Baru-baru ini, ketika saya dan anak-anak sedang berbaring sambil menyanyikan lagu kanak-kanak bahasa Melayu, si kakak bertanya:
“Ibu, what’s that song where the nenek lost her children?” (Lagu apa itu yang nenek hilang anak-anak dia)?
Saya terdiam sejenak memikirkan apakah lagu yang dimaksudkan itu.
Rupanya, anak saya bertanya tentang lagu ‘Nenek Si Bongkok Tiga’!
Saya pun menyanyikannya lagu itu walupun terlintas di fikiran saya yang liriknya agak tidak masuk akal, lebih-lebih lagi rangkap yang berbunyi: “nenekku kahwin dengan anak raja”.
Saya pun melungsuri Internet untuk mencari penjelasan bagi lirik lagu itu, dan mendapati ia dinyanyikan dalam permainan tutup mata atau blindfold kanak-kanak zaman dahulu.
Lagu dan permainan itu turut dimuatkan dalam filem, Musang Berjanggut.
Saya sendiri tidak pernah memainkan permainan itu, cuma pernah menyanyikan lagunya ketika kecil.
Saya pun berkongsi dengan anak-anak saya beberapa lagu kanak-kanak bahasa Melayu lama yang masih segar dalam ingatan seperti lagu ‘Enjit-Enjit Semut’, yang dinyanyikan ketika bermain permainan mencubit kulit atas tangan satu sama lain.
Satu lagi lagu yang dinyanyikan ketika bermain permainan ialah ‘Sapu Sapu Ringgit’, dengan semua pemain duduk sambil mengunjurkan kaki.
Ada beberapa lagu yang anak sulung saya dapat nyanyi bersama kerana lagu-lagu itu biasa dinyanyikan di sekolah atau pernah didengar di saluran YouTube, Didi & Friends.
Anak kedua saya yang berumur dua tahun lebih pula sudah pandai menyanyikan lagu ‘Burung Kakak Tua’, yang saya yakin dia belajar daripada guru Melayunya di sekolah.
Lagu kanak-kanak, yang dikenali sebagai nursery rhymes dalam bahasa Inggeris, telah lama menghiburkan kanak-kanak serata dunia dengan ada lagu kegemaran ramai telah wujud seawal abad ke-17.
Lagu ‘Tepuk Amai-Amai’ pula dikatakan telah dinyanyikan sejak sekurang-kurangnya tahun 1917.
Menurut laman web, BBC, lagu kanak-kanak mempunyai banyak manfaat untuk bayi dan kanak-kanak kecil.
Ia memperkenalkan kanak-kanak kepada perkataan baru yang mereka mungkin tidak akan dengar pada hari-hari biasa.
Lagu ‘Bangau Oh Bangau’, misalnya memperkenalkan kanak-kanak kepada kosa kata berkaitan haiwan seperti ikan, kerbau, katak dan ular.
Lagu ‘Tepuk Amai-Amai’ juga begitu dengan perkataan seperti belalang dan kupu-kupu dalam liriknya.
Lagu kanak-kanak turut membantu kanak-kanak mengenali bunyi dalam perkataan.
Ini dapat membantu mereka membangunkan pemahaman tentang bunyi berbeza yang membentuk perkataan dan mengenal pasti persamaan dan perbezaan antaranya.
Ini dapat dilihat dalam lagu ‘Air Pasang Pagi’, yang menggunakan perkataan berima seperti melur dan telur, parit dan jerit.
Selain itu, lagu kanak-kanak membantu merangsang kemahiran motor halus dan kasar.
Satu lagu yang saya dapati sangat menggalakkan bayi untuk cuba menepuk tangan adalah lagu ‘Tepuk Amai-Amai’.
Saya rasa ini kerana lagu itu berentak perlahan dan liriknya juga bertujuan menenangkan si kecil.
Lagu ‘Lompat Si Katak Lompat’ pula boleh menggalak kanak-kanak kecil cuba melompat seperti katak.
Ada lagu kanak-kanak pula mengajar konsep matematik asas seperti mengira.
Ini dapat dilihat dalam lagu ‘1 2 3 Sayang Semuanya’, yang mengajak kanak-kanak menghitung satu hingga tiga dengan menyanyi.
Ada juga lagu tentang rutin harian selepas bangun tidur seperti lagu kanak-kanak Indonesia ‘Bangun Tidur Kuterus Mandi’ yang boleh membantu kanak-kanak memahami setiap langkah yang perlu diambil itu.
Selain manfaat yang disenaraikan, laman web BBC itu, saya mendapati beberapa lagu kanak-kanak juga boleh memperkenalkan kanak-kanak kepada konsep sains seperti lagu ‘Tanya Sama Pokok’ yang mengajar tentang sebab dan akibat, serta tentang cuaca dan pembentukan hujan.
Lagu ‘Bangau Oh Bangau’ pula, memperkenalkan kanak-kanak kepada haiwan dan makannya seperti bangau dan ikan, kerbau dan rumput serta ular dan katak.
Lagu itu juga boleh menggalak perbincangan selanjutnya tentang mengapa katak ‘panggil’ hujan.
Ia juga boleh mengajar kanak-kanak agar mengelak daripada menuding jari dan menyalahkan orang lain seperti yang dilakukan bangau, ikan, rumput dan watak-watak lain dalam lagu itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg