Hampir setahun tidak mengambil tawaran kerja atas faktor kesihatan, pelawak Malaysia, Ebby Yus, meluahkan rasa syukur terhadap sahabatnya, Ajak Shiro, yang menawarkan beliau menjadi pengurus restoran, Bumbu Babah, di Pasar Seni, Kuala Lumpur, Malaysia.
Restoran itu dikatakan milik Ajak, yang juga seorang pelawak dan penyampai radio.
Restoran Bumbu Babah yang terletak di Pasar Seni itu merupakan cawangan kedua miliknya.
Lebih daripada itu, Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60 tahun, berkata penyakit buah pinggang menyebabkan beliau sukar menjayakan penggambaran drama atau filem.
Justeru, Ebby lega ada sahabat yang sudi membantunya menjana pendapatan.
“Saya tiada ‘income’ (pendapatan) sekarang.
“Atas rasa simpati, Ajak beri peluang saya jaga restorannya di Pasar Seni. Tidaklah nampak sangat beliau beri sumbangan kepada saya yang tiada ‘job’ (pekerjaan) ini.
“Saya pergi ke kedai sekali sekala dan berjumpa dengan peminat dan sebagainya.
“Kalau ikutkan Ajak, beliau menyuruh saya pergi ke restoran sebulan sekali dan tak benarkan buat apa-apa.
“Tetapi, saya seronok. Apabila orang sudah buat baik kepada kita, kenalah buat promosi dan bantu apa yang patut.
“Dengan itu, saya akan cuba sebaik mungkin apa yang saya boleh buat,” kata Ebby dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, BHM melaporkan Ajak menghadiahkan cawangan kedua restoran diusahakannya, Bumbu Babah, di Pasar Seni untuk diuruskan Ebby.
Malah, Ajak dilapor sanggup berkongsi keuntungan atas dasar persahabatan terjalin antara mereka.
Ajak turut menjelaskan apa yang dilakukan adalah satu-satunya cara untuk membantu Ebby yang tidak dapat bekerja berikutan komplikasi pelbagai penyakit termasuk buah pinggang dan jantung yang dialami.
Menurut Ebby, beliau perlu mematuhi rutin kesihatan terutama dialisis dan mengambil ubat-ubatan setiap hari.
“Saya perlu jalani dialisis tiga kali sehari. Jika diikutkan, ada penerbit tawar berlakon.
“Namun, saya tidak boleh penuhi jika ada penggambaran, sukar untuk kejar masa pulang ke rumah untuk lakukan dialisis,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Ebby bersyukur kesihatannya beransur baik, cuma beliau perlu melakukan dialisis sebanyak tiga kali sehari di rumah.
“Alhamdulillah, sekarang saya buat dialisis di rumah saja, lebih mudah. Saya banyak habiskan masa di rumah. Kesihatan pun baik-baik saja, tiada yang teruk.
“Cuma saya mengaku, hendak jaga kesihatan sekarang agak susah.
“Saya perlukan persekitaran yang bersih kerana takut dijangkiti kuman. Di samping itu, saya perlu buat dialisis pada 8 pagi, disusuli 6 petang dan 10 malam.
“Sebab itulah saya tidak ambil banyak ‘job’ akibat kekangan ini,” ujarnya, yang turut sedang mengamalkan diet demi mengurangkan berat badan.
Berkongsi lebih lanjut, Ebby berkata doktor tidak ingin terlalu banyak air dalam badannya kerana dikhuatiri akan menjejas paru-paru.
“Sebelum ini, saya pernah dimasukkan ke wad kerana banyak air dalam badan.
“Ketika itu, doktor guna mesin untuk keluarkan air dari dalam badan. Ada lebih tujuh kilogram air dalam badan pada masa itu.
“Sekarang, apabila saya boleh kawal sendiri, tidak perlu pakai mesin.
“Saya sudah dapat turunkan berat badan daripada 75 kilogram kepada 68 kilogram. Oleh itu, saya perlu kekalkan berat badan antara 68 kilogram dengan 70 kilogram,” kata Ebby.
Pada Oktober 2024, Ebby dilapor menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama 17 hari akibat kegagalan buah pinggang.
Dalam tempoh itu, Ebby menjalani pembedahan kecil pada bahagian perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air di rumah.
Pada 2023, Ebby juga pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) HKL akibat masalah kesihatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg