Ethiopian Airlines tawar diskaun 80% dari S’pura ke Afrika, Amerika Selatan
Ethiopian Airlines tawar diskaun 80% dari S’pura ke Afrika, Amerika Selatan
Untuk meraikan ulang tahun ke-80, syarikat penerbangan kebangsaan Habsyah, Ethiopian Airlines, menawarkan potongan harga tambang hingga 80 peratus, bagi penerbangan dari Singapura ke beberapa destinasi di Afrika dan Amerika Selatan.
Tawaran istimewa ini adalah sebahagian daripada kempen 80 hari syarikat itu, yang bermula pada 18 Januari.
Sepanjang tempoh kempen, penumpang dari Singapura berpeluang menikmati tambang ulang tahun eksklusif bagi laluan penerbangan tertentu, melalui Addis Ababa.
Ini membuka jalan untuk mereka meneroka destinasi utama dalam rangkaian luas Ethiopian Airlines.
Destinasi yang terlibat termasuk Johannesburg, Cape Town, Nairobi, Kilimanjaro, Victoria Falls, Seychelles, Antananarivo, São Paulo dan Buenos Aires.
Tawaran ini sah untuk perjalanan antara 1 Februari dengan 30 Jun, tetapi terhad kepada penerbangan yang dijadualkan pada Isnin dan Rabu sahaja.
Diskaun ini hanya boleh digunakan untuk tambang asas bagi kelas perniagaan dan ekonomi.
Tempahan boleh dibuat melalui semua saluran rasmi Ethiopian Airlines, termasuk laman web, aplikasi mudah alih dan ejen pelancongan yang diiktiraf.
Menurut syarikat penerbangan tersebut, promosi ini akan dijalankan secara berperingkat dengan tempahan berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.
Diskaun setinggi 80 peratus akan berlangsung sehingga 6 Februari, sebelum dikurangkan kepada 60 peratus dari 7 Februari hingga 26 Februari.
Potongan harga seterusnya adalah sehingga 40 peratus bagi tempoh hingga 18 Mac, sebelum diturunkan kepada 20 peratus hingga akhir kempen pada 8 April.
Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM) mengenai permintaan pelancongan ke Afrika, Encik Enquanhone Minyashal, pengurus serantau Ethiopian Airlines bagi Singapura, Australia dan New Zealand, mendedahkan bahawa perjalanan keseluruhan antara Singapura dengan Afrika telah melonjak 57 peratus sehingga 1 November 2025, berbanding pada 2024.
Pada masa yang sama, bilangan penumpang Ethiopian Airlines meningkat mendadak sebanyak 87 peratus dari tahun ke tahun.
Kenaikan ini, jelas Encik Enquanhone, membuktikan bahawa Afrika bukan lagi sekadar impian destinasi seumur hidup buat warga Singapura, tetapi pilihan perniagaan dan percutian yang praktikal dan menyeluruh.
Beliau turut menambah bahawa syarikat itu sedang giat melabur dalam prasarana Addis Ababa, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bishoftu baru.
“Hab mega bernilai AS$12.5 bilion ($15.77 bilion) ini dirancang untuk menampung sehingga 110 juta penumpang setiap tahun, iaitu empat kali ganda kapasiti hab lapangan terbang kami yang sedia ada.
“Ini akan mewujudkan koridor Timur-Barat generasi seterusnya, yang menghubungkan Changi dan Addis Ababa, sekali gus melonjakkan ketersambungan global ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

