Gema takbir berkumandang pada fajar 1 Syawal yang dinanti bagai menggamit kenangan pilu buat aktres jelita, Erra Fazira.
Biarpun sudah lama episod duka itu berlalu, masih basah dalam ingatan Erra setiap yang berlaku, malah, menjadi detik yang tidak mungkin dapat dilupakan, sampai bila-bila.
Erra atau nama penuh, Fazira Wan Chek, 51, berkata 1 Syawal membawa ingatan kepada detik perkahwinan pertama yang ketika itu, di ambang kehancuran.
“Kenangan Hari Raya yang saya tidak boleh lupa adalah apabila saya hanya makan mi segera pada hari mulia itu. Perkara ini disebabkan fikiran saya kusut hingga tidak ada rasa hendak sambut raya.
“Biasalah, saya memang tidak habis-habis dengan masalah cinta dan rumah tangga. Pada tahun itu, saya tidak beraya dan hanya berkurung di rumah disebabkan masalah rumah tangga,” katanya kepada BH Online.
Erra masih ingat bagaimana kisah rumah tangganya ketika itu, kecoh diperkatakan peminat.
“Ketika itu, kecoh mengenai rumah tangga saya. Saya memang hendak merahsiakannya. Kalau balik kampung, nanti orang akan bertanya, kenapa suami tidak balik sekali?
“Kalau beraya rumah kawan pun, pasti, soalan serupa ditanya. Jadi, saya lebih rela berkurung. Disebabkan tidak buat apa-apa persiapan, saya hanya makan mi segera di pagi raya,” katanya.
Erra berkahwin dengan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun, bercerai pada 2006.
Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Kemudian Erra bertemu jodoh buat kali kedua bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 25 Oktober 2007.
Namun, mereka berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu, Engku Emran dan Erra dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia 16 tahun.
Erra mengaku emosinya sekali lagi terkesan apabila perkahwinan kedua bersama Engku Emran, juga dilanda badai.
“Seperti biasa, disebabkan tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan insan sekeliling, saya sekali lagi, tidak pulang beraya di kampung. Hendak ziarah pusara pun, tunggu ketika orang tiada di tanah perkuburan.
“Cuma kali ini, saya bijak sedikit apabila meminta bantuan sepupu untuk hantar makanan. Jadi, tidak perlulah makan mi segera,” katanya sambil tertawa mengenang detik itu.
Jika dua insiden itu membuatkan Erra enggan bertemu khalayak kerana tidak mahu masalah perkahwinan diperdebatkan, namun, situasi kali ini berbeza.
Baru-baru ini, bintang filem Sembilu ini mengesahkan sedang menjalin hubungan dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain, atau lebih dikenali sebagai Mr E.
Erra mengakui sudah bersedia dengan pelbagai persoalan mengenai hubungannya dengan Mr E.
“Dahulu kita masih muda dan kerjaya sedang memuncak. Jadi, banyak hati kena dijaga. Kalau keluar berdua dengan lelaki, pasti macam-macam cerita timbul.
“Sekarang, saya semakin matang dan lebih yakin. Tiada apa yang hendak disembunyikan. Kami pernah berbuka puasa di tempat terbuka seperti Kampung Baru, sesuatu yang saya tidak pernah buat.
“Ketika ini, saya hanya mahu jalani kehidupan normal. Saya hendak nikmati detik percintaan tanpa perlu ada kekangan.
“Meskipun saya lebih terbuka dengan hubungan ini, namun, masih ada batas yang perlu dijaga,” katanya pada sesi fotografi sempena Aidilfitri di Restoran Kueh yang diusahakan Ezwan di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.
Diusik pertanyaan apakah ini tahun terakhir menyambut Lebaran sebagai ibu tunggal, Erra hanya mengaminkan doa itu.
“Insya-Allah, saya pun sudah lama beraya solo dan beliau (Ezwan) pun sudah lama beraya sendiri,” katanya.
Selain bakal meraikan Aidilfitri dengan insan tersayang, ada sebab lain yang membuat aktres jelita ini tidak sabar menanti ketibaan Syawal.
“Insya-Allah, saya dan Ezwan akan beraya bersama. Tetapi, tunggulah selepas kami beraya dengan keluarga masing-masing... Masih banyak masa lagi.
“Kali ini, Aidilfitri lebih istimewa kerana giliran saya meraikannya bersama Engku Aleesya. Kebetulan bekas suami perlu bekerja, jadi, Aleesya akan berada dengan saya lebih lama,” katanya.
Ditanya reaksi Aleesya mengenai hubungannya dengan Ezwan, Erra bersyukur mendapat ‘lampu hijau’ daripada permata hatinya itu.
“Aleesya suka memerhati. Kalau jumpa seseorang, dia diam. Tetapi kalau orang itu sudah balik, panjang huraian yang diberi.
“Kalau dia tidak suka, dia akan cakap. Tetapi kalau berkenan, dia akan senyap. Alhamdulillah, Ezwan dapat ulasan yang baik daripada Aleesya,” katanya.
Baru-baru ini, Erra dan Ezwan dilapor sepakat membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih baik, seperti yang diharapkan peminat tanpa tekanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg