Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ebby Yus kembali pulih selepas rawatan jangkitan kuman

Dec 19, 2025 | 12:55 PM
ebby yus, selebriti malaysia, pelawak
Selain masalah buah pinggang, Ebby Yus turut menghidap penyakit jantung yang membataskan pergerakan dan kegiatan hariannya. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan pelawak veteran, Ebby Yus, 60 tahun, yang baru keluar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani rawatan akibat jangkitan kuman, kini beransur pulih.

Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, berkata kebelakangan ini beliau kerap keluar masuk hospital berikutan masalah kesihatan yang dihadapi, namun keadaannya kini semakin stabil.

“Ya, saya baru keluar hospital semalam kerana jangkitan kuman dalam air ketika menjalani rawatan dialisis di rumah.

“Sejak kebelakangan ini memang kerap keluar masuk hospital, tetapi kali terakhir saya ditahan selama empat hari,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurut Ebby, hanya dalam bulan ini sahaja dia sudah beberapa kali berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bulan ini saja sudah empat kali saya masuk dan keluar hospital. Sekarang alhamdulillah keadaan saya lebih baik dan sudah larat melakukan sedikit kegiatan. Sebelum ini, berjalan pun rasa pening seperti hendak jatuh,” katanya.

Ebby berkata beliau kini perlu menghabiskan pengambilan antibiotik selama 14 hari seperti yang disarankan doktor.

“Doktor sebenarnya mahu saya terus berada di hospital selama 14 hari, tetapi saya tidak larat. Jadi saya datang setiap hari untuk mendapatkan antibiotik,” katanya.

Disebabkan masalah kesihatan yang dialami, Ebby perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari yang dilakukan sendiri di rumahnya.

Selain masalah buah pinggang, Ebby turut menghidap penyakit jantung yang membataskan pergerakan dan kegiatan hariannya.

Akibat itu, Ebby mengakui terpaksa menolak tawaran lakonan dan sudah lebih setahun tidak aktif dalam dunia seni.

“Sudah lebih setahun saya tidak berlakon. Saya banyak berehat kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya tidak boleh bekerja di bawah panas dan kalau sehari ada tiga atau empat babak pun saya sudah tidak larat,” katanya.

Ebby berkata masa dan tahap kesihatan yang terhad menyebabkan beliau perlu memberi keutamaan kepada rawatan dialisis berbanding kerja seni.

“Saya perlu mengejar masa untuk buat dialisis, jadi tak mengapalah saya berehat dulu,” katanya.

Walaupun sering keluar masuk hospital, Ebby menganggap situasi itu sebagai sebahagian daripada kehidupannya kini.

“Bagi orang seperti saya, keluar masuk hospital sudah jadi perkara biasa. Jadi janganlah terlalu risau, doakan saja agar saya terus sihat dan masih boleh mencari rezeki,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg