Penerbit drama bersiri Bidaah, Erma Fatima, akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memintanya memotong dua adegan drama yang dikesan tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.
Erma berkata, sebagai penerbit, beliau mengaku kekhilafannya yang memaparkan dua adegan kontroversi hingga mencetuskan perdebatan netizen dalam media sosial.
“Selepas Jakim meneliti keseluruhan jalan cerita drama bersiri ini, mereka meminta saya memotong dua adegan disifatkan sensitif, iaitu babak Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid, menggunakan kakinya.
“Satu lagi Jakim minta saya mengurangkan adegan Fazlina Ahmad Daud meminum air basuhan dan mencium kaki Faizal dalam drama ini.
“Kami bersyukur kerana Jakim begitu rasional, selain memahami keseluruhan intipati drama ini. Dalam masa sama, saya mengaku kesilapan saya apabila dua adegan ditonjolkan ini agak melampaui batas.
“Jika drama ini keterlaluan sudah pasti Jakim menyenarai hitam. Cuma, kadang-kadang saya tertanya-tanya kenapa karya saya selalu mendapat kritikan, sedangkan banyak drama atau filem yang menceritakan kisah ajaran sesat,” katanya.
Menurut Erma, sebagai penerbit, beliau bertanggungjawab dalam mendidik dan menceritakan kejadian sebenar yang berlaku di negara ini, selain enggan memaparkan jalan cerita yang klise seperti kisah kecurangan atau ‘penyondol’, laporan Berita Harian Malaysia.
“Kedua-dua drama saya yang sedang ditayangkan, iaitu Bidaah dan Keluarga Itu mendapat kecaman, sedangkan kes ajaran sesat dan bapa rogol anak berlaku di negara ini.
“Selama ini, kita sudah terbiasa dengan jalan cerita indah dan sama seperti kisah kecurangan dan penyondol hingga penonton sendiri merungut kerana penyedia kandungan sering membawakan cerita sama.
“Namun, apabila saya membuat kelainan dan memaparkan realiti sebenar yang berlaku, ramai pula menghentam, sedangkan mereka belum menonton keseluruhan drama ini.
“Saya ingin tegaskan di sini setiap adegan dipaparkan tiada kaitan langsung dengan mana-mana individu yang hidup atau sudah meninggal dunia.
“Apa yang saya tonjolkan hanya menceritakan golongan yang selama ini menutup aurat dan alim, tapi hakikatnya penunggang agama. Mereka menggunakan pakaian untuk buat orang taksub dan percaya dengan ajarannya,” katanya.
Dalam masa sama, Erma meminta mana-mana pihak yang ingin menegur supaya tampil secara berhemah dan tidak menghentam secara membuta tuli.
“Budaya bantai-membantai sudah menjadi satu budaya pada zaman media sosial ini. Tidak kira orang itu berilmu atau tidak, mereka menjadikan platform media sosial untuk menegur dengan sesuka hati.
“Namun kadangkala teguran itu turut mencerminkan diri anda sendiri. Kalau anda golongan berilmu, tegurlah dengan cara betul.
“Apa yang saya katakan bukan bermakna tindakan saya selama ini betul, saya pun ada buat salah, tapi biarlah dengan cara berhemah,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg