Jerih payah membangun industri filem Melayu sehingga karya seni ini terus bermain di bibir penonton pelbagai generasi sudah disaksikan dan dilalui biduan Eddy Ali yang masih betah di Singapura.
Eddy, 70 tahun, berasal dari keluarga seni, dengan bapanya, Allahyarham Ali Ahmad adalah seorang pemuzik dan penggubah lagu, manakala ibunya, Allahyarhamha Norsiah Yem adalah jurutari dan penari filem Melayu.
Datuknya, Allahyarham Ibrahim Jaafar, atau mesra dengan panggilan, Pak Yem, pula bermula sebagai penggiat bangsawan Opera Permata, sebelum menjadi tauke panggung opera, Grand Noran Opera.
Sejak umurnya tiga tahun dan baru setahun jagung, Eddy sudah meraih pengiktirafan di Festival Filem Asia 1957/58 selaku Bintang Cilik Terbaik bagi filem Satay.
Beliau juga dikenali sebagai putera comel dalam filem Raden Mas, Tengku Chik.
Sungguhpun begitu, Eddy pada detik usia dewasanya lebih dikenali sebagai seorang penyanyi yang memasuki adu bakat Inggeris, Talentime, pada era 1970-an.
Beliau kemudian menganggotai kumpulan Kembara dan kumpulan Kalibers, yang terdiri daripada anggota keluarga dan saudara-mara.
Kalibers dikenali kerana lagu Kalaulah, Kerana Kau dan Nasib Malang.
Sebagai meneruskan legasi seni keluarganya, Eddy berbesar hati dapat terlibat dalam Konsert Legasi Layar Perak, anjuran Wadah Seni Entertainment, dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Soulitaire Productions, pada 30 April, di Panggung Capitol.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran anak seni lain seperti penyanyi Azlina Aziz (anak Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarhamha Normadiah) dan pelakon Fazlina Ahmad Daud (anak Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarhamha Datin Saadiah Baharom). Ia juga sanjungan buat legenda agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di sidang media acara itu di restoran The Malayan Council@The Fullerton Waterboat House pada 21 Januari lalu, Eddy menceritakan:
“Saya lebih suka menyanyi. Lebih mudah untuk menjiwai. Lakonan perlukan komitmen untuk membaca dan menghafal skrip dan perlu ‘method’. Kalau tak hafal, ia akan membuat rakan lakonan terasa jengkel,” katanya yang mempunyai 12 adik-beradik, kesemuanya berkebolehan menyanyi.
“Dalam adik-beradik saya, yang ke depan hanya saya, Eddy Nor, Ebby Saifullah, Morani dan Allahyarhamha Norlita.
“Eddy Nor dan Ebby Saifullah bahkan masih lagi menyanyi,” jelas Eddy.
Bagi Eddy, konsert di Panggung Capitol yang akan dijayakan ini sangat bermakna kerana memberi penghargaan kepada orang lama yang disegani seperti Tan Sri P. Ramlee, Normadiah, Saadiah dan Norsiah Yem.
“Peranan saya tertumpu kepada nyanyian, di mana saya akan menyampaikan lagu secara solo dan duet dengan artis-artis jemputan dari Malaysia,” katanya.
Menurut Eddy lagi, sebanyak 30 lagu nyanyian, tarian dan sketsa lakonan semula babak filem akan dipentaskan di Konsert Legasi Layar Perak, yang juga menampilkan rakan seni asal Singapura, Milah Hussain, yang sudah bermastautin di Kuala Lumpur.
Eddy memberi penghargaan kepada bapanya yang juga dikenali sebagai Ali Samson, yang banyak memberinya tunjuk ajar dalam bidang muzik.
Selain itu, beliau bersikap terbuka untuk mendapatkan panduan nyanyian dan bertanya kepada penyanyi lebih berpengalaman.
“Arwah bapa saya selalu beritahu, semua orang boleh menyanyi. Namun, tak semua yang dapat menjiwai atau memberi roh pada lagu yg dinyanyikan. Setiap lagu ada penceritaan dan luahan hati dan rasa.”
Sebagai pejuang seni, Eddy tidak putus-putus memberi semangat kepada generasi muda untuk menyokong dan melestarikan khazanah layar perak, dunia di mana beliau dibesarkan.
“Seni adalah warisan bangsa kita. Ia bersangkutan dengan identiti dan kewujudan serta kesinambungan bangsa kita. Khazanah Layar Perak pula titik mulanya kebangkitan perfileman ‘Malaywood’, di mana ramai bintang kita mula menempa nama dan bersinar di sini,” katanya, yang pernah menjadi jurulatih vokal di Mediacorp Suria dan juri untuk pertandingan nyanyian Anugerah di televisyen.
“Filem-filem kita pernah mencapai tahap ‘box office’, bukan hanya di Singapura, malah di luar negara. Kita pernah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan industri filem negara jiran. Jadi memang sangat-sangat harus diperjuangkan dan dipertahankan,” kongsinya.
Menjawab pertanyaan wartawan tentang rahsia beliau masih kelihatan segak dan cergas pada usia yang sudah menjangkau 70 tahun, Eddy berkata beliau amalkan untuk tidak terlebih fikir atau banyak fikiran, cepat memaafkan dan tidak ambil pusing hal orang lain.
Menurut penganjur dan pengarah kreatif Konsert Legasi Layar Perak, Ukhti Aminah dari Wadah Seni Entertainment, ini merupakan program terakhir anjuran pihaknya yang mula menganjur acara pada 2017.
“Kami ingin beri ruang bagi anak-anak biduan, seniman dan seniwati sendiri memberi sanjungan buat ibu bapa mereka.
“Ia acara nostalgia, di mana akan disisipkan juga sketa komedi daripada filem Bujang Lapok. Sebanyak 30 lagu disajikan sebagai satu usaha kami ‘belanja’ penonton, berbanding 15 hingga 20 lagu yang selalu disampaikan dalam konsert lain, kebiasaannya,” ujar Ukhti.
Tiket berharga $198 (termasuk kemeja-T eksklusif), $168, $148, $128, $108 dan $88 boleh ditempah di laman Sistic, mulai 1 Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg