Topik diikuti
Pergi ke BHkuEatz Express lihat potensi hidangan sedia dipanaskan di S’pura
Gaya hidup semakin sibuk mendorong permintaan terhadap hidangan sedia dimakan dan dipanaskan yang menawarkan kemudahan tanpa mengorbankan rasa dan pilihan. 7-Eleven dan Eatz Express antara pengusaha yang melihat potensi dalam permintaan ini, dengan memperluaskan pilihan hidangan, meneroka saluran penjualan baru serta memanfaatkan cita rasa tempatan.
Eatz Express lihat potensi hidangan sedia dipanaskan di S’pura
Bagi pekerja yang pulang lewat atau keluarga yang kesuntukan masa untuk memasak, pilihannya mungkin antara menunggu makanan dihantar atau mencari hidangan ringkas yang dapat disediakan dengan segera.
Namun, dengan gaya hidup masyarakat yang semakin sibuk, hidangan sedia dipanaskan kini dilihat sebagai satu lagi pilihan, menawarkan kemudahan tanpa perlu memasak dari awal atau menunggu penghantaran makanan.
Melihat perubahan tabiat pemakanan itu, pemilik Eatz Group, Cik Novie Djayayanti, yang juga di sebalik jenama makanan laut Mutiara Seafood, melancarkan Eatz Express, yang menawarkan hidangan halal sejuk beku dan boleh dipanaskan dalam masa beberapa minit.
Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri makanan dan minuman (F&B), Cik Novie berkata beliau telah menyaksikan perubahan dalam cara pengguna menikmati makanan dan jangkaan mereka terhadap mutu hidangan.
“Orang ramai lebih sibuk hari ini dan sentiasa mengimbangi kerja, keluarga serta komitmen lain, tetapi mereka masih mahukan hidangan yang memuaskan dan dibuat dengan bahan bermutu.
“Kami merasakan terdapat ruang bagi satu lagi pilihan antara memasak dari awal dengan memesan makanan menerusi khidmat penghantaran, hidangan yang mudah tetapi tidak memerlukan pengguna berkompromi dari segi rasa atau mutu,” kongsinya kepada Berita Harian.
Menerusi Eatz Express, beliau juga mahu mencabar tanggapan bahawa makanan sedia dipanaskan atau sejuk beku semestinya banyak diproses atau kurang bermutu.
Menurut Cik Novie, hidangannya menggunakan bahan mentah yang diperoleh setiap hari sebelum dimasak dan melalui proses pembekuan pantas atau ‘blast freezing’.
“Setiap hidangan disediakan sebelum dibekukan dengan pantas sejurus selepas dimasak bagi mengekalkan kesegaran, tekstur, rasa dan mutu pemakanannya,” katanya.
Pasukannya turut menjalankan beberapa pusingan penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk menguji resipi, bahan dan kaedah pemanasan semula bagi memastikan makanan kekal enak selepas dipanaskan.
Pelanggan kini boleh memilih daripada lapan hidangan berinspirasikan masakan Asia dan Barat.
Antaranya Spiced Chicken Tomato Coulis with Fragrant Ghee Rice; Chicken Satay & Peanut Sauce with Wok-Fried Indonesian-Style Rice; Indonesian Galangal-Roasted Chicken with Blue Pea Infused Jasmine Rice dan Indonesian Herb-Grilled Chicken with Golden Turmeric Rice.
“Kami melihat kekurangan hidangan sedia dipanaskan Indonesia di pasaran dan melihat peluang untuk mengisi jurang itu.
“Pengguna hari ini menghargai pilihan dan kami mahu mereka dapat memilih sesuatu mengikut cita rasa mereka,” katanya.
Eatz Express turut memanfaatkan pengalaman Eatz Group dalam katering, pengilangan makanan, penyediaan makanan institusi dan operasi restoran.
Namun, permintaan terhadap hidangan tersebut bukan hanya datang daripada pengguna individu.
“Kami semakin menerima pertanyaan daripada syarikat yang mahu menyediakan hidangan Eatz Express di pantri tempat kerja supaya pekerja boleh menikmatinya pada bila-bila masa.
“Ini amat relevan bagi pekerja yang bekerja lewat kerana selepas 9 malam, pilihan makanan biasanya semakin terhad dan sering tertumpu kepada makanan segera,” kata Cik Novie.
Beberapa syarikat turut menunjukkan minat terhadap aturan langganan jangka panjang bagi membolehkan stok makanan di pantri ditambah secara berkala.
Eatz Express kini merancang meneroka penggunaan mesin layan diri di tempat kerja dan lokasi tumpuan ramai, selain peluang mengedarkan produknya menerusi pasar raya.
Cik Novie melihat hidangan sedia dipanaskan sebagai pelengkap dan bukan pengganti kepada makan di restoran, membeli makanan bungkus atau menggunakan khidmat penghantaran.
“Ada masanya anda mahu keluar menikmati hidangan bersama keluarga atau rakan, dan ada masanya anda mahu memesan makanan.
“Tetapi ada juga ketika anda berada di rumah atau tempat kerja dan mahukan sesuatu yang cepat, boleh dipercayai dan memuaskan tanpa perlu menunggu penghantaran atau menyediakan makanan dari awal. Ia memberi orang ramai satu lagi pilihan,” katanya.
