Melihat keghairahan Nur Quraisha Misngat mengikuti kegiatan dalam kelas seperti bermain, membaca dan menari, sukar membayangkan kanak-kanak berumur lima tahun itu pernah melalui fasa enggan ke sekolah.
Antara 2022 dengan 2024, anak bongsu empat beradik itu hanya ke sekolah satu atau dua hari dalam sebulan.
Namun keadaan mula berubah sejak pertengahan 2024, apabila ibunya, Cik Nur’Ain Osman, 38 tahun, menjadi pencari nafkah tunggal keluarga itu.
Murid Tadika 1 itu kini hanya ponteng sekolah satu atau dua hari sebulan.
“Dulu kalau kita suruh dia pakai baju sekolah, dia akan menangis tidak mahu ke sekolah.
“Kadangkala kita ajak dia pergi kedai, tapi dia tahu yang kita sebenarnya akan hantar dia ke sekolah.
“Kita cuba pujuk, kita kata di sekolah ada mainan, tapi dia tetap nak duduk rumah juga,” cerita Cik Nur’Ain, yang bekerja sambilan sebagai penjual dalam talian.
Pada hari Nur Quraisha tidak ke sekolah, dia akan bermain sendiri, membaca buku dengan ibunya atau menonton video pendidikan kanak-kanak di YouTube.
Cik Nur’Ain berkata pada waktu itu beliau khuatir anaknya ketinggalan berbanding kanak-kanak lain seusianya.
Ini memandangkan Nur Quraisha susah kenal huruf dan hanya menggunakan perkataan mudah ketika berbual dengan anggota keluarga.
Namun dengan dorongan pengetua, guru dan juga eksekutif sokongan keluarga (FSE) di prasekolah My First Skool di Yishun yang Nur Quraisha hadiri, Cik Nur’Ain akhirnya menemui cara menggalak anaknya ke sekolah.
“Mereka berusaha memahami keadaan keluarga saya dan daripada situ mereka tahu cara membantu Quraisha.
“Mereka menasihatkan saya tentang bagaimana memperbaiki kehadiran prasekolah Quraisha dan cara memujuk dia ke sekolah,” kata Cik Nur’Ain, yang tinggal di flat tiga bilik di Yishun Avenue 4 bersama tiga lagi anaknya yang berumur 18, 13 dan 10 tahun.
“Mereka juga menasihatkan agar Quraisha tidur awal, dan agar saya mengajar dia mengenal huruf dan membaca buku bersama,” tambahnya yang tidak dapat bekerja sepenuh masa akibat masalah kesihatan.
Jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) ketika menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) berkata tahun-tahun awal adalah penting untuk pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak.
“Pendidikan prasekolah dan persekitaran rumah memainkan peranan yang saling melengkapi untuk mencapai matlamat ini.
“Kajian tempatan telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghadiri prasekolah dari umur tiga tahun kurang berkemungkinan memerlukan sokongan pembelajaran tambahan di sekolah rendah,” katanya.
Namun kehadiran prasekolah dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan lebih rendah didapati tidak setinggi kanak-kanak daripada kumpulan pendapatan lain.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Parlimen pada Mac 2024 berkata kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan lebih rendah di prasekolah Pengendali Utama (AOP) mempunyai kadar kehadiran bulanan sekitar 72 peratus, berbanding 79 peratus yang dicatat kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan pertengahan.
Prasekolah AOP menerima pembiayaan pemerintah bagi memastikan yuran kekal dimampui.
Jurucakap MSF berkata keluarga berpendapatan lebih rendah kerap mempunyai cabaran berbeza seperti kos atau memberi tumpuan kepada mencari rezeki, justeru kurang mampu mengutamakan pendaftaran prasekolah anak-anak mereka dan kehadiran ke prasekolah secara tetap.
Lebih banyak sumber telah diberikan kepada prasekolah AOP tertentu untuk menyokong keperluan kehadiran dan pembelajaran kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan lebih rendah, seperti menangani kesukaran ibu bapa dalam menghantar anak-anak mereka ke prasekolah secara kerap, kata jurucakap itu.
Bagi keluarga di bawah program ComLink+, jurulatih keluarga bekerjasama dengan ibu bapa untuk menangani isu dan keprihatinan mereka, di samping menyokong mereka untuk memasukkan anak-anak ke prasekolah dan memastikan kehadiran yang tetap, tambahnya.
Di prasekolah My First Skool kendalian NTUC First Campus (NFC), kadar kehadiran kanak-kanak prasekolah daripada keluarga berpendapatan lebih rendah (kurang $6,000 sebulan) telah naik kepada 77 peratus pada April 2025 daripada 72 peratus sejak satu program campur tangan baru diperkenalkan pada Julai 2024.
Program perintis yang dipanggil Inisiatif Sokongan Kehadiran yang disokong Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) itu telah membantu 930 kanak-kanak di lapan pusat My First Skool.
Seramai empat FSE dilantik di bawah inisiatif itu untuk bekerjasama dengan ibu bapa bagi menggalak kehadiran prasekolah secara tekal.
Inisiatif itu telah melancarkan buku cerita berjudul, Little Chick Goes to School Too! (Anak Ayam Juga ke Sekolah!), pada April 2025, bagi meningkatkan kesedaran tentang manfaat kehadiran ke prasekolah yang tetap dalam memupuk perkembangan sosial, kognitif dan emosi dalam kalangan kanak-kanak kecil.
Salah seorang FSE, Cik Siti Sarah Nasir, berkata terdapat banyak sebab mengapa seorang kanak-kanak itu tidak hadir ke prasekolah termasuk mereka jatuh sakit, atau kerana ibu bapa mereka ada di rumah kerana perlu menjaga bayi, perubahan jadual pekerjaan atau tidak sihat.
Satu lagi sebab kanak-kanak enggan ke prasekolah adalah apabila adik-beradik lain yang lebih besar ada di rumah semasa cuti sekolah.
“Ada ibu bapa yang tidak pasti bahawa prasekolah amat penting untuk anak-anak mereka. Kami perlu mengubah sudut pandangan mereka,” kata Cik Siti Sarah, 32 tahun.
“Justeru FSE berusaha menjalinkan hubungan dengan menelefon ibu bapa sekali setiap bulan, dan berkongsi pemerhatian kami tentang perkembangan anak-anak mereka di sekolah.
“Ini membolehkan kami memahami keadaan keluarga dengan lebih baik.
“Kami juga berkongsi tentang pentingnya untuk anak-anak mereka ke prasekolah agar dapat meraih manfaat daripada program yang dijalankan,” tambahnya.
Di 7oaks Preschool, beberapa langkah proaktif telah ditetapkan bagi menggalak kehadiran tetap dan menyokong keluarga yang menghadapi cabaran.
Prasekolah itu mempunyai sekitar 800 kanak-kanak dengan sekitar 19.9 peratus datang daripada keluarga berpendapatan lebih rendah.
Di kesemua sembilan pusatnya, guru akan menjangkau kepada ibu bapa pada hari kedua seorang kanak-kanak tidak hadir ke sekolah.
Bagi kanak-kanak yang tidak hadir selama lebih dua hari berturut-turut, guru akan menghubungi melalui telefon untuk lebih memahami keadaan dan menawarkan bantuan jika perlu.
“Bagi ibu bapa daripada keluarga berpendapatan lebih rendah, sokongan selalunya bermula dengan fleksibiliti dan kepercayaan.
“Di pusat-pusat 7oaks Preschool, kami memberi tumpuan kepada menjalin hubungan kukuh dengan ibu bapa supaya mereka berasa disokong dan terbuka untuk berkongsi cabaran mereka,” kata Pengurus Besar, Oaks Plus Limited, Encik Bakar Alsagoff.
“Kami bertanya khabar, sama ada melalui aplikasi LittleLives atau tindakan susulan secara peribadi yang membolehkan kami peka tentang kesejahteraan kanak-kanak itu.
“Dengan membina kepercayaan dan kekal berhubung dengan ibu bapa dan penjaga, kami memastikan bahawa menyokong kehadiran tetap kanak-kanak adalah usaha kolaboratif,” tambahnya.
Encik Bakar berkata dasar pemerintah dan amalan majikan seperti aturan kerja fleksibel boleh memainkan peranan penting dalam menyokong keluarga dengan anak-anak kecil.
Ini lebih-lebih lagi bagi keluarga berpendapatan lebih rendah yang mungkin mempunyai lebih daripada satu pekerjaan atau mempunyai masa bekerja tidak tetap.
“Mereka memerlukan akses lebih besar kepada aturan kerja fleksibel. Ini membolehkan mereka menguruskan tanggungjawab penjagaan, urusan sekolah dan tanggungjawab keluarga dengan lebih baik.
“Bersama yuran penjagaan kanak-kanak yang dimampui, dan sokongan berasaskan masyarakat, langkah pemerintah yang sedemikian boleh mengurangkan tekanan membesarkan anak bagi keluarga-keluarga ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg