Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dua pencalonan Pesta Perdana buat pelakon cilik, Bella Putri

Bakat berusia 10 tahun ini dicalonkan bagi kategori ‘Bintang Cilik Terbaik’
May 26, 2023 | 10:59 AM



TERBARING kaku dengan kapas disumbatkan pada lubang hidungnya dalam babak sayu jenazah si cilik dikapankan.

Jantungnya berdegup kencang. Sebarang gesaan untuk bergerak atau tersenyum harus dikawal kerana ini adegan serius tentang kematian.

Begitulah keadaan pelakon cilik, Bella Putri, 10 tahun, sewaktu melakonkan watak budak kecil bernama Ira dalam drama Bidadari yang meninggal dunia di ambang hari lahirnya yang tidak dapat diraikan.


Peranan yang dibawa dalam drama penuh kelainan di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi mewatch itu membawa pada pencalonan Bella dalam kategori Bintang Cilik Terbaik bagi Pesta Perdana 2023 yang akan berlangsung pada 17 Jun ini.

Bella juga dicalonkan dalam kategori yang sama bagi satu lagi watak kanak-kanak yang mendambakan peluang mendapat adik tetapi tidak kesampaian dalam drama Dilema Dania.


Saingannya terdiri daripada Mishall Kiara bagi drama Hasrat Tersirat, Shaqeel Jailani bagi telefilem Korban Si Ijat dan Zain Ihsan bagi X, Y and Zain!


PERANAN MENGINSAFKAN

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) baru-baru ini, Bella begitu teruja dengan dua pencalonan berkenaan yang diterimanya buat kali pertama dan berkata:


“Saya sebenarnya gembira dan terperanjat dengan dua pencalonan bagi Pesta Perdana ini. Watak dalam Bidadari benar-benar menginsafkan. Pada penghujungnya watak Ira yang saya bawakan meninggal dunia walau awalnya dia sihat walafiat dan tiada masalah kesihatan.


“Yang menyedihkan, dia meninggal di kala dia menanti hari untuk meraikan hari lahirnya. Peranan ini cukup mencabar sebab saya perlu sumbat kapas dalam hidung, baring dalam keadaan kejang.

“Semua orang di set menangis. Saya pun nak nangis tetapi perlu kawal emosi. Dalam hati berkata-kata, begini rupanya keadaan kita sesudah meninggal dunia. Tiga empat kali babak ini diulang.

“Kalau dahulu, saya agak takut juga apabila memikirkan soal kematian. Banyak yang harus disediakan sebagai bekalan akhirat. Kita selalu kaitkan kematian dengan orang tua atau berpenyakit kronik. Melalui drama ini, saya belajar kematian boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau tahap kesihatannya.”

Di set Bidadari, Bella juga belajar menggesek biola.


BERGANDING DENGAN PELAKON YANG DISEGANI

Mengenai pencalonan keduanya pula, Bella rasa bertuah dapat digandingkan dengan pelakon hebat Singapura seperti Mastura Ahmad, Azhar Noor Lesta, Shenty Feliziana dan Nurul Nabila.

“Mereka semua buat saya selesa. Saya selalu berbual dengan Shenty yang menjadi ibu kandung saya dalam drama ini dan Nabila selaku ibu tiri saya. Kami boleh ‘klik’. Mereka rancak berbual dengan saya dan berpesan kalau ada perkara saya tidak selesa, jangan takut atau segan nak beritahu pengarah,” cerita Bella.

Dalam drama Dilema Dania ini, Bella adalah kanak-kanak yang kecewa bahawa ibunya selama ini membohongi dirinya bahawa dia bakal mendapat adik.


“Saya sedih apabila membaca skrip drama ini. Saya teringatkan betapa saya nak sangat ada adik sebab saya anak tunggal tetapi memang hajat saya ini tidak kesampaian,” kongsinya lagi.

Kanak-kanak comel yang sentiasa tersenyum ini mula diperkenalkan pada dunia televisyen melalui drama Hilang Kasih Di Sarajevo. Pada masa itu, Bella masih berusia enam tahun dan tidak begitu memahami dialog yang disampaikannya., lebih-lebih lagi kalau perkataan susah dengan makna yang berat perlu dilontarkannya.


Sepanjang terlibat dalam dunia seni selama lima enam tahun ini, Bella banyak belajar tentang cara menghafal dialog seraya menunjukkan emosi yang sesuai.

“Sekarang saya tahu apa nak buat di set drama. Saya juga belajar tentang kepentingan mendengar arahan pengarah atau kru belakang tabir lain. Saya pun suka kalau dapat berkongsi pengalaman dengan rakan sebaya lain. Saya gembira kalau saya dapat bantu mereka dalam menghidupkan peranan mereka,” jelasnya.

Penguasaan emosi itu penting buat Bella. Beliau belajar berbual dengan tenang dan menampakkan emosi gembira, terperanjat dan sedih silih-berganti.

“Emosi penting dalam lakonan. Saya pun tak boleh senyum banyak-banyak. Harus pandai kawal diri,” ujar Bella.

Peluang untuknya menjayakan bermacam peranan dalam drama amat disyukuri. Dalam drama cereka sains Distopia, Bella adalah seorang anak yang terlalu rindukan ibunya yang meninggal. Bapanya kemudian mencipta robot persis wajah isterinya itu dan boleh menyiapkan sarapan dan membawa si anak berjalan-jalan serta menghantarnya ke sekolah.


“Ini zaman tentang kehidupan pada masa akan datang. Ia watak futuristik yang menarik sebab saya berurusan dengan robot,” katanya lagi.

Sementara itu, Bella juga rasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan dua pengarah yang turut menerima pencalonan dalam Pesta Perdana, Mahfuz Mazlan (Bidadari) dan Faisal Ishak (Dilema Dania).


“Uncle Mahfuz sangat peramah. Dia suka cabar saya agar jadi pelakon yang lebih baik. Kalau saya kata saya dah tahu babak yang saya akan lakonkan, dia akan beri saya cabaran atau mengubahsuai babak itu menjadi yang lebih susah dan mencabar. Saya dah lama bekerja dengan Uncle Mahfuz. Dia ada visi dalam arahannya.

“Uncle Faisal pula pengarah pertama yang mengarah saya dalam Hilang Kasih Di Sarajevo. Orangnya sangat mengambil berat. Saya serasi kerja dengan Uncle Faisal dan suka ‘hang out’ dengan dia. Dia nampak Bella yang kecil dan lihat Bella yang sudah besar...kini saya lebih faham apa yang Uncle Faisal mahukan dalam lakonan saya,” jelas Bella.


PENGALAMAN PERTAMA DALAM DRAMA INGGERIS

Dia kini merindui peluang berlakon selepas tamat rakaman iklan televisyen dan menjayakan watak gadis yang suka berjalan-jalan mundar-mandir di rumah serta meniru gaya hantu dalam drama Channel 5, Veil.


“Bezanya berlakon dalam drama Inggeris dan Melayu adalah kefasihan dan kelancaran saya berbual. Saya lebih selesa bercakap bersahaja dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Maklumlah, ada perkataan berat dan panjang nak diingat,” kongsinya.

Pada masa lapangnya, Bella gemar bermain permainan telefon bimbit Roblox bersama sepupunya. Impiannya adalah meneruskan kerjaya lakonan secara sepenuh masa apabila dewasa.

CITA-CITA CARI MAKAN TERUS SEBAGAI PELAKON

“Saya sudah bekerja sejak kecil. Kawan-kawan sekolah pun tumpang bangga nampak saya di televisyen. Apabila mereka tengok saya di Channel 5, mereka tak sangka saya boleh buat adegan yang susah.

“Saya pun tahu selok-belok dalam set drama. Kalau dewasa, dah masak benar dengan apa yang perlu ada dalam dunia lakonan dan saya akan terus belajar pertingkatkan diri saya,” jelasnya.

Kebiasaannya, Bella akan berbincang dengan ibunya, Cik Sherida Shaik Mohd, 47 tahun, jika ada kesulitan dalam watak yang perlu dibawakan.

“Saya harap selepas ini, saya dapat bawakan watak yang hidup dalam tahun 40-an hingga 60-an. Kalau ada babak perang dengan kesan khas, bom meletup sana sini dan tembakan senapang kedengaran, seronok juga,” tambahnya yang rapat dengan pelakon yang turut dicalonkan dalam kategori sama, Mishall Karia.

“Mishall hanya beberapa hari lebih muda daripada saya. Saya rapat dengannya. Dulu saya ada majlis sambutan hari lahir, saya ajak dia datang. Kami berjumpa dan berbual-bual,” tambah Bella.

Ditanya apakah dia ingin cuba mengacara seperti Mishall, Bella menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata:

“Tak pernah cuba...nampak macam lebih susah dan banyak nak dihafal berbanding berlakon.”

Kepada rakan lain sebaya dengannya yang ingin berlakon, Bella berpesan:

“Kalau lalui kesukaran, jangan mudah putus asa. Cuba lagi dan jangan ingatkan perkara yang negatif. Cari cara perbaiki diri. Macam saya, selalu tonton drama lama lakonan saya untuk lihat kesilapan yang boleh saya perbaiki.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >