Personaliti peribadi dua pengacara Malaysia tidak asing lagi, Sherry Alhadad dan Ain Edruce, memang kecoh dan pantang duduk diam.
Maka, apabila mereka bergabung tenaga bagi lagu, Balik Kampung... Gosip Raya, sudah dapat dijangka bagaimana irama dan liriknya. Pasti mencuit hati.
Lagu ciptaan pasukan yang ramai, terdiri daripada Adam Armin, Addy Kiddy, Eugene Lai, Fatto, Ja’a, Karazey, WanAdamKelly dan Yusuff Khan, ia adalah antara lagu Raya 2025, yang diterbitkan sejak awal lagi.
Kebiasaannya kisah balik kampung di ambang Hari Raya mencetus rasa ceria yang sukar dibayangkan dengan kata-kata.
Setahun sekali kalau dapat balik kampung, itu sahaja sudah mencukupi bagi mengubati rindu pada keluarga di kampung halaman.
Lagu Sherry, 40 tahun, dan Ain, 33 tahun, ini adalah cerminan kisah-kisah lucu yang akan berlaku pada musim Lebaran, khususnya apabila berhimpun di rumah sanak saudara, yang sudah lama tidak ditemui.
Walaupun kekata ‘gosip’ mungkin memberi gambaran negatif tentang sikap orang yang suka menjaga tepi kain orang, dan mungkin menyibuk mengumpat sehingga menokok tambah perkara yang boleh mencetus fitnah, Balik Kampung... Gosip Raya, ingin memberi pengertian berbeza.
Apa yang Sherry dan Ain ingin sampaikan ialah gosip juga boleh menjadi perkongsian cerita dan perkembangan terkini tentang orang tertentu yang boleh merapatkan silaturahim antara keluarga dengan sahabat handai.
Kebiasaannya, saudara-mara akan mengajukan soalan: “Bila nak kahwin?” atau “Bila nak ada anak?” kepada individu bujang atau pasangan yang sudah lama menanti cahaya mata.
Kemeriahan juga terasa pada klip video lagu ini apabila artis Sony Music Malaysia yang lain, Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta dan bintang hip-hop terkenal, Kidd Santhe, turut serta menambah warna pada lagu ini.
Apabila mendengar suara ceria Sherry dan Ain, orang yang tak ada kampung dan hanya betah di Singapura setiap Lebaran seperti penulis pun bagaikan ingin balik kampung untuk rasakan keceriaan suasana di desa.
Pastinya lagu ini menjadi satu lagi lagu yang akan menambah rasa teruja menyambut Lebaran, sebagaimana lagu kecoh-kecoh Raya seperti, Raya Raya Raya (dendangan Dolla) dan Alamak Raya Lagi! (De Fam).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg