Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Telefilem pengorbanan turut buka kisah korban penipuan

Jun 28, 2023 | 02:50 PM



Selain isu anak angkat yang masih dibelenggu trauma diserahkan kepada keluarga lain berlainan kaum, telefilem Hari Raya Haji, Mencari Hajar, juga memberi ruang buat pengarah Sanif Olek meninjau isu penipuan atau ‘scam’ yang menjejas sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang pendidikan mahupun kerjaya.


Menerusi watak Rina lakonan Sharon Ismail, Sanif berupaya menyelitkan pesanan bahawa wanita berkerjaya dan berpendidikan tinggi sepertinya juga boleh terbabit menjadi mangsa penipuan sebagaimana yang dilaporkan dalam media.

Kata Sanif yang dihubungi Berita Harian:


“Apa yang saya suka tentang mengarah Mencari Hajar adalah selain membentangkan isu krisis identiti, saya dapat sisipkan perihal penipuan, satu gejala yang menjadi-jadi hari demi hari kini dalam pergerakan watak Rina yang dibawa Sharon.


“Bukannya bererti saya ingin memaparkan Rina sebagai watak yang tewas dalam rumah tangga dan kemudian kes penipuan ini. Apa yang saya dapati daripada hasil kajian adalah penipuan tidak mengenal darjat seseorang, tahap pendidikan atau kerjayanya.

“Semua orang boleh jadi mangsa penipuan dalam pelbagai cara. Penjenayah kes penipuan kini lebih licik sehinggakan orang berpendidikan pun boleh termakan dengan kata-kata manisnya. Ia bukan satu gejala yang hanya mengganggu suri rumah atau golongan kurang berpendidikan yang senang terpedaya.”

Apabila diimbas balik kenangan yang dilalui mengarah telefilem ini, Sanif banyak memperolehi pengalaman yang sukar dicari ganti dalam meneroka emosi dan psikologi mereka yang pernah diserahkan sebagai anak angkat.

“Saya tahu masih banyak yang dibendung trauma dirinya terpaksa berpisah dengan ibu bapa kandung untuk diserahkan kepada ibu bapa angkat yang bukan daripada kaum yang sama. Ini dapat saya kesan ketika berbual dengan anak-anak Cina yang pernah dijadikan anak angkat keluarga Melayu.

“Sama ada mereka sudah bertemu semula dengan ibu bapa atau keluarga kandung mereka sendiri, trauma dan tanda tanya mengapa ibu mereka sanggup menyerahkan mereka sebagai anak angkat bermain di fikiran.

“Mereka juga rasa bersalah untuk bertemu keluarga asal sebab ia memberi gambaran seakan mereka meninggalkan ibu bapa angkat yang telah banyak mencurahkan kasih sayang kepada mereka.”

Terdapat kelompok kedua anak angkat yang sudi bercerita dengan Sanif dan kru penerbitannya tentang kisah hidup mereka tetapi enggan atau tidak berasa perlu mencari atau bertemu keluarga asal mereka.

“Mereka menerima takdir seadanya tetapi jauh di sudut hati mereka, saya tahu mereka sebenarnya ingin bertemu dan tahu siapa ibu bapa kandung mereka. Saya dapat lihat dari sinar mata mereka,” ujarnya lagi.

Sanif juga rasa bertuah dapat mengarah ikon teater dan pelakon berpengalaman, Nora Samosir.

“Saya kagum dengan keupayaan Nora sebagai wanita bukan Islam dan berdarah keturunan Batak membawa watak wanita berhijab, Hajar. Kalau letaknya yang beragama Kristian dalam kalangan mak cik-mak cik di kelas agama, memang tak ada yang perasan pun kelainan diri Nora.

“Dari segi penyampaian dialognya dan intonasi suaranya, tiada masalah. Kerana beliau pelakon berpengalaman, beri sahaja apa jua watak buatnya... beliau bawa penuh jiwa raga.

“Kadang saya terfikir, Nora ni macam berlakon tetapi tak berlakon. Maksudnya, beliau bersahaja dan sikap Hajar itu ‘masuk’ langsung dalam dirinya,” tambah Sanif yang telah banyak membawa filem arahannya ke pesta filem antarabangsa.

Pengarah Sayang Disayang, Voluptas dan A la folie ini juga gembira dapat bekerja dalam set silang budaya dengan adanya beberapa pelakon Cina berpengalaman yang dilibatkan dalam Mencari Hajar. – HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >