Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ernie terpaksa ‘langgar’ nasihat doktor, enggan peminat hampa

Jan 27, 2025 | 6:26 PM
Ernie Zakri enggan membatalkan konsert solo pertamanya meskipun diminta doktor agar tidak bercakap atau mengehadkan penggunaan vokal selagi berdepan masalah jangkitan ‘laryngitis’ atau radang pita suara kerana tidak mahu menghampakan peminat.
Ernie Zakri enggan membatalkan konsert solo pertamanya meskipun diminta doktor agar tidak bercakap atau mengehadkan penggunaan vokal selagi berdepan masalah jangkitan ‘laryngitis’ atau radang pita suara kerana tidak mahu menghampakan peminat. - Foto SAH ENTERTAINMENT

Jika diikutkan nasihat doktor, penyanyi Ernie Zakri diminta tidak bercakap atau mengehadkan penggunaan vokal selagi berdepan masalah jangkitan laryngitis atau radang pita suara sejak seminggu lalu.

Namun, dek janji dengan peminat, ditambah semangat dan sokongan suami tercinta, Syamel, Ernie bangkit mementaskan Aura: Ernie Zakri Live in Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur pada 25 Januari.

Biarpun berdepan ujian yang memberi impak besar kepada mutu vokal yang menjadi ‘tanda dagang’ Ernie selama ini, penyanyi Masing Masing ini tampil bertenaga dalam jeritan peminat yang memberi sokongan sebaik kelibatnya muncul di pentas.

Barangkali sebaik lagu pertama, Aura, dipersembahkan, peminat boleh membaca riak wajah dan mendengar tahap vokal Ernie, sekali gus membayangkan apakah penyanyi ini mampu bertahan dua jam untuk menjayakan konsert solo pertama itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Hasilnya, sebanyak 23 lagu didendangkan Ernie, mengotakan janjinya untuk memberi yang terbaik kepada peminat, sekalipun diuji masalah kesihatan.

Di pentas itu, Ernie bagai berkongsi cerita perjalanan seninya melalui lagu-lagu indah seperti Persis Katarsis, Boneka, Terima Seadanya, Gelita, Satu Cinta, Astana, Ayuh, Misteri, Masing-Masing, Gundah, Rindu Bukan Teman, Jangan Hilang Percaya, Jangan Marah, Ini Yang Ku Mahu dan The Best.

Cukup mengujakan, Ernie mengundang Ade Govinda untuk menyampaikan lagu popular mereka, Hal Hebat dan berduet dengan anggota kumpulan Dolla, Sabronzo, menerusi lagu Luv.

Sudah pasti, Syamel turut mewarnai konsertnya dengan persembahan lagu duet mereka iaitu Aku Cinta dan Die With A Smile, yang dipopularkan oleh Bruno Mars dan Lady Gaga.

Segmen menyentuh hati, Ernie memperdengarkan lagu yang ditujukan khas buat anaknya, Nur Khawla Soleha, berjudul Tercipta Sempurna.

Ketika ditemui media seberang selepas konsert, Ernie, 32 tahun, menjelaskan beliau terasa ragu untuk meneruskan persembahan selepas mendendangkan Aura.

“Macam-macam bermain dalam kepala ketika pembukaan konsert. Saya terfikir sama ada mahu teruskan atau tidak, apakah saya boleh atau tidak? Tetapi, saya buang semua pemikiran negatif dan beri yang terbaik,” katanya.

Biarpun tidak dapat berkongsi banyak, Ernie mengaku berdepan masalah radang peti suara, kira-kira seminggu sebelum konsert dipentaskan.

“Saya sudah disarankan doktor untuk tidak bercakap langsung. Sudah tentu saya berdegil, apatah lagi, ini konsert solo pertama. Saya takut peminat tidak berpuas hati. Namun, ini semua kerja Allah.

“Allah beri rezeki malam ini. Saya dapat menyanyi, itu sudah cukup. Saya hilang suara sejak seminggu lalu. Hari ini, keadaan masih tidak mengizinkan. 

“Alhamdulillah, doktor periksa saya pada 6 petang dan beri suntikan terakhir. Saya reda dan tawakal. Itu yang mampu saya buat. Saya harap peminat suka dan berpuas hati.

“Sepanjang konsert, saya harap boleh bercakap dengan peminat saya, itu kesukaan saya. Namun, apa daya, keadaan tidak mengizinkan,” katanya.

Ernie bersyukur, rakannya, Sufi Rashid, yang menganjurkan konsert di bawah syarikat Sah Entertainment, memahami keadaannya.

Ernie disaran berehat antara dua hingga tiga minggu sebelum menjayakan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 16 Februari. Pada anugerah pencarian lagu berprestij itu, Ernie mempertaruhkan single Aura.

Sufi, dalam pada itu, mendakwa 14 peminat menjadi mangsa ‘scam’ membabitkan pembelian tiket, namun, mereka dibenarkan masuk ke lokasi acara, atas ihsan syarikat.

Kali pertama berdepan dengan masalah itu, Sufi berkata mangsa penipuan ini datang dari jauh termasuk Sarawak dan Brunei, lantas, menimbulkan rasa kasihan, biarpun mereka sepatutnya membeli tiket daripada sumber sah.

“Siasatan mendapati mereka beli tiket daripada pihak luar. Saya mendengarnya terkejut sebab tidak pernah alami perkara begini. Ini kali pertama saya berdepan masalah ‘scam’.

“Namun, saya dapat uruskan masalah ini biarpun mencabar. Kalau boleh, saya mahu pastikan semua orang ada tempat duduk dan tidak mahu ada peminat kena ‘sidai’.

“Ada juga peminat menyangka beli tiket kelas ‘Diamond’, namun, ia adalah tempat duduk untuk orang kurang upaya.

“Saya beritahu pihak pengurusan kalau ada tempat duduk kosong, benarkan sahaja peminat yang bermasalah ini masuk,” ujar Sufi, yang menambah pihaknya cuba mencari jalan agar tidak timbul lagi masalah penipuan yang membabitkan pembelian tiket pada konsert yang diusahakannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg