berlakon. Walau babak mencabar datang silih berganti pada hari yang sama, tiada masalah untuk Nora berikan yang terbaik. Sekejapan sahaja, tenaganya meningkat daripada kosong sampai 100.

“Walaupun Nora orang Batak dan bukan Muslim, naluri dan jiwanya Melayu. Beliau membawa bersamanya degupan nadi Nusantara. Tiada kejanggalan langsung melihatnya berhijab dan berbual macam ibu-ibu kita,” ujar Sharon.

Nora, dalam pada itu, pula pada awalnya bimbang tentang penerimaan penonton apabila beliau menggalas watak wanita Islam, berhijab dan dalam proses ingin mengerjakan haji dalam telefilem Mencari Hajar.


“Memang ia bukan kali pertama saya bawa watak orang Islam dan berhijab. Saya pernah terlibat dalam pementasan Alin Mosbit di mana saya perlu mengenakan tudung. Tapi penonton teater dan saluran televisyen umum berbeza. Apakah mereka mampu menerima saya membawakan watak anak angkat asal Cina yang membesar dalam keluarga Melayu sedangkan saya bukan Muslim?” ujarnya.

Selepas diberi jaminan oleh penerbit dan pengarah, Nora menerima peranan ini dengan hati yang terbuka. Beliau menganggap isu pengambilan anak angkat bukan sesuatu yang baru sebab tahu ada yang melalui pengalaman sebegitu dalam kalangan kenalannya.

“Cuma apabila kita membicarakan tentang dilema krisis identiti yang dilalui watak ini, ia sesuatu yang menarik bagi saya sebagai pelakon. Pada satu pihak watak ini enggan bertemu keluarga asalnya. Tapi dalam hatinya, ada kerinduan sebenarnya terhadap mereka,” katanya.

Terdapat dua babak yang mencabar buatnya dan meninggalkan kesan, kededuanya dijayakan bersama Sharon. Babak pertama adalah apabila Hajar sedang menyejukkan hati anaknya, Rina.

“Saya dapat rasa jiwa saya dan Sharon bertaut akrab dan mesra. Sharon serap emosi sedih itu dan saya juga begitu. Satu lagi babak ialah dalam kereta di mana saya benar-benar perlu bergegas ke tempat lain dengan segera.

“Saya mula resah sebab nak habiskan adegan itu secepatnya. Ia bukan babak yang mudah sebab ini masanya watak Hajar perlu berdepan dengan sesuatu kebenaran yang selama ini beliau elakkan. Nasib baik dalam kami kelam kabut usahakan babak itu dek tekanan masa, adegan itu dapat direalisasikan dengan jaya,” ujarnya.

Kagum dengan olahan skrip Mencari Hajar, Nora memahami kandungan kisah pengorbanan yang cuba disampaikan dengan nama watak diambil sempena nama isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar, yang bersabar dan melakukan kebaikan serta pantang menyerah.


“Mengapa watak saya diberi nama Hajar? Sebab ia memperingati kisah Siti Hajar. Kalau tidak, boleh sahaja namakan watak ini dengan nama lain. Ada kisah di sebaliknya dan kaitannya dengan topik korban dalam sambutan Hari Raya Haji,” kata Nora.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >