Kehebatan lagu Masing Masing yang menyatukan kejernihan suara lunak penyanyi Malaysia, Ernie Zakri, dan penggubah tersohor Indonesia, Ade Govinda, memang tidak dapat disangkal lagi.
Pada 2024, lagu hit ini mencipta kenangan paling manis buat Ernie, 32 tahun, atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, apabila ia meraih Anugerah Runut Bunyi Rasmi (OST) Sinetron Paling Ngetop pada Anugerah SCTV di Indonesia pada 20 November.
Malahan, hingga akhbar Berita Minggu (BM) ini diterbitkan, Masing Masing sudah distrim sebanyak 97.4 juta kali di wadah penstriman Spotify, satu jumlah luar biasa yang payah dicapai lagu Melayu atau Indonesia meskipun lagu berkenaan merupakan karya malar segar.
Dengan lagu itu meraih sambutan luar biasa khususnya dalam kalangan pendengar yang pernah melalui pengalaman peribadi tidak lagi dapat meneruskan hidup bersama dengan pasangan yang kerap menyakiti, Ernie akur dengan jangkaan peminat yang ingin melihat lagu-lagu baru beliau kelak mengulangi kejayaan Masing Masing.
Namun, tumpuan Ernie bagi 2025 yang bakal diraikan dalam masa beberapa hari lagi adalah Konsert Aura: Ernie Zakri – Live In Concert yang akan diadakan di Malaysia pada 25 Januari 2025 di Plenary Hall, KLCC dan 31 Mei 2025 di Teater Mediacorp, Singapura.
Kededua konsert ini dianjurkan Sah Entertainment yang dimiliki penyanyi asal Singapura, Sufi Rashid dan disokong label rakaman Universal Music.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom pada 26 Disember, Ernie menjelaskan:
“Sejujurnya, dengan pencapaian lagu Masing Masing, saya masih ada satu perasaan berdiri di bumi nyata.
“Betapa besar kejayaan lagu ini, ia bukan kejayaan yang saya raih seorang diri. Sebaliknya, ia kejayaan satu pasukan yang berada di belakang saya. Ia bukan tentang diri saya sendiri sahaja.
“Kami bersama-sama bekerja keras untuk mencapai apa yang kami impikan. Saya gembira bahkan lebih menghargai momen bersama pasukan saya yang bersungguh-sungguh dalam apa yang mereka lakukan untuk lagu ini.
“Kejayaan tidak datang dengan kita seorang tetapi secara pakej. Untuk dihargai sampai ke Indonesia, saya gembira dan bangga dan akan bekerja kuat lagi bagi 2025. Kerja kuat dan kerja lebih bijak.”
Namun, Ernie meminta pemahaman peminatnya bahawa kejayaan Masing Masing itu tidak mungkin dapat diulang bagi karya lain sebab mahakarya hasil ciptaan Ade Govinda dan Nabila V itu berada pada kedudukannya sendiri.
“Saya hanya harus gigih melangkah lagi dengan banyak lagu yang saya harap peminat saya dapat hargai. Suksesnya Masing-Masing memang tak boleh diulangi lagi.
“Saya juga akan fokus pada konsert solo saya pada Januari di Malaysia dan Mei di Singapura,” tambahnya.
Diminta menjelaskan lebih lanjut tentang konsertnya yang bakal mengetengahkan lagu dalam album Aura serta beberapa lagu hit wajib yang pernah beliau hasilkan dalam kerjaya seninya, juara Bintang RTM 2009 itu berkata:
“Sebenarnya, saya sudah lama impikan nak bikin konsert solo. Dah lama saya rancang dengan pasukan saya tetapi tidak dapat berjumpa penganjur terbaik untuk kotakan impian saya.
“Hanya pada tahun lalu (2023), saya bertemu dengan kawan saya, Sufi Rashid, yang bertanya apakah saya sudi bekerjasama dengan beliau yang mengusahakan Sah Entertainment.
“Pada masa itu, saya belum bersedia lagi. Ada beberapa perkara yang saya perlu kemaskinikan.
“Tapi saya terfikir bahawa saya tak mampu tunggu lama-lama sebab ada banyak permintaan di Singapura dan Malaysia. Kalau sibuk fikir banyak sangat, nanti tak buat-buat pula.
“Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan penganjur yang baik, Sah Entertainment, yang menghormati pandangan saya sebagai artis.
“Penganjur ini mempunyai ilmu dan Sufi sebagai seorang penyanyi, sehala dalam memikirkan apa yang terbaik buat konsert saya, malahan beliau tambah lagi idea dari pihak saya untuk menaiktarafkan konsert ini sebaik mungkin.”
Sebelum ini, banyak penganjur konsert telah tampil menawarkan khidmat mereka untuk konsert solo Ernie, termasuk yang bukan calang-calang rekod prestasinya dalam industri hiburan serantau.
“Tapi saya lebih serasi dengan Sufi. Pandangan dan visinya lebih kurang sama dengan saya. Kami sama-sama memikirkan konsert berjaya, bukan dari sudut tiket laris dijual tetapi mutu hiburan yang bakal disajikan.
“Sebab itu saya kata, sebab Sufi dan pasukannya menghormati keperluan artis, maka jumpa sahaja Sah (Entertainment), saya terus cakap sah!” seloroh Ernie yang juga terkenal dengan lagu Ku Bersuara, Gundah, Boneka, Hal Hebat dan Jangan Hilang Percaya.
Populariti Masing Masing cukup tular sehingga dijadikan OST bagi drama di Malaysia, Nuh Dan Nayla serta sinetron Indonesia, Luka Cinta.
Ernie bahkan muncul dalam watak ‘cameo’ bagi Luka Cinta yang dibintangi pelakon Dinda Kirana, Jerome Kurnia, dan Billy Davidson.
Ditanya mengenai pengalaman bekerja di set sinetron, Ernie tertawa seraya berkata:
“Etika kerja di sana sangat berbeza tetapi karyawan seni di Indonesia amat positif dan menyambut kehadiran saya dengan tangan terbuka.
“Apabila saya sulit berbahasa Indonesia dan nampak janggal, mereka izinkan sahaja saya bertutur dalam bahasa Melayu, seperti biasa.
“Apa yang saya dengar sebelum ini tentang jurang antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia yang sangat jauh beza dan mutunya membuatkan saya khuatir.
“Tapi mereka ramah dan menerima saya seadanya. Maklum kita pun serumpun.”
Masih lagi membicarakan perihal Masing Masing, Ernie tersentuh apabila penyanyi dengan nama besar seperti Misha Omar, memberinya kejutan manis dengan mendendangkan lagu itu pada acara ‘gig’ The Misha Omar Back To Basic Showcase di JioSpace pada 21 Disember.
“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Kak Misha. Saya bertanya khabar kepadanya tetapi dia tak beritahu saya dia akan dendangkan lagu saya walau dia tahu saya akan datang ke ‘showcase’ tersebut.
“Rupanya, Kak Misha nak beri kejutan kepada saya. Memang beliau seorang penyanyi ‘senior’ yang sangat baik dan selalu menerima kami yang lebih baru daripadanya dengan baik.
“Tak pernah saya terasa ketinggalan kalau Kak Misha ada sebab beliau sudi berkongsi pandangan beliau.
“Saya sukar menjelaskan dengan kata-kata apabila mendengarnya menyanyikan Masing Masing. Saya menontonnya dari kecil dan beliau sumber inspirasi saya.
“Apabila Kak Misha angkat karya saya itu tinggi bersama karya lain dalam industri, saya terharu.
“Satu perkara yang saya takkan lupa adalah pesanannya kepada saya agar baik hati kepada orang lain dan penyanyi ‘junior’ lain dalam industri. Jadi, saya amalkan ‘vibes’ yang sama, yang Kak Misha ajar apabila bersama penyanyi baru yang perlu diberi dorongan,” jelas Ernie.
Tiket ‘Konsert Aura: Ernie Zakri – Live In Concert’ di Teater Mediacorp mulai 8 malam, 31 Mei 2025, berharga antara $78 dengan $228 boleh ditempah menerusi laman Sistic (www.sistic.com.sg).
“
“Betapa besar kejayaan lagu ini, ia bukan kejayaan yang saya raih seorang diri. Sebaliknya, ia kejayaan satu pasukan yang berada di belakang saya. Ia bukan tentang diri saya sendiri sahaja...Kami bersama-sama bekerja keras untuk mencapai apa yang kami impikan. Saya gembira bahkan lebih menghargai momen bersama pasukan saya yang bersungguh-sungguh dalam apa yang mereka lakukan untuk lagu ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg