Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi latar tampil sebagai barisan penghibur utama ‘Legasi Layar Perak’

Jan 26, 2025 | 2:42 PM
Muhammad Hafiz Hamzah sudah bergiat dalam bidang nyanyian sejak berusia 13 tahun dan kini mengetuai Orkes Mutiara, sebuah kumpulan muzik tradisional di Singapura.
Muhammad Hafiz Hamzah sudah bergiat dalam bidang nyanyian sejak berusia 13 tahun dan kini mengetuai Orkes Mutiara, sebuah kumpulan muzik tradisional di Singapura. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak kecil lagi, Muhammad Hafiz Hamzah bercita-cita menjadi penyanyi latar bagi filem Melayu.

Tugas penyanyi latar kelihatan menarik, sebagaimana yang beliau saksikan dalam filem Hindustan yang diminati, di mana sumbangan ramai penyanyi terkenal seperti Udit Narayan, Lata Mangeshkar dan Kishore Kumar diiktiraf.

Namun, memandangkan kerjaya itu tidak relevan di Singapura, Hafiz, 40 tahun, bertukar haluan dan memilih kerjaya sebagai penyanyi latar bagi Orkestra Melayu Singapura (OMS) sejak 2017.

“Saya memang minat dengan filem dan lagu-lagu lama kerana ia selalu diputarkan semasa saya kecil dan tinggal bersama nenek dan datuk. Dari umur empat tahun, nenek selalu minta saya menyanyikannya lagu lama ini.

“Saya mula menyanyi di pentas sekolah sekitar usia 13 tahun pada Hari Guru, Hari Raya dan juga untuk kumpulan dikir barat,” kongsi Hafiz, yang kini mengetuai kumpulan Orkes Mutiara, band muzik tradisional yang ditubuhkan sejak 2008.

Dalam filem lama, kebiasaannya suara penyanyi latar digunakan dalam babak sewaktu pelakon utamanya sedang menyanyi.

Penyanyi latar pula adalah penyanyi yang mengiringi penyanyi utama dalam persembahan dan mewarnakan nyanyian secara berharmoni.

Ditanya mengenai peranan penyanyi latar dan mengapa ramai mencipta nama setelah tampil sebagai penyanyi utama sebagaimana peserta Gegar Vaganza 11 (GV11), Liza Aziz, yang bermula sebagai penyanyi latar, Hafiz berkata:

“Penyanyi latar membantu menaik taraf mutu persembahan. Mereka bak penyeri bagi persembahan walaupun berdiri di ruang belakang pentas, kadangkala membantu penyanyi jika mereka terlupa lirik, atau perlu bernafas,” kata Hafiz, yang juga pemain gendang rebana.  

Justeru, tidak sia-sia apabila bakat Hafiz ini menarik perhatian penganjur Wadah Seni Entertainment, yang ‘melamarnya’ agar sepentas dengan nama-nama hebat bagi Konsert Legasi Layar Perak pada 30 April di Panggung Capitol.

Hafiz mengaku gementar disatukan dengan penyanyi hebat seperti Azlina Aziz dan Datuk Yusni Hamid.

“Apabila dipilih untuk penerbitan ini sebagai salah seorang penghibur barisan hadapan, saya bersyukur atas peluang ini. Apa lagi saya dapat berkongsi pentas dengan artis hebat di Singapura mahupun di seberang Tambak. Puas tetapi gementar,” jelasnya.

Apabila ditanya pendapatnya tentang lagu malar segar dan tarikannya terhadap orang muda kini, Hafiz percaya lagu itu akan terus mendapat perhatian, dengan adanya artis muda, yang berkongsi lagu klasik ini di wadah media sosial.

“Kerjasama dengan artis muda membuka ruang untuk mereka berkongsi dengan pengikut-pengikut mereka di media sosial, sekali gus menebarkan peluang bagi lagu-lagu itu sampai ke telinga pendengar muda, lantas memanjangkan hayat lagu berkenaan.

“Bagi yang tidak berkesempatan datang ke konsert ini, pasti mereka akan mendengar tentangnya, dan boleh menonton keratan video dari media sosial yang dikongsi penonton lain,” ujar Hafiz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg